Thursday, June 22, 2023

Bercuti ke Turki: Masjid Ortakoy di Selat Bosphorus..(Part 13)

20 Dec 2022 (Selasa)

Assalamualaikum & Hi...
Jumpa lagi kita...

Argghhh...petang semalam sakit kepala. Ingat nak sambung menulis, tapi dia punya sakit tak ble bincang. Sudahnya tidur awal. Ingatkan bawa tido tu dia ok, rupanya membawa ke pagi hari. Pegi sekolah pun macam ting tong je. Akhirnya mengalah juga makan panadol. Emm.....sebenarnya aku jenis tak suka makan ubat 😒Ngeri tengok ubat besar2, tak boleh masuk tekak. Panadol kena patah 2 dulu baru ble telan...😁3 hari dah stuck kat entry ni je.... Tak siap2, bukan apa tak sabar nak ke Kashmir😀

Jom sambung cerita kita di Istanbul.....


Hari ni kami akan pergi melawat Masjid Ortokoy. Tapi sebelum tu kita sarapan dulu di level 5. Disediakan percuma utuk tetamu yang menginap di sini. Sebahagian gambar di ambil dari website Marmara Deluxe Hotel. Seperti yang aku tulis pada part sebelum ni, hotel ni menyediakan pilihan makanan yang pelbagai. Jadi boleh la memilih mana satu yang boleh ngam dengan selera kita. Ok sambil2 korang tengok gambar makanan, aku nak cerita secara ringkas tentang Turki. Ada banyak maklumat di internet, tapi aku saja nak memanjangkan cerita..😝

Sumber: http://www.marmarahoteldeluxe.com/
Sumber: http://www.marmarahoteldeluxe.com/

Turki ialah sebuah negara Eurasia yang unik kerana ia terletak di antara Benua Eropah dan Benua Asia. Sebahagian besar wilayah Turki berada di Benua Asia manakala sebahagian kecilnya berada dalam kawasan Balkan di barat laut Benua Eropah. Istanbul antara wilayah yang berada di Benua Eropah. Berjiran dengan negara Bulgaria di sebelah barat laut, Yunani di sebelah barat, Georgia, Armenia dan Azerbaijan di sebelah timur laut, Iran di sebelah timur, dan Iraq- Syria di sebelah tenggara. Terdapat 3 laut besar berhampiran negara Turki iaitu Laut Hitam di utara, Laut Aegea di barat, dan Laut Mediterranean di selatan. Manakala laut Marmara yang terletak di Selat Bosphorus pula adalah sempadan semulajadi antara benua Eropah dan Asia.

Sumber: http://www.marmarahoteldeluxe.com/
Pelbagai jenis buah Zaitun, yogurt dan jem. Aku dah tau bagaimana rasa buah zaitun tu semasa berada di Cappadocia, jadi kat sini aku tak ambil dah...
Yang ini nampak sedap tapi aku tak ambil. 

Turki merupakan sebuah negara republik berperlembagaan yang mengamalkan sistem demoktarik, sekular dan kesatuan. Sistem politiknya diasaskan oleh Mustafa Kemal Atarturk pada tahun 1923 iaitu selepas kejatuhan empayar Uthmaniyah semasa Perang Dunia 1. Apabila sah dilantik menjadi pemimpin Kemal Atarturk mula membuka ruang untuk bergabung dengan barat, namun dalam masa yang sama masih menjalin hubungan dengan negara-negara Timur. Oleh kerana lokasinya yang strategik merentasi 2 benua, maka tidak hairan lah pencorakan budaya Turki menjadi sangat unik iaitu gabungan budaya timur dan barat. 

Jus & Kekacang
Dari segi bentuk muka bumi pula, di bahagian Anatolia utara, lanskap semulajadinya adalah tidak rata. Ia adalah jaluran yang panjang dan sempit menyisir di sepanjang Laut Hitam. Manakala di bahagian tengah Asia pula terdapat banyakt dataran tinggi kerana di sini terletaknya banjaran Koroglu dan Pontus merentasi dari utara ke selatan Turki. Disepanjang rangkaian banjaran ini, tepatnya di selatan Turki,  terletaknya Gunung Taurus. Manakala di sebelah timur Turki pula lanskapnya lebih menarik kerana terdapatnya gunung ganang. Di sini lah punca sungai Furat, Tigris dan Aras dan di sini juga la terletaknya gunung tertinggi di Turki iaitu Gunung Ararat berdiri setinggi 5,165 meter. Kepelbagaian lanskap Turki yang unik dan menarik ini terhasil dari pergerakan bumi yang berlaku sejak ribuan tahun lampau dengan kekerapan kejadian gempa bumi dan letusan gunung berapi. Selat Bosphorus dan Dardanelles lahir daripada garis sesar yang merentasi Turki hingga membentuk Laut Hitam. Wilayah Turki yang berada di sebelah Benua Eropah pula membentuk sempadan Turki dengan Yunani dan Bulgaria.
Pelbagai jenis roti
Makanan yang aku ambil...Tu la bestnya hotel ni, makan dia banyak pilihan

Turki mempunyai iklim yang berbeza mengikut kawasan. Misalnya di kawasan pantai Turki berdekatan Laut Aegia dan Mediterranean mengalami iklim yang sederhana. Ketika musim panas, ia akan menjadi panas dan kering dan apabila tiba musim sejuk, iklimnya akan jadi sederhana dingin dan lembap. Manakala kawasan pantai Turki berdekatan dengan Laut Hitam pula mempunyai iklim yang panas dan lembap pada musim panas dan pada musim sejuk akan mengalami sejuk dan lembap. Kawasan ini juga akan menerima jumlah kerpasan paling tinggi. Kawasan pantai Turki berdekatan Laut Marmara (termasuk Istanbul), yang menghubungkan Laut Aegia dan Laut Hitam, akan mengalami iklim peralihan antara Mediterranean sederhana dan Lautan sederhana yang mana ketika musim panas akan mengalami suhu hangat, panas dan sederhana kering. Manakala ketika tiba musim sejuk, suhunya akan menjadi nyaman, sejuk dan lembap. Salji pula akan turun di kawasan pantai Laut Marmara dan Laut Hitam, hampir setiap musim sejuk, tapi tak lama, hanya beberapa hari sahaja sebelum ia mencair. Jadi kalo kita sebagai pelancong yang datang ke sana dan tiba-tiba jumpa salji di Istanbul, ia adalah rezeki....😍. Tapi nampaknya kami belum ada rezeki tengok salji di Istanbul. Kena cari jodoh orang Istanbul nampak gayanya.....🙈

Menu pagi dorang, menu sihat...
Selesai bersarapan, kami meneruskan perjalanan. Berjalan kaki menuju ke Stesen tram Sirkeci. Keluar dari pintu hotel, ambil arah kiri, jalan terus sampai ke jalan besar. Tiba di jalan besar (jalan utama), ambil pula arah ke kanan....jalan terus menuju ke arah laut. Sebelum sampai laut tu dah nampak landasan tram dan station Sirkeci. Terus pergi ke sana. Oh ya, oleh sebab kami belum memiliki Istanbulkart, maka kami perlu membelinya. Semua maklumat tentang ini sebenarnya sudah dikongsikan oleh KH dalam group telegram kami. Oh ya KH baru perasan yang buku catatan nya hilang. Mungkin tertinggal di dalam poket depan seat dia sbb masa tu dia keluarkan sebab nak murnikan lagi catatannya. Kat dalam tu selain itinerary, ada semua info tentang restoran, cara nak pergi dari satu tempat ke satu tempat, semua la.... Jadi bila dah hilang tu kena cari balik info tentang perjalanan kami ni. 

Ini stesen tram Sirkeci. Sebelum masuk ke palang sebelah sana tu, kita kena beli Istanbulkart dulu. Mesin kuning tu ada di sebelah kanan. Kat belakang orang berdiri kat sebelah kanan tu. 
Ini contoh kiosk pembelian istanbulkart
Landasan ni ada 2 sebelah kiri dan kanan. Kami nak ke Karakoy, kena naik tram yang menuju ke sebelah Katabas. Sebelah kiri
Petunjuk arah yang ada di dalam tram

Istanbulkart ni ialah kad/ pas masuk untuk semua pengangkutan awam di Istanbul dari bas, tram, feri.. Aku kira sebagai pelancong yang pergi secara DIY, kita perlu membelinya. Kita berada di Istanbul ni, boleh tahan lama juga, kira- kira 5 hari, tolak sehari ke Bursa tingga 4 hari. Lama juga tu... Pergerakan kami dari satu tempat ke satu tempat sepanjang berada di Istanbul bergantung sepenuhnya kepada tram, bas dan jalan kaki. Tak pernah naik teksi, takut mahal wehhh.... Kebanyakan perkhidmatan awam di Turki tidak menerima wang tunai, sebab tu kena beli juga Istanbulkart ni. Kita boleh topup isinya bila-bila masa sahaja.

Sampai di Karakoy
   
Istanbulkart terdiri dari 5 jenis. Yang pertama kad tanpa had. Yang ini paling sesuai untuk pelancong. 
Yang kedua, khusus untuk warga Turki- Kad bulanan, Yang ke-3, khas untuk pelajar (Pelajar universiti, tak kira warga asing atau tempatan, boleh beli yang ini), yang ke- 4 ialah kad untuk warga emas (Orang Turki yang berumur 65 tahun sahaja). Misal kata kita nak bawa ibu bapa yang sudah berumur 65 tahun ke atas, kena beli yang no-1, sebab tak layak beli yang no-4. 😅 Yang ke-5 pula, kad biasa yang sesuai digunakan bagi mereka yang jarang menggunakan pengangkutan awam. 

Dari Karakoy Station ambil bas N0. 30 dan turun di Ortakoy-Katabas Erkek Lisesi. Dalam bas ni ada skrin yang akan maklumkan setiap stesen bas tu berhenti.

Istanbulkart boleh dibeli di mana-mana kiosk yang terletak di luar Istanbul airport. Kalo tak sempat beli kat sana, jangan risau mesin kiosk yang berwarna kuning banyak diletakkan berhampiran semua stesen metro, tram dan feri. Sebenarnya kita pun tak pandai beli kad ni sebab arahannya dalam bahasa Turki. Akhirnya ada orang awam yang tolong tekan-tekan kemudian kita sendiri masukkan duit dan akhirnya dapat kad. Sebenarnya arahannya tu boleh ditukar kepada bahasa Inggeris tapi sebab baru kali pertama, kitorang belum tahu lagi. Pada masa kami pergi ni, Kad sahaja berharga 25 TL. Jadi kena beli kad dulu , masukkan duit 25 TL, kad akan keluar. Kemudian letak kad dekat mesin tu untuk tambah topup, tunggu sampai dier selesai scan, tekan nilai.....then selesai.  KH beli untuk diri dia sendiri. Pada mulanya aku pun nak beli untuk aku sendiri sahaja tapi Z kata kita share. Ok la...Oleh sebab aku memang bercadang untuk kembali lagi ke Turki Pada masa akan datang, maka aku cakap kat Z, aku nak ambil kad tu nanti jadi biar aku keluarkan duit untuk harga kad 25 TL tu. Dia pun setuju. Topup dia baru kita share. Oh ya Istanbulkart ni boleh digunakan untuk lebih dari 1 orang. Sebaiknya 1 kad boleh dikongsi untuk 3 orang sahaja. Namun, ada juga keburukannya guna 1 kad dikongsi bersama ni. harga tambang berbeza untuk orang pertama dengan orang seterusnya yang guna kad tu. Contohnya, kami nak Hagia Sophia. Harga tambang sepatutnya 2.00 TL (Sekadar contoh ya sebab bukan ini nilai tambangnya). Orang pertama yang tap kad ni pada mesin, akan dapat harga tambang 2.00 TL. Oarang kedua pula akan dipotong nilai dari kad ini sehingga 2.50 TL... Ini yang berlaku pada kami. Pada mulanya tak perasan, Tapi hairan sebab nilai pada kad kami cepat habis berbanding KH punya kad. Akhirnya bila diselidik begitu, patut la cepat habis kredit dalam kad kami. 

Sebenarnya kami ada juga terlepas stesen semasa naik bas tu. Jadi kami turun di stesen seterusnya dan jalan kaki menuju ke Masjid Ortakoy
Katabas Iskele ni ialah jeti feri.
Jalan kaki menuju ke Masjid Ortokoy
Roti ni agak keras tapi sedap tau. Sebab dia dibakar...
Yang ada macam rumput hijau tu gerai2 makanan. Ini pandangan belakang
Ini pandangan dari hadapan
Perjalanan menuju ke Masjid Ortokoy mengambil masa kira-kira 35 minit sahaja. Perjalanan nya adalah seperti berikut:
 
Cara 1:
  • Sirkeci Station (Pilih tram menghala ke Katabas: 4 stops)- Findikli-Mimar Sinan Universitesi (Sampai sini, kena turun dan jalan kaki menyeberang jalan, kemudian tunggu bas dari seberang jalan, ada Bus stop kat situ, Tunggu bas No 22)
  • Naik Bas No 22 atau 30D : Findikli (7 Stops) - Ortakoy-Katabas Erkek Lisesi (Turun sini dan kemudian jalan kaki kira2 290 meter menuju ke Ortakoy Mosque. 
Harga tambang ialah: 19.80 TL

Cara 2: Sirkeci Station- Karakoy (Turun di sini, ambil bas No.30 D (10 stops- Turun di Ortakoy-Katabas Erkek Lisesi (Turun sini jalan kaki ke Ortakoy Mosque)

Cara ke-3 :
Naik ferry. Yang ini lagi mudah dari jeti Sirkeci- turun dekat jeti Masjid Ortakoy

** Tapi sebenarnya kena selalu rujuk balik kat Google map juga. Mungkin setahun dua lagi cara 
     perjalanan ni dah tak valid sebab mungkin dah ada perubahan....

Masjid Ortokoy berlatarbelakangkan Selat Bosphorus
Ini bukan Masjid Ortokoy. Tapi ada dekat kawasan ni
Port ambil gambar.....
Ortakoy Camii (Camii=Masjid) atau dikenali sebagai Buyuk Mecidiye Camii dibina oleh Arkitek Nigogos Balyan pada tahun 1853 semasa pemerintahan Sultan Abdulmecid. Terletak di lokasi yang unik iaitu di tepi dataran Ortakoy, salah satu lokasi paling popular di Selat Bophorus. Masjid Ortakoy dibina di atas tapak sebuah masjid kecil yang dibina pada tahun 1720, namun ianya musnah semasa pemberontakan Patrona Halil pada tahun 1731. Balyans  mereka bentuk Masjid Ortakoy dengan gaya campuran iaitu gabungan Neoklasik dan Baroque. Kubah masjid ini  pada asalnya dibina menggunakan batu bata, namun ia sering mengalami keretakan dan hampir-hampir roboh lalu kubah baru telah dibina semula menggunakan konkrit. Masjid ini pernah mnegalami kerosakan akibat gempa bumi yang berlaku pada tahun 1894, dan kebakaran kecil pada tahun 1984, tetapi dibaikpulih. 


Kemudiannya kami menyusur dipesisir dataran melihat-lihat aktiviti pagi oleh warga tempatan. Ramai juga pelancong yang datang ke sini, ketika kami sampai. Tapi kami tak masuk ke dalam masjid kerana ianya ditutup. 
Ingat tak tadi aku tulis kat atas, dari Sirkeci kita boleh naik feri untuk sampai ke sini? Ini la jeti feri, berdekatan dengan Masjid Ortokoy. 
Kedai cenderahati dan restoran 
Pelbagai barangan cenderahati
Cantik cafe ni

Oh ya, aku lupa nak cerita tentang Selat Bosphrus yang menjadi latar Masjid Ortakoy. Selat Bosphorus merupakan sebuah selat yang memisahkan Turki di bahagian Eropah (Thrace) dan bahagian Asia (Anatolia), ia menghubungkan Laut Marmara dengan Laut Hitam. Selat yang terbentang sejauh 30 km ini mempunyai kelebaran 3,700 meter di bahagian utara dan 750 meter di antara Anadoluhisari dan Rumelihisari. Kedalamannya berbeza antara 36- 124 meter. Salah satu bandar yang berada di pinggir selat ini ialah Istanbul. Kat Selat ni ada 2 jambatan yang merentangi menghubungkan Benua Eropah Dan Benua Asia iaitu Jambatan Bosphorus yang merentang sepanjang 1,074 meter. Ia siap dibina pada tahun 1973. Manakala jambatan ke-2 ialah Jambatan Fatih Sultan Mehmet, berkepanjangan 1090 meter dan siap dibina pada tahun 1988. Selain jambatan terdapat juga 1 terowong yang dibina di kedalaman 55 meter di bawah selat sepanjang 1400 meter.

Dipercayai bahawa Selat Bosphorus wujud kira-kira 8000 tahun yang lalu. Pada asalnya ia hanyalah sebuah lembangan sungai. Pada zaman dahulu air Laut Marmara dan Laut Hitam mempunyai kedalaman yang rendah sahaja dan ia tidak bersambung antara keduanya. Namun apabila berlakunya proses pemcairan salji, maka berlaku peningkatan paras air laut secara perlahan-lahan dan membanjiri Selat Bosphorus.
Kapal berlabuh di pinggir selat
Aktiviti memancing menjadi keminatan masyarakat tempatan
Mendung wehhhh.....
kenapa dia duduk dalam gerimis??
Walaupun hari mendung dan sesekali gerimis mengundang kami meneruskan perjalanan menuju ke hujung dataran. Tempat ni cantik sebenarnya sekiranya tak hujan. Tenang, tak ramai orang.....ngam untuk orang yang patah hati 😅 kalo ada banyak masa boleh la datang ke sini duduk2 di tepi laut. Siapa tahu sang bayu dari selat Bosphorus ini mampu mengusir lara di hati mu...Cewah!!

Jiwang betul la kau Niena.....padahal gigih merentas gerimis semata-mata nak bergambar di sini....

Taraaaaa.......
Habis luntur bedak di muka dek terkena gerimis tadi...😁
Tak tau bangunan apa, tapi cantik kan. 
Dari dekat
Kami bertiga. Nampak panaskan....ya sesekali panas, lepas tu gerimis

Dah puas bergambar di sini kami meneruskan perjalanan ke Galata Tower....

Bersambung.....
Me,
Niena T

Rujukan: 
https://ms.wikipedia.org/wiki/Turki
https://en.wikipedia.org/wiki/Bosporus
https://en.wikipedia.org/wiki/Ortak%C3%B6y_Mosque
https://ms.rayhaber.com/2020/07/Masjid-Ortakoy-mengenai-masjid-besar/

No comments:

Summer di Japan: Naik Bas Dari Narita Airport keKawaguchico (Part 3)

 26 Mei 2024 (Ahad) Salam. Hi semua... Selepas mereput semalaman di Narita Airport, hari ni kami akan bergerak ke destinasi pertama kami iai...