18 Dec 2022 (Ahad)
Selesai membeli buah-buahan di Pasar Ahad, kami simpan buah-buahan ke bilik dulu. Kemudian kami bergerak keluar menuju ke arah Alsancak Station. Tujuannya bukan untuk naik train tetapi mengambil teksi di jalan besar berhadapan dengan Alsancak train station. Masih awal pagi lagi, tak ramai orang. Di jalan utama, kelihatan beberapa pemandu teksi. KH tanyakan harga tambang menuju ke Agora. Pemandu kata dia guna meter. Ok la kalo macam tu. Perjalanan menuju ke Agora mengambil masa kira2 15 minit dengan jarak 5 km sahaja.
Teksi turunkan di sini....Jalan kaki je masuk ke dalam |
Nak beli tiket masuk kat dalam ni. Harga tiket ialah 50 TL |
Mural Agora |
Smyrna adalah nama lama bagi Izmir, ia telah ditukar oleh kerajaan Turki pada tahun 1930. Ia merupakan sebuah bandar kuno pada zaman Yunani yang terletak berhampiran dengan laut Aegea di wilayah Anatolia. Kedudukannya yang strategik iaitu berada di tengah-tengah antara laluan perdagangan laut dan darat, secara tidang langsung melayakkannya menjadi bandar pelabuhan yang paling menguntungkan dari segi ekonomi dan juga pertahanan. Salah satu peninggalan terpenting di Smyrna ialah "Agora". "Agora" ialah istilah dalam bahasa Greek yang membawa maksud "tempat perhimpunan atau pertemuan".
Menurut maklumat yang diperolehi dari: (https://nomadicniko.com/2013/10/20/smyrna-agora/), Smyrna sebenarnya terbahagi kepada 2 iaitu Smyrna lama dan Smyrna Baru. Smyrna lama terletak di Tepekule, Bayrakli Izmir telah selesai dibina pada abad ke 11 SM. Pada abad ke-4, Alexander The Great datang ke Smyrna lalu berjaya menaklukinya. Beliau juga la orang yang bertanggungjawab membuka bandar Smyrna baru selepas didatangi mimpi. Pada satu hari Alexander keluar memburu di atas bukit Pagos. Balik dari memburu beliau singgah di kuil Nemesis. Sampai di situ, beliau rasa mengantuk lalu berhajat untuk tidur sebentar, lalu mencari tempat yang sesuai untuk melelapkan mata. Beliau ternampak sebatang pokok yang tumbuh dari mata air di hadapanya lalu tidur di bawah pokok tersebut. Dalam tidurnya, beliau bermimpi didatangi Nemesis yang memerintahkannya membina sebuah bandar/ petempatan baru di lokasi tersebut dan meminta masyarakat Smyrna tinggal di situ. Maka, setelah itu Alexander memulakan pembinaan bandar baru Smyrna dan seterusnya membina Agora. Pembinaan itu berlangsung cukup lama sehingga Alexander meninggal dunia. Setelah pembinaan bandar baru Smyrna siap beberapa tahun selepas kematian Alexander, orang ramai mula berpindah ke sini dan meninggalkan smyrna lama.
Kat bawah ni terletaknya saluran air kuno zaman Yunani. 2 daripadanya masih digunakan hingga kini |
Agora adalah sebuah bangunan empat segi tepat berukuran 161 x 29 meter. Mempunyai halaman yang luas di tengahnya dan dikelilingi dengan tiang-tiang tinggi. Ia berfungsi sebagai pusat pentadbiran, politik dan kehakiman, pusat perniagaan domestik dan antarabangsa, aktiviti keagamaan dan lain-lain. Bangunan utama di Agora ialah Basilika setinggi 3 tingkat yang digunakan untuk sebarang urusan berkaitan kehakiman. Turun ke ruang bawah tanah Basilika pula, terdapat 4 ruangan galeri. 3 galeri dikhaskan untuk aktiviti perniagaan dan ruang penyimpanan, manakala 1 galeri lagi adalah sebuah dewan yang di lapisi dengan lantai diperbuat daripada marmar dan dihiasi dengan lukisan dinding. Tetapi semua ruang galeri ini ditutup kepada kunjungan awam. Pada tahun 178 M, bangunan Agora musnah akibat gempa bumi. Semasa pemerintahan Maharaja Rom Marcus Aurelius, baginda berinisiatif agar Agora dibaikpulih.
Memasuki ruang Agora, kita dapat lihat tinggalan runtuhan bangunan, membawa kita menyelami suasana di zaman kegemilangan yang mana pada satu ketika dahulu lokasi ini menjadi tempat persinggahan yang sangat popular di laluan sutera. Kelihatan struktur tiga lapis, basilika, tiang marmar yang masih berdiri kukuh, pintu gerbang dan grafiti purba di sini. Spontan tergambar di layar minda, bangunan bazar bertingkat pada zaman dahulu. Seperti terdengar2 riuh rendah warga berurusan jual beli di sini.
Pada zaman dahulu di sini letaknya pintu utama ke Agora |
Menyusuri ruang tingkat bawah pula terdapat saluran air purba berusia 2,000 tahun yang masih wujud hingga kini. Airnya jernih mengalir di dari celah batu menuju ke parit kecil. Dikatakan punca air datang dari mata air di bawah tanah. Di sini banyak terdapat parit kecil dan 2 daripadanya masih berfungsi. Pada zaman empayar Rom, parit kecil dibina untuk tujuan mengalirkan air dari mata air ke kawasan kejiranan yang lebih rendah atau di kawasan yang tidak ada sumber air. Pada zaman dahulu, banyak dibina tempat mandi awal di kawasan bandar. Maka air dari sumber mata air di bawah agora ini akan dialirkan ke kawasan tempat mandi awam, atau di sambungkan ke paip di bandar-bandar dan orang awam boleh mengambil air dari paip persebut.
Seiring berlalunya waktu, lama kelamaan Smyrna semakin hilang seri. Salah satu faktor penyumbang adalah pusat pemerintahan telah beralih ke Constantinople. Maka urusan perdagangan juga sudah mula berkurangan, dan ramai yang meninggalkan Smyrna Agora pada abad ke-7. Lama-kelamaan tapak yang dulunya meriah dengan kesibukan harian, kemudiannya digunakan sebagai tanah perkuburan dan kini hanya tinggal serpihan kenangan yang masih dapat kita lihat.
Penulis bergambar kenangan di saluran air bawah tanah Agora....Cewah....😁 |
Kadifekale Castle
Selesai melawat Agora kami meneruskan perjalanan ke Kadifekale Castle. Kami keluar dari kawasan Agora untuk mengambil teksi. Menunggu beberapa ketika tapi tak nampak bayang teksi. Ketika kami berada di Agora sebenarnya tidak ramai pengunjung yang datang. Paliang awal sampai hanya kami bertiga dan ketika kami hampir selesai, baru kelihatan 2 keluarga datang ke Agora. Kami sampai terlalu awal atau mungkin orang ramai lebih berminat ke Ephesus. Kami berjalan kaki menuju ke jalan utama. Eh rupanya tak jauh. Kat sini kami nampak ada teksi kat seberang jalan kami pun meuju ke situ. Akhirnya dapat satu teksi, dia guna meter, jadi tak ada masalah. Perjalanan menuju ke Istana hanya berjarak 3.2 km sahaja tetapi kerana jalannya yang berliku dan mendaki dan berbukit maka perjalanan mengambil masa 7 minit untuk sampai ke atas.
Dari seberang sini kita kena menyeberang ke sebelah sana. Ada teksi di situ tapi tak nampak dalam gambar ni. Di akhirnya baru kami tau bahawa di tempat teksi tu adalah pintu masuk ke Pasar |
Pemandu teksi, handsome orangnya....😍 |
Istana Kadifekale berkait rapat dengan perjalanan sejarah bandar Yunani purba iaitu Smyrna. Bandar Smyrna dibina di atas puncak Gunung pagos. Disepanjang perjalanan naik kelihatan kubu dan tembok tinggi mengelilingi istana. Pada tahun 197 SM, Smyrna telah berjaya ditakluki oleh kerajaan Pergamon tetapi kemudiannya orang-orang Rom berjaya menguasai Smyrna selepas kemangkatan Attalos II iaitu Raja Pergamon. Sama seperti Agora, Istana Kadifekale juga mengalami kemusnahan akibat gempa bumi pada tahun 178 M dan Maharaja Rom Marcus Aurelius memerintahkan untuk istana dibaiki. Pada tahun 395 M, Empayar Rom telah dibahagikan kepada beberapa bahagian dan Smyrna telah masuk dibawah pemerintahan Byzantine. Seiring berlalunya waktu, selepas pemerintahan Byzantine, Smyrna pernah dikuasai oleh Arab, seljuk, Tentera Salib dan Genoa. Terakhir Istana Kadifekale dibaikpulih semasa pemerintahan Sultan Uthmaniyyah Mehmed II dan itu la yang kita dapat lihat pada hari ini.
Sebenarnya kami datang ke sini bukan untuk melihat Istana tetapi datang untuk melihat arca Ataturk. Cerita tentang Ataturk ni banyak bersebaran di internet tapi aku nak cerita juga ringkasannya. Saja nak memanjangkan post kali ni. 😀
Arca Kemal Atarturk yang boleh dilihat dari sini |
kelihatan sebahagian bandar Izmir |
Mustafa Kemal Ataturk atau nama sebenarnya Gazi Mustafa Kemal Pasa merupakan seorang pegawai tentera, pemimpin revolusi dan Presiden Turki yang pertama. Sebelum pemerintahannya Kemal Atartuk perlu membuktikan dirinya layak menjadi Presiden. Selepas Pihak bersekutu berjaya mengalahkan Empayar Uthmaniyah, mereka bercadang untuk memecahkan empayar Uthmaniyah kepada beberapa bahagian. Mendengar berita itu Kemal Atarturk berinisiatif menubuhkan Gerakan Nasional Turki untuk memperjuangkan kemerdekaan. Berlaku kekocohan sehingga berlaku Perang kemerdekaan Turki. Akhirnya gerakan yang dipimpin oleh Atarturk menang dan beliau diangkat menjadi Presiden.
Kemal Atarturk memerintah dari tahun 1923 sehingga tahun 1938. Dalam tempoh tersebut banyak pembaharuan telah dibuat. Antara yang penting ialah beliau memperkenalkan ideologi" Kemalisme" iaitu penstrukturan semula apspek kehidupan rakyat Turki agar bersesuaian dengan tuntutan semasa. Tujuannya adalah untuk menyediakan Turki ke arah negara moden, demokratik dan sekular, berfikiran positif, progresif dan boleh bertindak secara rasional. Perkara pertama yang dilakukan selepas dilantik menjadi presiden ialah memindahkan ibu negara Turki dari Istanbul ke Ankara lalu melancarkan gagasan ideologi Kemelisme. Pihak kerajaan telah mengambil alih pentadbiran berkaitan pendidikan, ekomomi, undang-undang dan lain-lain. Semua perubahan yang dilakukan adalah atas nama Turki. Contohnya keistemewaan ekonomi yang sebelum ini diberi kepada warga asing telah dimansuhkan. Aspek pendidikan yang sebelum ini bukan menjadi satu keutamaan kepada rakyat telah disusun atur semula. Atarturk mewajibkan kanak-kanak menghadiri pendidikan sekolah rendah dan mana-mana sekolah asing telah diambil dan diletakkan di bawah kawalan negeri. Atarturk juga memperkenalkan hak sama rata antara wanita dan lelaki dari segala hal, dalam politik, undang-undang dan sebagainya. Antara perubahan yang dilakukan juga adalah topi dan pakaian lelaki. Golongan minoriti diwajibkan bercakap dalam bahasa Turki dikhalayak umum dan azan juga telah ditukar kepada bahasa Turki. Namun polisi penukaran azan kepada bahasa Turki hanya bertahan beberapa tahun sahaja kerana mendapat bantahan rakyat Turki. Atas beberapa sumbangan positifnya kepada negara (tapi bukan dari aspek agama) itulah Atarturk diingati dan disanjung oleh rakyat Turki hingga kini.
KH diekori kanak-kanak. Ramai peminat dia...😅 |
Akhirnya kami kembali semula ke arah teksi. Tapi sebelum tu ternampak pemandangan cantik di hadapan sana. jom pergi tengok...
Penulis bergambar kenangan berlatarbelakangkan sebahagian bandar Izmir |
Sebahagian besar bandar İzmir & Teluk İzmir. |
Petempatan di pinggir gunung Pagos |
Bersambung....
Rujukan:
https://ms.facts-news.org/definisi-agorahttps://en.wikipedia.org/wiki/Agora_of_Smyrna
https://nomadicniko.com/2013/10/20/smyrna-agora/
https://www.castles.nl/kadifekale-castle
https://ms.wikipedia.org/wiki/Mustafa_Kemal_Atat%C3%BCrk
No comments:
Post a Comment