Monday, September 11, 2023

Bercuti ke Turki: Hagia Sophia (Part 20)

21 Dec 2022 (Wed)
Bergambar kenangan di Ihlara Valley, Cappadocia
Kami meneruskan perjalanan ke Hagia Sophia. Dari Capa- Sehremini ke Sultanahmet mengambil masa 25 minit menaiki tram. Selain dari menaiki tram, boleh juga naik bas. Cuma agak leceh bagi kita yang tak biasa dengan jalan2 di Istanbul. Maka untuk mengelakkan tersesat kemana2 maka tram adalah pilihan terbaik. Tak perlu dah tukar tram sbb ia jalan sehala menuju ke Sultanahmet.
Suasana pagi di depan Hagia Sophia. Masa ni kami dalam perjalanan menuju ke Muzium Roman. Gambar Hagia Sophia pada waktu siang diambil sebelum kami ke Restoran Nussantara. Pagi2 dah mula ada Q untuk masuk ke Hagia. Sebaiknya untuk datang ke sini datang la seawal 7 pagi. Hagia Sophia pada asalnya dibina sebagai sebuah gereja bagi penganut Kristian Ortodoks antara tahun 532- 537 SM atas arahan Maharaja Justinian pada zaman Empayar Byzantine. Semasa era pemerintahan Maharaja Justanian I, berlaku rusuhan besar-besaran yang dinamakan sebagai "Rusuhan Nika". Rusuhan berlaku kerana rakyat tidak bersetuju dengan sistem cukai yang diperkenalkan oleh Maharaja Justinian yang dianggap menekan rakyat. Perusuh telah bertindak membakar 2 buah bangunan gereja utama yang ada di sana. 
Dua bangunan gereja yang di bakar oleh perusuh tadi ialah Hagia Eirene dan Hagia Sophia. Rusuhan Nika yang berlaku selama 3 hari berturut-turut, memusnahkan sebahagian besar bangunan gereja tetapi akhirnya Maharaja berjaya mengawal keadaan dengan bantuan tenteranya. Selepas rusuhan tamat Maharaja melihat keadaan kerosakan pada kedua2 bangunan gereja dan berpendapat bahawa untuk membaikpulih mana-mana bahagian bangunan yang rosak tidak begitu sesuai tetapi ia perlu dibangun semula. Tetapi masaalahnya jatuh kepada soal kos. Pasti ianya melibatkan kos yang besar. Tapi kedua-dua gereja ni sangat bererti bagi masyarakat Kristian pada era tersebut dan ia tidak boleh dibiarkan rosak begitu saja tanpa pembelaan. 
Maharaja Justanian berfikir panjang dan harus mengambil tindakan yang pantas tapi dalam masa yang sama mengambil kira pelbagai aspek. Kedudukannya sebagai Maharaja yang agak goyah perlu diperbaiki segera. Melihat kepada pengaruh ajaran kristian yang kuat dalam masyarakat Rom, Maharaja berfikir bahawa ini peluang terbaik untuk beliau menarik semula sokongan rakyat yang sempat menyusut akibat sistem cukai yang diperkenalkannya. Maka pembinaan semula Hagia Sophia yang lebih besar dan baru adalah jalannya. 
Maka Maharaja Justanian pun mengumumkan projek pembinaan semula bangunan gereja tersebut. Rekaan yang lebih indah dan unik difokuskan kepada bumbung berkubah yang dihiasi dengan lukisan2. Dua orang arkitek ternama pada ketika itu dipertanggungjawabkan untuk mengalas tugas ini. Mereka ialah Anthemius dan Isidorus yang mula membuat beberapa lakaran bangunan Hagia Sophia, mengikut gambaran impian maharaja. Dalam proses melakar ni, kedua arkitek ini menemui permasalahan iaitu macamana nak bina kubah atas struktur 4 segi? Kubah ni pastinya besar dan berat. Silap sikit pasti malapetaka jadinya. Setelah berbincang2 akhirnya Anthemius yang merupakan pakar matematik mendapat idea iaitu dengan membina 4 tiang gergasi disetiap bucu binaan tersebut sebelum membina lengkungan yang menghubungkan keempat-empat tiang tersebut. Setelah 4 tiang dan lengkungan tersebut disambung maka pastinya ada ruang lompong ditengahnya. Maka ruang kosong ini akan disimen sehingga rata dan akhirnya ia akan menjadi tapak bagi kubah gergasi tersebut.
Hagia Sophia siap dibina sepenuhnya pada tahun 537 iaitu mengambil masa kira-kira 5 tahun 10 bulan sahaja dengan kudrat 10,000 orang pekerja yang diketuai oleh Anthemius dan Isidorus. Proses pembinaan bangunan Hagia Sophia yang baru ini juga bukan satu kerja yang mudah terutamanya dibahagian bumbung kubah. Pernah beberapa kali roboh semasa proses pembinaannya. Ini disebabkan perkiraan Anthemius dalam merekabentuk kubah tersebut agak tersasar, tapak kubah yang sepatutnya bulat tidak terbentuk sempurna, tetapi menjadi sedikit bujur, menyebabkan struktur kubah menjadi longgar dan tidak dapat menampung bahan dengan baik. Walau apapun, masyarakat tetap dapat menikmati keindahan bangunan Hagia Sophia dengan rekaan baru, berbumbung kubah sebelum ianya roboh ditimpa gempa bumi yang berlaku pada tahun 558. 
Arghhh...rosak lagi! Maharaja Justinian yang masih memerintah, mengarahkan sepupu kepada Isidorus yang bernama Isidorus The Younger untuk mereka dan membaiki semula rekaan asal kubah yang roboh. Kita panggil sepupu Isidorus ni sebagai Ity ya. Maka si Ity ni pun memulakan tugasnya. Dia baiki kerosakan dan keretakan yang ada dengan menggantikannya dengan bahan yang lebih ringan untuk binaan kubah, Manakala rekabentuk ukuran kubah ditinggikan sehingga 6 meter. Rekaan akhir ditangan Ity ni berjaya dan kekal bertahan hingga kini. Sejak dari itu, ia menjadi inspirasi kepada binaan bangunan lain selepas itu. 
Masuk abad ke 13, Empayar Byzantine mula mengalami tekanan dan cubaan rampasan kuasa dari pelbagai kuasa asing. Antaranya Tentera Salib Kristian yang diketuai oleh Henricus Dandolo berjaya menakluki Constantinople. Sepanjang Dandolu berkuasa, beliau sempat membuat beberapa perubahan pada Hagia Sophia dan kesannya masih dapat dilihat pada hari ini. Namun, kuasa Dandolo belum cukup kuat sehingga empayah Byzantine berjaya merampas kembali Constantinople. Sejak itu Byzantine tak pernah tenteram, ada saja empayar2 baru, terutamanya kerajaan yang disokong oleh pemimpin2 muslim mencuba untuk masuk line  dalam proses mereka memperluaskan empayar mereka. Tapi Byzantine tetap kekal bertahan. Sehingga la pada abad ke-15, semasa pemerintahan Raja Constantine ke 11, akhirnya kuasa Empayar Rom runtuh ditangan Sultan Muhammad Al-Fatih II, Pemerintah Kerajaan Islam dari Empayar Uthmaniyah yang terkenal sebagai Sang Penakluk. 
Selepas kejatuhan Constantinople kepada Empayar Uthmaniyah, Sultan Muhammad Fatih mula menukar nama Constantinople kepada "Istanbul". Hagia Sophia yang selama ini menjadi gereja Ortodoks Byzantine juga ditukar menjadi masjid. Kesemua eleman yang bercirikan kristian yang ada di kubah dan tiang bangunan Hagia Sophia diturunkan atau ditutup. ia kemudian digantikan dengan eleman berunsurkan islam seperti mihrab, mimbar dan empat menara di luar bangunan. 
Selepas kejatuhan Empayar Uthmaniayah, Hagia Sophia mula hilang serinya. Fungsinya sebagai masjid hanya kekal sehingga tahun 1935 sahaja. Selepas itu ia telah ditukar kepada muzium oleh kerajaan Republik Turki dibawah pimpinan Mustafa Kemal Ataturk yang memperkenalkan dasar sekularisme. Walaupun penukaran status bangunan ini menjadi kontroversi di kalangan rakyat dan pemimpin, namun Kemal tetap dengan pendiriannya untuk menjadikan Hagia Sophia sebagai Muzium yang mempamerkan karya seni era Byzantine dan Uthmaniyah. Kerajaan Turki pada ketika itu menyatakan bahawa penukaran Masjid Hagia Sophia kepada muzium adalah selaras dengan usaha untuk memastikan ilmu pengetahuan dapat disebar secara saksama. 
Sisi lain bangunan Hagia Sophia diwaktu malam. 
Masuk ikot sini. Kalo malam, clear je tak de orang. Kita boleh terus masuk. 
Kosong kan sunyi je.....sebab ini dah malam, dah nak masuk waktu solat Isyak. Kalo rombongan pakej pelancongan rasanya tak datang waktu malam. 
Nak masuk kena buka kasut dan simpan dekat rak yang disediakan. Inshaallah tak hilang.
Ada polis juga berjaga di sini untuk keselamatan. 
Pintu masuk....
Masya Allah...Cantiknya...
Selepas 83 tahun berlalu, Hagia Sophia kekal berstatus muzium, sehingga la pada tahun 2018 ia mula menampakkan sinar bahagia kepada masyarakat islam. Kerajaan Turki di bawah pimpinan Erdogan berusaha sedaya upaya mengembalikan status Hagia Sophia kepada masjid. Walaupun menerima kritikan hebat daripada masyarakat antarabangsa namun Erdogan buat tak tau dan jalan terus je. Akhirnya pada Julai 2020, Hagia Sophia kembali diisytiharkan sebagai Masjid selepas Erdogan sign Deklarasi penukarannya. Alhamdulillah, Syukur Ya Allah.....
Apabila masuk waktu solat, para pengunjung perlu ke belakang dari penghadang besi putih ni.

Selepas pengumuman penukaran statusnya, laungan azan kedengaran dari menara Hagia Sophia. Jurucakap Presiden mennyatakan kepada media bahawa Hagia Sophia akan menjadi masjid yang berfungsi dan terbuka kepada siapa sahaja. Perubahan statusnya yang kembali menjadi masjid tidak akan menjejaskan status Hagia Sophia sebagai tapak Warisan Dunia UNESCO dan beliau menjanjikan bahawa "Icon Kristian" yang terdapat di dalamnya akan terus dilindungi.  

Walaupun kini Hagia Sophia kembali berfungsi sebagai masjid, ia tetap dibuka dan boleh dikunjungi oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira agama dan bangsa diluar waktu solat. Tidak ada bayaran dikenakan kepada pengunjung. 
Ruangan atas tidak dibuka kepada kunjungan awam.
Lampu-lampu cantik menghiasi ruang dalam Hagia Sophia. Ia digantung rendah dari siling agar memberi cahaya di bahagian lantai masjid. 
Sebahagian cakera gergasi berbingkai bulat.  Terdapat 8 cakera bulat gergasi ni di gantung di setiap tiang utama. Setiap satunya dilukiskan dengan menggunakan kaligrafi Arab nama Allah, Nabi Muhammad, 4 Khulafa' al- Rasyidin: Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali) dan 2 cakera lagi dilukiskan nama Hasan dan Husain iaitu cucu kepada Nabi Muhammad
Nampak tak kain putih yang ada kat atas bumbung kubah kecil tu? Disebalik kain putih tu sebenarnya ada hiasan mozek imej wanita yang sedang memangku anaknya. Ia ditutup dengan tirai kain berwarna putih sebab ia berada pada arah kiblat masyarakat islam ketika menunaikan solat. Ia salah satu eleman ikon kristian yang tidak dihapuskan, sesuai dengan kenyataan Jurucakap Priseden bahawa akan melindungi ikon kristian yang terdapat di dalamnya. 
Penulis mengabadikan kenangan di dalam Masjid Hagia Sophia
KH & Z
me lagi......
Kat luar halaman....
Me belatarbelakangkan masjid
Jom balik. Sebenarnya dari Hagia Sophia ke hotel penginapan kami, boleh je jalan kaki. 16 minit boleh sampai katanya. Tapi kami memilih untuk menaiki tram. Dari Sultanahmet turun di Sirkeci. Mengambil masa kira2 19 minit. Dari Sirkeci station tram, jalan kaki balik hotel. Sebenarnya setiap kali kau naik tram ni, tambang untuk seorang ialah 9.90 Lira akan dipotong dari Istanbul Kart. Kira2 RM1.80 duit Malaysia. Ok la kan kira murah daripada kau jalan kaki meredah kesejukan malam. Soal keselamatan inshaallah ok. Cuma jalan di Istanbul ni agak berbukit, agak menguras tenaga juga tu.....

Maka dengan ini tamat la cerita kita di Topkapi.....Esok kita kan ke Bursa.......

Bersambung.....

Rujukan:
https://iluminasi.com/bm/sejarah-hagia-sophia-di-turki-gereja-yang-kini-kembali-bergelar-masjid.html
https://ms.wikipedia.org/wiki/Aya_Sophia

No comments:

Summer di Japan: Naik Bas Dari Narita Airport keKawaguchico (Part 3)

 26 Mei 2024 (Ahad) Salam. Hi semua... Selepas mereput semalaman di Narita Airport, hari ni kami akan bergerak ke destinasi pertama kami iai...