Wednesday, February 25, 2026

Melancong ke Yunnan: Impression Lijiang Show (Part 8)

 16 September 2025

Sambung balik cerita semalam… masa ni kami masih lagi dekat kawasan JDSM, atau Yulong Snow Mountain. Lepas puas ronda dan ambil gambar dekat Blue Moon Valley, barulah kami bersiap nak gerak ke lokasi seterusnya.

Ah Meng pula memang terbaik, setia tunggu kami habis posing sana sini. Tak rush langsung, siap senyum je tengok kami sibuk ambil gambar ๐Ÿ˜†

Aktiviti terakhir kami dekat sini ialah tengok persembahan Impression Lijiang. Jadi Ah Meng pun bawa kami ke tempat tunggu bas untuk ke tapak persembahan. Sambil jalan tu, Ah Meng sempat beritahu yang nanti dekat sana akan ada nasi goreng yang dibawa khas dari bandar Lijiang.

Haa dengar perkataan “nasi goreng” tu terus rasa lega sikit… sebab cuaca sejuk-sejuk macam tu, memang terbayang nak makan benda panas-panas ๐Ÿ˜„

Dari Blue Moon Valley (BMV) kami jalan kaki naik tangga menuju ke tempat menunggu bas. 

Akhirnyaaa sampai juga! Sementara nak tunggu pukul 1.30 petang, waktu mula persembahan teater tu, Ah Meng terus hulur beberapa bungkus nasi goreng yang dia tapaukan untuk kami. Lega betul rasa. memang timing ngam. Tengah lapar ni. Jadi kami pun duduk makan dekat bangunan ruang menunggu tu. Sebenarnya dalam bangunan tu ada je restoran dan kafe, tapi biasala, memang tak halal. Kalau nak order kopi tu boleh je sebenarnya. Tapi kami semua dah siap-siap bawa bekal air sendiri. Jadi minum air sendiri je lah sambil tunggu pintu buka. Dalam cuaca sejuk-sejuk tu, nasi goreng panas memang rasa macam rezeki terpijak ๐Ÿ˜„ Lepas habis makan tu, kami pun mula beratur nak masuk ke tapak persembahan teater. Orang memang ramai, semua dah tak sabar nak masuk. Sebelum masuk, petugas suruh ambil baju hujan yang memang dah disediakan. Rupanya dekat luar tu langit dah mula mendung, nampak macam bila-bila masa je nak hujan. Jadi masing-masing pun sarunglah baju hujan siap-siap, walaupun dalam hati doa janganlah hujan masa persembahan tengah syok nanti ๐Ÿ˜…
Korang tahu tak, dekat Lijiang, wilayah Yunnan, China ada satu persembahan yang memang lain daripada yang lain, nama dia Impression Lijiang. Tapi korang kena pegi ke JDSM dulu baru boleh tengok show ni. Bukan dalam dewan biasa tau, dia buat dekat kawasan terbuka, dengan latar belakang terus Gunung Salji Jade Dragon (JDSM). Memang rasa macam tengok cerita epik versi live. Yang lagi best, persembahan ni diarahkan oleh Zhang Yimou. Kalau nama tu macam familiar, memang patut pun, dia juga yang arahkan upacara pembukaan Sukan Olimpik Beijing 2008 tu. Jadi memang tak peliklah kalau persembahan ni nampak grand dan penuh emosi. Konsep dia lebih kepada hubungan manusia dengan alam semula jadi. Dia tonjolkan budaya etnik-etnik minoriti dekat Yunnan, dan yang buat aku kagum, pelakon dia bukan sikit TAPIII... lebih 500 orang! kebanyakannya orang tempatan sendiri. Ada etnik Naxi, Yi, Bai dan lain-lain. Muzik tradisional dia pun memang menusuk jiwa, dengan kostum yang warna-warni dan cantik sangat. 

Lokasi dia pula dekat kaki Gunung Salji Jade Dragon, lebih kurang 3,100 meter dari aras laut. Bayangkan tengok persembahan dengan gunung bersalji sebagai backdrop semula jadi. Memang rasa dramatik dan lain macam. Tapi sebab tempat tinggi, sejuk dia boleh tahan juga, memang kena bawa jaket. 

Persembahan ni lebih kurang sejam je, tapi bukan sekadar tarian biasa. Dia macam cerita tentang sejarah dan kehidupan masyarakat situ, macam mana mereka hidup selari dengan alam sekitar. Biasanya orang masukkan sekali dalam pakej lawatan ke Lijiang, dan sesuai tengok waktu siang sebab guna cahaya semula jadi. Kalau kau plan nak pergi Lijiang, seriuslah, yang ni memang patut masuk dalam list.
Persembahan Impression Lijiang ni sebenarnya tak ada jalan cerita yang lurus macam drama TV. Dia lebih kepada babak-babak simbolik yang tunjukkan kehidupan dan jiwa masyarakat etnik di kaki Gunung Salji Jade Dragon. Setiap babak ada tema dan emosi tersendiri. 

Babak 1 – Salam dari Gunung

Persembahan biasanya dimulakan dengan kemunculan ramai lelaki etnik tempatan di atas pentas terbuka yang luas. Mereka jerit atau menyanyi dengan suara lantang, seolah-olah “memanggil” gunung.

Babak ni melambangkan kekuatan, keberanian dan semangat lelaki Yunnan yang hidup di kawasan pergunungan. Rasa dia memang epik, dengan gunung sebenar sebagai latar belakang. Tapi tu la sayang seribu kali sayang, cuaca berkabus sebab nak hujan, jadi tak nampak kelibat puncak gunung kat belakang tu. 

๐ŸŽ Babak 2 – Kehidupan & Kerja Harian

Kemudian, suasana bertukar jadi lebih aktif dan bertenaga. Ada adegan berkaitan kehidupan seharian, bertani, menternak, berdagang, malah ada elemen kuda dan semangat Laluan Teh Kuda Purba (Tea Horse Road). Babak ni nak tunjuk betapa keras dan lasaknya kehidupan masyarakat di dataran tinggi. Tapi dalam kepayahan tu, tetap ada kegembiraan dan kebersamaan.

๐Ÿ’ƒ Babak 3 – Wanita & Keindahan Budaya

Lepas tu, suasana jadi lebih lembut dan berwarna-warni. Wanita dari etnik seperti Naxi, Yi dan Bai muncul dengan pakaian tradisional yang cantik. Muzik dia lebih harmoni, gerakan tarian pun lembut dan tersusun. Babak ni macam nak cerita tentang kecantikan budaya, kasih sayang, dan peranan wanita dalam masyarakat.

❤️ Babak 4 – Cinta & Emosi

Ada juga bahagian yang lebih puitis, menyentuh tentang cinta dan perasaan manusia. Kadang-kadang digambarkan melalui tarian berpasangan atau gerakan perlahan yang simbolik. Dia tak cerita spesifik kisah siapa, tapi lebih kepada emosi universal, rindu, setia, harapan.

๐Ÿ”ฅ Babak 5 – Perayaan & Kekuatan Komuniti

Di penghujung persembahan, suasana jadi sangat meriah. Semua pelakon akan muncul bersama-sama dalam satu persembahan besar. Babak ni penuh warna, muzik kuat, gerakan serentak yang sangat mengagumkan. Ia melambangkan perpaduan, kekuatan komuniti dan hubungan harmoni antara manusia dan alam.

๐ŸŒฌ️ Intipati Keseluruhan

Apa yang buat teater ni istimewa ialah:
Tiada dialog panjang
Cerita disampaikan melalui gerakan, muzik dan susunan visual
Gunung sebenar jadi “watak utama” latar belakang
Pelakon adalah orang tempatan sebenar

Sebab tu persembahan ni rasa sangat autentik dan menyentuh.

Kalau korang pergi Lijiang nanti, kemungkinan besar korang akan rasa bukan sekadar tengok tarian, tapi macam sedang “rasa” kehidupan orang di sana.
Dalam persembahan ni kita akan tengok penari dia guna pakaian yang ada pelbagai warna. Warna ni memainkan peranan penting untuk menyampaikan simbolik dan perlambangan kepada sesuatu. Contohnya: 
๐Ÿ”ด Keberanian, semangat hidup, kekuatan komuniti
Bila ramai pelakon pakai merah dan bergerak serentak, ia gambarkan tenaga kolektif masyarakat yang kuat dan bersatu.

⚪ Kesucian, Alam semula jadi, Gunung salji
Sebab latar belakangnya gunung bersalji, warna putih nampak sangat harmoni dengan alam. Ia juga simbol spiritual — seolah-olah manusia hidup di bawah perlindungan gunung.

๐Ÿ”ต Langit, Kebebasan, Harapan

Di kawasan tanah tinggi Yunnan, langit sangat luas dan jelas. Jadi biru memberi rasa lapang dan tenang.

๐ŸŸก Kemakmuran, Cahaya matahari, Keberkatan hidup

Dalam budaya etnik tempatan, matahari sangat penting kerana ia sumber kehidupan di kawasan pergunungan.
Simbolik Pakaian Tradisional

Oleh sebab pelakon dia ni terdiri dari pelbagai Etnik seperti Naxi, Yi dan Bai, maka mereka  ada pakaian tradisional masing-masing dan setiap satunya ada simboliknya. 

Contohnya:
Topi dan hiasan kepala wanita: lambangkan status, usia atau peranan dalam komuniti
Sulaman pada pakaian: biasanya corak alam seperti bunga, awan, burung — simbol hubungan manusia dengan alam
Lapisan pakaian tebal: sesuai dengan cuaca sejuk dataran tinggi, tapi secara simbolik juga menunjukkan ketahanan hidup

Pakaian bukan sekadar cantik, tapi macam “identiti bergerak” di atas pentas.

๐Ÿ•บ Simbolik Pergerakan
Gerakan kuat dan besar (lelaki)
Melambangkan kekuatan
Keberanian
Kehidupan lasak di gunung

Kadang mereka jerit kuat — itu simbol komunikasi dengan alam, bukan marah ya ๐Ÿ˜„

Gerakan lembut dan beralun (wanita): 
Melambangkan kasih sayang
Keharmonian
Kesuburan
Pergerakan perlahan tu macam aliran air atau angin di gunung.
Gunung Itu Sendiri Simbol Apa?
Gunung Salji Jade Dragon bukan sekadar latar belakang. Dalam kepercayaan tempatan:
Gunung dianggap suci
Tempat roh nenek moyang
Simbol perlindungan dan kekuatan

Jadi bila persembahan dibuat betul-betul di hadapan gunung sebenar, ia macam satu bentuk penghormatan kepada alam.

Simbolik Babak Akhir (Semua Bersatu)
Bila semua pelakon keluar serentak di akhir persembahan, itu melambangkan:
Perpaduan
Kehidupan yang saling bergantung
Manusia + alam = keseimbangan

Konsep ni selari dengan visi pengarahnya, Zhang Yimou, yang memang suka gabungkan elemen visual besar dengan simbol budaya yang mendalam.

Kesimpulannya, bila tengok Impression Lijiang, kita bukan sekadar tengok tarian cantik. Kita sebenarnya sedang “baca” cerita tentang identiti, alam, dan jiwa masyarakat Yunnan,  cuma dalam bahasa warna, muzik dan pergerakan.

Kalau korang pergi nanti, cuba perhati warna kostum dan jenis gerakan, memang rasa lain bila dah tahu maksud tersirat dia ๐Ÿ˜‰

Ok persembahan pun dah tamat, meh la kita balik dulu. Emm....kenapa tinggal je rain coat tu kat kerusi. hantar la balik tempat ambil tadi. Aduh kesian petugas dia nanti, dok kutip satu2. 

Jumpa lagi. Bye
Niena ๐Ÿ’š 

Tuesday, February 24, 2026

Melancong ke Yunnan: Blue Moon Valley, Lijiang (Part 7)

16 sept 2025 (Selasa)
Masih hari yang sama. Kira-kira jam 9.30 pagi kami turun, bukan berjalan kaki tapi kembali naik cable car menuju ke stesen utama di bangunan visitor center. Dalam gambar ni kami dah sampai di di bawah dan berjalan terus menuju ke tempat menunggu shuttle bus menuju ke Blue Moon Lake. Ia sebenarnya berada di bangunan yang sama dimana kami menunggu shuttle bus ke JDSM pagi tadi cuma lorongnya saja yang berbeza. Perjalanan ke BML mengambil masa kira2 20-25 minit sahaja. Oh...hampir terlupa, di sini si Ah Meng dah sedia menunggu kami. Dia perkenalkan kami dengan si Heijun- owner Lijiang Tourisme.
Tunggu bas kat sini. Kat signboard ada ditulis lokasi yang akan kita tuju.  
Pagi tadi kat belakang bangunan ni akan kelihatan puncak JDSM, tapi sekarang dah diselimuti kabus
Ni la si Heijun- Lijiang Tourisme agent. Dia terangkan kemana kami akan pergi nanti di BML Dia boleh berbahasa melayu tapi sikit2 je la
Tidak ada bayaran tambahan untuk masuk ke BML sebab ia dah termasuk dalam harga tiket ke JDSM. Tapi kita kena beli tiket shuttle bus ke BML ni. Si Ah Meng lupa kot nak belikan sekali hari tu, jadi sekarang dia kena tolong beli tiket untuk kami. Tak ramai orang masa ni. 
Bas berhenti di kawasan laluan masuk BML. Si Ah Meng kumpulkan baju oren tadi dan sumbat dalam beg. Ehh...muat pula. Dia pikul beg tu ke mana-mana. Sebagai driver dia juga bertindak sebagai guide dan kadang2 dia juga jadi photographer kami. Tadi si Heijun tanya, samada kami perlukan makanan atau tidak. Katanya kat sini memang payah nak dapat makanan halal, tapi kalo kami nak, dia boleh tolong beli nasi goreng cina di bandar Lijiang. Jadi kami setuju je, harga nasi goreng ialah 15 Yuan. Ah Meng bawa kami menyusur tepian tasik dan berhenti di tempatyang menarik untuk mengambil gambar. 
Blue Moon Valley, bukan sekadar destinasi pelancongan, tetapi permata alam yang bersemayam anggun di sisi Lijiang. Namanya disebut-sebut seperti sebuah puisi, dan keindahannya seolah-olah terukir dari mimpi. Airnya lahir daripada salji yang mencair di puncak Yulong Snow Mountain, mengalir turun membawa nafas dingin gunung. Setiap titisan memantulkan warna turquoise yang memukau, biru yang bukan sekadar warna, tetapi getar rasa yang meresap ke jiwa sesiapa sahaja yang memandangnya. Di sekeliling lembah, puncak-puncak gunung berdiri megah sebagai penjaga setia. Pokok-pokok alpine pula melambai lembut ditiup angin, seakan-akan selendang hijau yang menari di tepian tasik, mengiringi bisikan alam yang tidak pernah diam. Sepanjang lembah itu terbentang empat tasik yang terpisah oleh air terjun kecil dan bongkah batu purba, Yuyu Lake, Mirror Pond, Blue Moon Lake, dan Wave Listening Lake. Masing-masing memancarkan pesona tersendiri, seolah-olah helaian bab dalam sebuah epik alam yang agung. Sungai yang mengalir di celah-celahnya dikenali sebagai Baishui River, Sungai Air Putih. Dasarnya yang dilitupi batu kapur dan marmar menjadikan alirannya tampak putih berkilau, sehingga airnya kelihatan seperti hamparan cermin raksasa. Di permukaan itulah bayangan puncak gunung bersalji terpantul dengan sempurna, mencipta ilusi seolah-olah langit dan bumi bersatu dalam satu lukisan yang hidup. Tidak hairanlah lembah ini sering digambarkan sebagai karya seni alam yang tiada tandingan. Dan di tengah panorama yang menggetarkan hati itu, kelihatan pasangan-pasangan bakal pengantin berdiri dengan penuh harapan. merakam cinta mereka di hadapan latar yang melambangkan kesucian dan keabadian. Kerana di Blue Moon Valley, cinta, alam, dan keindahan seakan-akan bertemu dalam satu detik yang abadi.
Blue Moon Valley, namanya lahir daripada lekuk alam yang memeluk bumi seperti bulan sabit yang tergantung di dada langit. Dari kejauhan, lembah itu seakan cebisan cahaya yang jatuh ke bumi. Airnya, biru kehijauan, jernih bagai kristal, menyala terang setiap kali dipanah mentari. Sinar matahari yang menyentuh permukaannya akan memercikkan kilauan zamrud, seolah-olah ribuan permata tersembunyi di dasar tasik. Tidak hairanlah kawasan ini turut dikenali sebagai Baishui River, Sungai Air Putih, kerana alirannya yang kaya dengan mineral dan lahir daripada rahim glasier purba. Lembah ini bukan tercipta dalam sekelip mata. Ia dibentuk oleh perjalanan waktu yang panjang, ribuan tahun proses glasier yang mengalir turun dari gagahnya Yulong Snow Mountain. Ais yang mencair dari puncak gunung menyusuri batu kapur dan mineral, menenun warna biru zamrud yang unik, warna yang seakan memegang rahsia zaman silam. Setiap titisan airnya membawa sejarah gunung. Setiap alirannya menyimpan nafas ais purba. Kini, lembah yang memukau ini menjadi sebahagian daripada Taman Negara Yulong Snow Mountain, sebuah kawasan perlindungan semula jadi, seolah-olah alam sendiri mahu menjaga keajaiban ini daripada terusik oleh tangan manusia. Dan sesiapa yang berdiri di tepi airnya akan mengerti bahawa Blue Moon Valley bukan sekadar lanskap indah, tetapi karya agung masa dan alam yang tidak ternilai. 

Kalo cuaca ok, akan nampak gunung ganang kat belakang ni
Di bumi yang diselubungi kabus tipis dan bisikan angin pegunungan, Blue Moon Valley bukan sekadar indah pada pandangan mata, tetapi sarat dengan roh dan kepercayaan yang diwarisi turun-temurun oleh masyarakat Naxi. Lembah itu berdiri dalam wilayah tradisi mereka, tanah yang dianggap suci, tempat alam dan jiwa manusia bertaut dalam ikatan yang tidak terlihat namun amat dirasai. Menurut ajaran Dongba, agama kuno yang menjadi nadi spiritual masyarakat Naxi, gunung agung Yulong Snow Mountain bukan sekadar timbunan batu dan salji. Ia adalah gunung suci penjaga langit dan bumi, saksi bisu kepada doa-doa yang diangkat bersama angin. Dari puncaknya yang memutih, mengalirlah air glasier yang jernih membelah lereng-lereng batu, turun perlahan ke lembah. Air itu bukan sekadar aliran semula jadi tapi ia dipercayai membawa kesucian, keberkatan, dan tenaga kehidupan. Setiap titisan seolah-olah menyimpan doa, setiap riak kecil mengandungi rahsia langit. Dan di antara gunung dan air itulah teranyam kisah-kisah cinta yang merentas batas dunia. Blue Moon Valley sering dikaitkan dengan legenda cinta agung masyarakat Naxi, kisah tentang kesetiaan yang tidak pernah luntur, tentang pengorbanan yang mengalir abadi seperti sungai dari gunung salji.

Di sinilah alam menjadi saksi.
Di sinilah cinta berubah menjadi mitos.
Dan di sinilah dongeng tidak pernah benar-benar berakhir. 
Menurut kisahnya, pada zaman dahulu, ketika kabus masih berbicara dengan angin dan gunung menyimpan rahsia para dewa, berdirilah megah Yulong Snow Mountain di bumi indah berhampiran Lijiang. Di kaki gunung itu, mengalir sungai jernih seperti kaca. Masyarakat Naxi percaya bahawa setiap titisan airnya membawa roh kehidupan. Kisah lagenda cinta Putera Gunung dan Gadis Kayangan. Di sebuah kampung kecil, hiduplah seorang pemuda. Kita namakan dia dengan Amir, senang ingat..๐Ÿ˜Š Dia bukan bangsawan, bukan pahlawan, hanya anak petani yang rajin dan berhati lembut. Namun hatinya seteguh batu gunung dan sejujur air sungai. Perghh... Suatu petang, ketika matahari hampir tenggelam di balik puncak bersalji, Amir terdengar nyanyian halus dari lembah. Suara itu seindah alunan seruling buluh. Amir begegas mencari punca suara. Di tepi tasik biru kehijauan, berdirilah seorang gadis berpakaian putih berkilauan seperti salji. Kita namakan Yuni, puteri kayangan penjaga air glasier. Mata mereka bertemu dan pada detik itu, gunung seakan terdiam. 

Hari demi hari, Amir kembali ke lembah. Yuni turun dari kayangan setiap senja untuk bertemu dengannya. Mereka berbicara tentang dunia manusia dan dunia langit, tentang impian dan harapan. Namun cinta antara manusia dan kayangan tidak diizinkan. Dewa langit murka apabila mengetahui hubungan mereka.

“Jika kau memilih manusia,” titah dewa, “kau akan kehilangan keabadianmu.”

Yuni tidak gentar.

“Aku rela kehilangan keabadian, asalkan tidak kehilangan cinta.”

Keingkaran itu membawa sebuah hukuman, dewa memisahkan mereka. Amir disumpah menjadi gunung batu yang berdiri teguh dan tidak boleh bergerak, itulah Yulong Snow Mountain yang menjulang hingga kini. Yuni pula berubah menjadi aliran air yang mengalir dari puncak gunung, turun ke lembah membentuk tasik biru jernih. Air itu adalah air mata cintanya. Maka terbentuk lah Blue Moon Valley. Walaupun terpisah bentuk, mereka tidak pernah berpisah jiwa. Gunung sentiasa memandang tasik di kakinya. Air sentiasa mengalir dari tubuh gunung.

Maka anak muda: 
“Cinta sejati bukan tentang memiliki, tetapi tentang setia walau terpisah.”

Hingga hari ini, apabila kabus menyelubungi gunung dan air tasik berkilau di bawah cahaya bulan, masyarakat Naxi percaya itu adalah bisikan cinta Amir dan Yuni. Dan sesiapa yang berdiri di Blue Moon Valley saat matahari terbenam, akan merasakan ketenangan aneh, seolah-olah cinta abadi masih bernafas di sana.
Dalam denyut nadi masyarakat Naxi, tersemat sebuah kepercayaan purba yang dikenali sebagai Dongba, bukan sekadar agama, tetapi jambatan halus antara manusia dan alam ghaib. Para pendeta Dongba menuturkan bahawa Yulong Snow Mountain bukan hanya gunung yang menjulang tinggi menyentuh langit. Ia adalah gunung suci, takhta para roh penjaga, benteng antara dunia fana dan alam yang tidak terlihat. Setiap puncaknya menyimpan doa, setiap hembusan anginnya membawa bisikan makhluk halus yang setia menjaga keseimbangan bumi. Air glasier yang mengalir turun dari tubuh gunung itu pula bukan sekadar cairan dari ais purba. Ia diyakini mengandungi tenaga kehidupan, nadi alam yang menyucikan jiwa dan menguatkan roh. Setiap titisan seolah-olah membawa restu langit, mengalir lembut menyentuh tanah dan manusia dengan keberkatan yang tidak terucap. Bagi masyarakat Naxi, alam bukan sekadar jasad fizikal yang dapat disentuh dan dilihat. Gunung mempunyai jiwa. Sungai mempunyai suara. Bulan menyimpan rindu. Salji menyelubungi doa-doa yang tidak terlafaz. Segala yang wujud bernafas dengan semangatnya sendiri.

Dari kisah lagenda cinta masyarakat Naxi percaya, alam sentiasa menjadi saksi dan lambang. Gunung melambangkan keteguhan cinta. Sungai menjadi aliran kesetiaan. Bulan menggambarkan kerinduan yang tidak pernah padam. Salji pula memeluk kisah pengorbanan yang suci. Kerana bagi mereka, cinta bukan sekadar perasaan tetapi ia adalah janji yang terukir dalam alam.

Di tanah masyarakat Naxi, setiap unsur alam berbicara.
Dan sesiapa yang mendengar dengan hati yang tenang, akan merasakan, bahawa alam itu sendiri sedang bercerita.
Pada suatu ketika dahulu, lembah ini hanyalah rahsia alam, dikenali dan disayangi oleh penduduk tempatan yang mewarisi ceritanya dari generasi ke generasi. Tersembunyi di balik kabus gunung, seakan-akan enggan menonjolkan keindahannya kepada dunia luar. Namun segalanya berubah apabila Lijiang diangkat sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada tahun 1997. Sejak saat itu, tirai yang menyelubungi wilayah ini tersingkap perlahan. Dunia mula menoleh ke arah keagungan Yulong Snow Mountain dan pesona memukau Blue Moon Valley. Lembah yang dahulu sunyi kini bernafas dengan langkah para pengembara. Keindahannya yang pernah menjadi bisikan tempatan, kini menjadi kekaguman sejagat. Hari ini, Blue Moon Valley berdiri sebagai pentas alam yang agung, tempat pasangan merakam janji cinta dalam fotografi pra-perkahwinan, latar indah bagi dokumentari yang merakam keajaiban alam semula jadi dan destinasi ekopelancongan yang mengundang manusia mendekat, namun belajar menghormati. 

Dari rahsia tersembunyi menjadi ikon dunia,
lembah ini membuktikan bahawa keindahan sejati akhirnya akan menemukan jalannya untuk dikenali.
Bersambung...
Niena ๐Ÿ’š

Melancong ke Yunnan: Impression Lijiang Show (Part 8)

 16 September 2025 Sambung balik cerita semalam… masa ni kami masih lagi dekat kawasan JDSM, atau Yulong Snow Mountain . Lepas puas ronda da...