Royal Albatross
2 Dis 2016
Hari ke-5
Selepas berehat sebentar menghilangkan penat mendaki tadi
kami meneruskan perjalanan ke Royal Albatross Center yang berjarak lebih kurang
35 km dari Tunnel Beach, kira-kira 45 minit pemanduan menyusur jalan di tepi
laut. Agak menyenangkan apabila melihat laut dengan deruan angin yang menyapa
wajah kami disepanjang perjalanan. Sengaja kami membuka tingkap kereta untuk
merasai angin yang datang dari laut. Tidak banyak kereta melalui kawasan ini,
mungkin tidak berminat untuk melihat burung. Kelihatan beberapa penempatan di atas
bukit yang cantik dan comel.
Kelihatan Rumah Api di hujung tanjung. |
Jambatan kayu dibina untuk melihat spesis burung atau kalo bernasib baik boleh tengok penguin pulang dari laut. |
Pulau Titeramoa yang boleh dijejaki ketika air surut dengan hanya berjalan kaki |
Bersesuaian dengan kedudukannya yang berada di hujung tanjung, maka kawasan ini menjadi tarikan bagi pelbagai jenis hidupan liar terutamanya burung yang berhijrah akan singgah ke sini sebelum meneruskan penghijrahan mereka. Antara spesis burung yang sering berkunjung ke sini ialah penguin kecil dan penguin bermata kuning. Selain daripada itu, sesuatu yang menarik bagi kawasan ini ialah ia merupakan tempat pembiakan bagi kumpulan burung Albatross.
Royal Albatross Center menyediakan lawatan untuk melihat hidupan di Taiaroa Head di mana kita boleh mengunjungi satu-satunya tempat pembiakan burung Albatross, melihat kumpulan penguin kecil di Pilot Beach. Dalam lawatan 1 jam 30 minit ini kita akan diberikan taklimat mengenai burung Albatross, melihat tontonan video mengenai kitaran pembiakan burung Albatross dan kemudian dibawa berjalan kaki mendaki bukit untuk ke balai cerap melihat sarang burung Albatross. Dalam lawatan ini juga kita akan dibawa berjalan melalui terowong bawah tanah untuk melihat Armstrong Disappearing Gun yang telah dibaikpulih sepenuhnya dan mengetahui tentang sejarah menarik Ketua Taiaroa. Harus diingat untuk melihat ini semua, kita wajib mengikut tour yang disediakan oleh pihak Jabatan pemuliharaan kerana tidak ada akses awam untuk menuju ke kawasan pembiakan burung Albatross. Untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan harga, boleh lah berkunjung ke website ini. Masa yang sesuai untuk melihat kumpulan burung Alnatross adalah dari pertengahan bulan september hingga pertengahan November.
Kami hanya berjalan-jalan di sekitar kawasan Taiaroa Head. Ada jambatan kayu di bina di tebing tinggi bagi memudahkan pengunjung melihat burung dan hidupan laut dari jambatan ini. |
Taiaroa Head adalah satu-satunya daratan yang menjadi tempat pembiakan bagi burung Albatross di NZ. Setiap 2 tahun sekali Albatross akan datang ke daratan dalam kumpulan yang besar untuk membiak. Albatross hanya menghasilkan sebiji telur untuk setiap kitaran pembiakan dan dalam tempoh tersebut ia akan duduk di atas telur tersebut selama 79 hari sebelum ia menetas. Albatross adalah spesies burung terbesar di dunia, dan Northern Royal Albatross adalah yang ketiga terbesar dari baka ini. Beratnya mencapai 9kg. Lebar sayapnya besar mencapai sehingga hingga tiga meter.
Harington Point
Dalam perjalanan pulang kami singgah ke Harington Point, 4 minit perjalanan saja untuk sampai ke sini. Harington Point berada dikedudukan di antara Taiaroa Head dan Pantai Te Rauone yang terkenal aktiviti hakisan pantai. Dengan kata lain Harington Point terletak di Pelabuhan Otago. Pelabuhan Otago adalah pelabuhan semula jadi di Dunedin. Ia berada di perairan yang panjang seakan-akan teluk berliku yang memisahkan antara semenanjung Otago dari daratan. Teluk di Pelabuhan Otago terbentuk hasil dari letusan Gunung berapi besar yang telah mati, yang berpusat di Port Chalmers. Kesan letusan tersebut masih dapat dilihat di Kawasan bukit dan sekitarnya. Fasa terakhir letusan gunung berapi tersebut berlaku kira-kira 10 juta tahun dahulu yang akhirnya membentuk Gunung Cargill. Terdapat 2 pulau di sekitar Pelabuhan ini iaitu Pulau Rakiriri dan pulau Karantina, selain dari pulau-pulau kecil yang melatari lanskap teluk ini.
Walaupun kawasan di sekitar Harington Point bersaiz kecil, namun terdapat tempat penginapan di sini, bermula dari homestay hingga lah kepada unit motel yang serba lengkap. Menginap di kawasan ini membolehkan kita melihat kumpulan penguin yang kembali ke sarang pada waktu senja setelah seharian mencari makanan di lautan. Selain dari itu, kita juga berpeluang untuk berjalan-jalan disekitar bukit yang ada di belakang Harington Point. Di bukit tersebut terdapat beberapa senjata yang ditinggalkan semasa Perang Dunia II, terowong komunikasi bawah tanah dan kubu tentera.
Bersambung...
Sumber:
https://en.wikipedia.org/wiki/Otago_Harbour
https://en.wikipedia.org/wiki/Harington_Point
https://en.wikipedia.org/wiki/Harington_Point
No comments:
Post a Comment