Friday, June 16, 2023

Bercuti Ke Turki: Melawat Kota Purba Ephesus...(Part 8)

17 Dec 2022 (Sabtu)

Hari baru, semangat baru. Lokasi yang akan kami lawati pada hari ini ialah ke Ephesus. Oleh itu, kami bangun awal gilerr sebab nak mengejar train paling awal menuju ke Selcuk Station iaitu pada jam 7.10 pagi. Selepas solat subuh pada jam 6.47 pagi kami bergegas ke Alsancak train station. Berlari-lari kami di awal subuh tu, Nasib baik sejuk…kalo tak berpeluh juga. Sampai di train station, tak jumpa pula kaunter tiket. Ini bermakna kita kena beli tiket melalui mesin. Ahh…sudah. Kita nampak beberapa pegawai polis berdiri di luar bangunan sambil merokok. Kita pun sapa untuk minta tolong. Salah seorang daripada mereka datang tolong untuk beli tiket. Sebenarnya boleh je kita cuba beli, tapi masalahnya kita mengejar masa. Polis tu tolong tekan2 butang mesin, kita tinggal masukkan duit je….Selesai belian tiket dia bagitau ambil train di landasan paling kanan. Tapi dia cakap dalam Bahasa Turki, sambil dia memberi isyarat tangan menghala ke sebelah kanan. Bila sampai di luar bangunan, ada 2 landasan di sebelah kanan, dengan confidentnya kitorang ambil train di landasan no. 2 dari kanan dan train itu bergerak pada jam 7.10 pagi….Tapi rupanya dipertengahan jalan baru perasan yang train ini tidak menuju ke Tekapoy tetapi bertentangan arah. Ok tak apa, nikmati saja perjalanan ini. Kami sepakat untuk kekal di dalam train sehingga ia berpatah balik semula ke Alsancak. 1 jam kemudian, ya betul train ini kembali ke Alsancak. Kami mengambil train di landasan no 1 di sebelah kanan tadi. Train yang menuju ke Tekapoy ini dikendalikan oleh Syarikat Izban. Betul ada tertulis nama "Tekapoy" pada train. Di bawah ni adalah laluan perjalanan kami sehingga sampai ke Selcuk.
Alsancak train station (17 stops- 1 hour) -----> Tepekoy (Tukar train- 3 stops, 23 min) ------> Selcuk
Gambar atas: Kalo nak ke Selcuk kena ambil train di landasan no 1 dari kanan tu
Gambar bawah: Train yang kami naiki kali pertama itu sebenarnya menuju ke Aliaga

Tiba di Tekapoy Station. Kena turun di sini dan tukar train menuju ke Selcuk.....Kita tunggu train sampai kat sebelah sana yang ramai orang tu

Selepas 1 jam kami tiba di Tekapoy. Keluar dari train dan terus bergerak ke hadapan untuk menunggu train seterusnya menuju ke Selcuk. Tak perlu berjalan jauh, landasan untuk train menuju ke Selcuk tu berhadapan sahaja (lihat gambar atas). Kat sini ramai orang-orang tua yang masih lagi pergi ke pasar. Tapi mereka kelihatan cergas dan sihat. Rasanya atas sebab pemakanan. Sebab depa suka makan salad, buah zaitun, sarapan pagi semua makanan sihat... Kagum tengok depa yang sama-sama menunggu train menuju ke Selcuk. 
Ini tiba di Selcuk station. Dari sini keluar bangunan, ikut je orang ramai pegi mana....
Dari Selcuk Station kita kena ambil teksi menuju ke Ephesus. Teksi ada banyak di luar station. Jarak dari Selcuk station menuju ke Ephesus adalah 4 km iaitu 8 minit pemanduan. Tambang adalah 60 Lira. Kira murah la sebab kita patak-patak (share) bayar 3 orang.
Sebelah bangunan Selcuk Gar ni ada toilet. Ke sana dulu... (Gar: bermaksud stesen)
Sekitar Selcuk Station. Kat sini nampak gerbang tinggi tinggalan kerajaan lama..
Dah sampai kami terus menuju ke kaunter tiket. Bayaran masuk adalah 200 Lira. Tambahan 90 Lira sekiranya menyewa peralatan audio. Aku tak amik audio sebab aku nak fokus amik gambar. Depa 2 je amik audio. Kat depan ni ada Kedai jual cenderahati, tapi kitorang tak singgah pun. Nak singgah nanti masa pulang. Jika datang ke Izmir, Ephesus adalah salah satu tempat yang perlu kita lawati. Setidaknya sekali seumur hidup. 

Ephesus merupakan sebuah Kota pelabuhan Yunani kuno yang terletak di pantai barat Anatolia. Bersempadan daerah Selçuk, Izmir. Kota Ephesus dibina pada abad ke 10 SM iaitu di atas tapak bekas ibu kota Arzawan. Pada zaman Yunani kuno, Ephesus dianggap sebagai bandar paling penting di wilayah Mediterranean. Ini kerana kedudukannya yang strategik berdekatan dengan laut, merangsang pertumbuhan ekonomi dan secara tidak langsung aktiviti keagamaan, pentadbiran, pendidikan berjalan dengan baik. 
Beli tiket
Menurut cerita lama, Ephasus dibuka oleh Putera Androclos pada abad ke 11 SM. Putera Androclos berhajat untuk mencari satu petempatan yang sesuai untuk Yunani baru. Maka, beliau telah pergi kepada Oracle Delphi iaitu seorang peramal untuk mendapatkan petunjuk. Oracle menyatakan kepada beliau bahawa sampai satu masa nanti, akan ada seekor babi hutan dan ikan akan menunjukkan dimanakah lokasi yang sesuai untuk dijadikan petempatan baru Yunani. Androclos pun balik menjalani hidupnya seperti biasa. Pada satu hari, Androclos teringin untuk makan ikan goreng, lalu beliau memasang api di satu kawasan terbuka, ambil beberapa batu untuk tempat letak kuali (ehh....dah ada kuali ke masa tu? pokoknya, periuk la untuk tempat goreng ikan) dan kemudian mula mengoreng ikan. Tiba-tiba seekor ikan yang nak dimasukkan di dalam kuali tadi terjatuh pula ke semak-semak berhampiran. Mungkin Androclos pun terkejut sampai terkuis bara kayu, lalu menghasilkan percikan api pada semak-semak berdekatan beliau mengoreng ikan. Mula-mula kecil, lama-lama apinya semakin besar hingga membakar belukar. Kawasan hutan biasanya memang jadi petempatan bagi haiwan, bila adanya kebakaran walaupun kecil, maka banyak la haiwan keluar menyelamatkan diri. Tapi satu-satunya haiwan, yang keluar dari semak-semak tersebut adalah babi hutan. Beliau berfikir apa petanda ini semua, lalu teringat akan pesan dari Oracle Delphi. Maka di situ la Androclos membuka petempatan baru untuk Yunani dan memberi nama lokasi tersebut sebagai "Ephesus". Sejauh mana kebenaran cerita ini tidak la dapat dipastikan.....
Pada tahun 1996, satu penempatan yang dikenali sebagai Cukurici Hoyuk telah ditemui di pinggir Sungai Derbent. Lokasinya terletak di barat daya Selcuk, Aydin dan di segitiga jalan Ephesus. Cukurici Hoyuk adalah sebuah penempatan kuno yang terletak berhampiran dengan kota Ephesus iaitu berjarak hanya 1 km. Dengan jarak yang sebegitu hampir sudah pasti petempatan ini menyimpan kunci rahsia Ephesus. Selepas penemuan Cukurici Hoyuk, Adil Evren iaitu seorang ahli arkeologi, telah menubuhkan satu team penyelidikan dan hasil galian tersebut telah menemui pelbagai khazanah lama seperti kapak batu dan gangsa, jarum pengisar dan lain-lain. Penemuan ini membuka tirai sejarah Ephesus sejak awal hingga mencapai zaman Neolitik.
Perjalanan menuju ke Perpustakaan Celsus

Masuk abad ke-2 SM, Empayar Romawi telah berjaya menakluki kota Ephesus. Maka pada ketika ini Ephesus mengalami zaman kegemilangan yang mana banyak aktiviti pembangunan telah dilakukan oleh kerajaan Romawi. Antara bangunan yang terkenal dibina semasa zaman pemerintahan Romawi ialah bangunan perpustakaan Celsus, Grand theatre, Kuil Artemis dan Agora. 
Perpustakaan Celsus

Perpustakaan Celsus merupakan salah satu bangunan paling berprestij di Ephesus. Direka oleh seorang arkitek Rom iaitu Vitruoya atas arahan Tiberius Julius Aquila. Ia dibina pada awal abad ke-2 M, untuk memperingati ayahnya iaitu Tiberius Julius Celsus Polemaeanus yang banyak berjasa kepada negara. Celsus merupakan seorang yang kaya, berpengaruh dan sangat dihormati. Beliau memulakan kerjaya dalam bidang ketenteraan, jawatan tertinggi beliau di dalam tentera ialah sebagai jeneral. Kemudian dilantik menjadi konsul di Ephesus dan akhirnya beliau dilantik menjadi Gabenor Asia. Selepas ayahandanya meninggal dunia itu lah Aquila mengarahkan pembinaan Perpustakaan Celsus. Malangnya pembinaan perpustakaan Celsus mengambil masa yang lama dan tidak siap sehingga Aquila meninggal dunia. Namun akhirnya pembinaan Perpustakaan Celsus diteruskan dan siap sepenuhnya pada tahun 135 M, semasa pemerintahan Maharaja Rom Hadrian, beberapa tahun selepas Aquila meninggal dunia. 
Perpustakaan Celsus menduduki ranking ke-3 sebagai perpustakaan terbesar di dunia pada zaman tersebut, selepas perpustakaan di Alexandria dan di Pergamon (Bergama, Turki). Bangunan yang dibina hasil gabungan dari seni Rom & Yunani ini mempunyai ketinggian hampir 16 meter, dengan lebar 21 meter, lengkap dengan ruang legar sedalam 2.4 meter. Terdapat sebanyak 30 rak buku disediakan di perpustakaan Celsus untuk menyimpan 12,000 gulungan. Dikatakan bahawa pada ketika itu mereka mengimport kayu papyrus dari Mesir untuk dijadikan sebagai kertas. Aktiviti ini berlangsung cukup lama sehingga akhirnya pihak Alexandria sendiri menghentikan aktiviti export kayu papyrus ke Ephesus, kerana dikhuatiri jumlah buku atau gulungan kayu papyrus di Ephesus melebihi yang ada di Alexandria. Mana boleh lawan tokey kan... sebelum ini berlaku elok cantas awal. Ehh...terlebih pula.🙊
Bangunan hadapan Perpustakaan Celsus
Ok sambung cerita, perpustakaan Celsus ni, selain dari berfungsi sebagai gedung ilmu, ia juga berfungsi sebagai makam. Ingat tak tadi kita cerita tujuan perpustakaan ini dibina adalah untuk memperingati Celcus? Ya begitu la.. makan Celsus terletak di tingkat bawah, di pintu masuk yang ada patung Athena di atasnya. Patung Athena dianggap sebagai dewi kebijaksanaan. Pada tahun 262 M, Perpustakaan Celsus terbakar akibat serangan dari penceroboh Gothic. Menurut sumber, bangunan perpustakaan ini sempat di bangunkan kembali tetapi sekali lagi musnah akibat gemba bumi. Yang tinggal hanya lah bahagian depan bangunan. Pada tahun 1970-1978, Volker MIcheal Strocka, seorang ahli arkeologi Austria mengadakan kempen untuk membina semula bangunan Perpustakaan Celsus. Dalam usaha pembaikpulihan itu, Strocka telah menganalisis serpihan yang telah digali oleh ahli arkeologi Austria terdahulu pada tahun 1903-1904. Beberapa elemen seni bina lain juga telah diperolehi dari muzium di Vienna dan Istanbul. Semua itu dikumpulkan, mana2 bahan yang tiada akan di buat semula atau dibiarkan begitu saja. Hasilnya, kini kita masih dapat melihat tinggalan bangunan hadapan Perpustakaan Celsus yang masih gagah berdiri dengan megah. 

Great Theatre Ephesus

Kami meneruskan perjalanan menuju ke Great Theatre Ephesus. Menurut sumber, ia mula dibina pada zaman Helenistik. Pembinaannya berlangsung cukup lama, melewati 3 maharaja yang memerintah. Semasa pemerintahan Maharaja Claudius (41-54 M), beliau memerintahkan supaya bangunan teater ini diperbesarkan. Kemudiannya ia disambung oleh Maharaja Nero (54-56 M) dan ia siap dibina sepenuhnya pada zaman pemerintahan maharaja Trajan. Bangunan teater mempunyai kelebaran 145 meter, Struktur binaannya diperbuat daripada marmar, mempunyai lebar 145 meter. Pada zaman kegemilangannya, bangunan teater ini boleh memuatkan 24,000 orang penonton dalam satu-satu masa. Banyak aktiviti yang dijalankan di sini, tidak hanya aktiviti hiburan tetapi juga aktiviti berkaitan keagamaan, politik, falsafah dan lain-lain.  
Bangunan teater ini dibina berkonsep terbuka. Tidak ada bumbung yang menutupinya. Namun pada abad ke-2 M, pemerintah pada ketika itu telah membina awning untuk memberi keselesaan kepada penonton agar tidak terus terkena cahaya matahari. Antara tahun 359-366 bangunan teater ini telah rosak akibat daripada kejadian gempa bumi.

Sempat kami melepaskan lelah di sini. Duduk-dudk sambil makan buah apple yang sempat di bawa pagi tadi. Tangga teater ni agak tinggi, perlu langkah besar untuk melangkau ke anak tangga yang satu lagi. Mungkin orang dulu-dulu tinggi-tinggi maka ruang duduk pun kena besar. Akhirnya kami meninggalkan kota Ephesus dan kembali semula ke Alsancak.
Tempat ambil teksi untuk kembali ke Selcuk Station

Sebelum balik singgah makan aiskrim dulu

Konak Square
Dalam train ni kami berbincang untuk cari makan dulu di Konak Square. Jadi dari Tepakoy Station kami naik train dan turun di Hilal Station. Dari Hilal Station ambil metro dan turun di Konak Station. Dari Konak Station kami jalan kaki je ke Konak Square. Perjalanan kami adalah seperti di bawah: Oh ya....kenapa kat atas tu aku tulis dari Tepakoy station, bukan dari Ephesus? Sebab Tepakoy adalah station train yang membawa kita terus ke Alsancak. Oleh sebab kami akan singgah ke Konak Station maka kami akan turun di Hilal bukan turun di Alsancak. Dari Hilal Station ni macam ada 3 station lagi nak sampai ke Alsancak. Tapi tak apa aku akan tulis perjalanan kami dari Ephesus. 

Dari Ephesus Ancien City (naik Teksi)- Selcuk Station- Tepakoy Station- Hilal (Tukar Metro) - Konak Square. 
Tiba di Konak Station
Menara Jam di Konak Square
Kebab
70% diskaun agaknya ya
Moda pun ada di sini
Suka pergi tempat2 macam ni, kita bebas memilih. Ini antara kebaikan bila kita pergi jalan2 secara DIY. Kadang tu bukan nak membeli sangat pun, tapi biasa la wanita sejati, tengok2 barang pun boleh jadi terapi dan sudah rasa bahagia nya....😄
Kedai nama HOBI...Hobi kau apa? 
Ramai betul orang kan...sebab hari sabtu
Kedai paling aku suka di Turki 😍 Nak masuk tapi kawan aku nak makan....
Baju winter mengambil tempat di pasaran
Kalo tak cukup bawa baju boleh beli di sini. 
tak jumpa lagi restorannya kat mana...kita nak cari restoran yang Hang Dhamin sebut dalam Blognya tu tapi tak jumpa
Makanan kering khas Turki
Horeeyy...sudah jumpa akhirnya. Sebenarnya tempat makan ni di area pasar basah. Heheh.....Tak jumpa restoran yang dicari. Jadi akhirnya di sini lah kami mendarat... Dengan bahasa Turki tuan kedai tanya nak makan apa? Dia ada sebut menu yang ada tapi dalam bahasa Turki. Kami minta ikan dan tunjuk menu orang sebelah. Tapi makanan orang tu, ikan dia macam ikan kecil2.. nampak sedap juga. Tapi akhirnya ini yang sampai. alhamdulillah sedap juga cuma tawar....Kena makan roti, sekali sekala jadi orang futehh. Ikan tu sedap tapi itu la tawar. Sambil cubit ikan, sambil membayangkan, kalo la ada sos ke, sambal belacan ke...perghhh padu ni walau tak ada nasi!!

Lepas makan, tak dan nak jalan-jalan dah. Suhu makin sejuk, Hari makin gelap....jadi kami memutuskan untuk balik terus ke hotel. Sebenarnya dari Konak ni ada Metro terus menuju ke Alsancak, 1 station je. Tapi takut sesat ke laut, maka kami ikut jalan jauh dan mahal iaitu naik metro ke Hilal dan tukar train pula menuju ke Alsancak. 

Bersambung......
Rujukan:
special thanks to:
https://ms.m.wikipedia.org > wiki
renescadetsportsmouth.co.uk
https://ms.royalmarinescadetsportsmouth.co.uk/ephesus

No comments:

Summer di Japan: Naik Bas Dari Narita Airport keKawaguchico (Part 3)

 26 Mei 2024 (Ahad) Salam. Hi semua... Selepas mereput semalaman di Narita Airport, hari ni kami akan bergerak ke destinasi pertama kami iai...