Friday, February 10, 2023

Bercuti ke Turki: (Green Tour) Kaymakli Underground City (Part 3)

 14 Dec 2022 (Rabu)

Kaymakli Underground City

Gambar Atas: Perjalanan menuju ke Kaymakli.
Gambar Bawah: di luar kawasan Kaymakli UC, sunyi je....

Lokasi ke-3 yang kami lawati pada hari pertama ni ialah Kaymakli Underground City. Berjarak sekitar 22 km dan mengambil masa sekitar 23 minit dari Uchisar Castle. Kaymakli Underground City dibina di bawah bukit yang dikenali sebagai Citadel of Kaymakli dan dibuka kepada pelawat buat pertama kalinya pada tahun 1964. Pada zaman dahulu Kaymakli dikenali sebagai "Enegup", dibina bertujuan untuk melindungi masyarakat pada ketika itu dari serangan musuh semasa berlakunya perang Arab-Byzantine. Bayaran masuk ke Kaymakli Underground City ialah 100 Lira seorang. Manakala bayaran untuk guide yang boleh berbahasa Inggeris ialah 500 Lira. Guide kami ni boleh berbahasa Inggeris dengan sangat lancar, tapi aku lupa nama dia siapa. Dia bagitau dia mempunyai seorang anak dan isterinya berasal dari Tehran. Dia bertemu isterinya semasa dia bekerja. Isterinya melancong dan dia jadi guide, bila jumpa tu dia jatuh cinta terus dia ikat katanya....😅

Kaymakli merupakan antara 36 buah bandar bawah tanah yang terdapat di Cappadocia dan ia adalah bandar bawah tanah paling besar dan luas. Pada zaman kegemilangannya, dianggarkan penduduk yang tinggal di Kaymakli UC adalah sekitar 3500 orang. Kaymakli UC berdiri setinggi 8 tingkat, namun hanya 4 tingkat yang dibuka kepada orang ramai sedalam 20 meter (66 kaki) ke bawah tanah. Binaannya sangat mengkagumkan dan masih kekal bertahan sehingga ke hari ini. Rumah- rumah di dalam Kaymakli di susun dengan kemas dan teratur supaya orang luar tidak mengetahui bahawa terdapat hampir 100 terowong kecil di dalamnya, yang mana ia bersambung dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Biasanya keluarga terkaya akan mendiami ruang (rumah) yang berdekatan dengan pintu masuk utama. Terowong yang terdapat di dalam Kaymakli sengaja dibina rendah dan sempit dan curam supaya boleh menempatkan lebih banyak ruang dan terowong. Terdapat sebiji batu besar diletakkan di pintu masuk bagi menutup lubang pintu dari dunia luar.
Guide kami yang tinggi, payah dia nak meluruskan badan...😁
Walaupun ada anak panah, rasanya perlu juga ada guide, takut kita tersesat dalam tu, tak keluar-keluar pula...😆
Anak panah merah menunjukkan jalan menuju ke bawah, manakala anak panah biru akan membawa kita untuk naik ke atas
Tempat menyimpan bekalan makanan
Batu besar untuk menutup pintu terowong
Di tingkat satu, Kaymekli UC menempatkan kandang kuda. Oleh kerana saiznya yang kecil, maka ramai yang berpendapat bahawa kemungkinan ada lagi kandang kuda di tempat lain yang masih belum ditemui. Di bahagian kiri kandang kuda terdapat satu laluan yang menghubungkan laluan ke Gereja. Manakala di sebelah kanan pula terdapat satu ruangan yang dipercayai digunakan sebagai tempat kediaman. Manakala di Tingkat 2 menempatkan Gereja. Berkongsi tingkat dengan Gereja, ditemui kubur yang terukir nama si mati yang berkemungkinan milik orang alim Kristian. Selain itu terdapat juga ruangan kediaman di Tingkat 2 ni. Di Tingkat 3 pula merupakan kawasan paling penting di sini, kerana ia menempatkan perkara-perkara penting seperti tempat penyimpanan stok makanan, kilang wain dan dapur. Ia mengambarkan bahawa ketua dan orang2 kaya sangat menyokong populasi yang besar yang mendiami kawasan ini. Di Tingkat 4 pula dikhaskan untuk menyimpan tembikar. Ini mengambarkan kestabilan ekonomi masyarakat pada zaman tersebut.
Terowong menuju ke tingkat bawah, hanya boleh memuatkan satu orang dalam satu2 masa.
Tempat untuk mengambil air dari bawah tanah, dipagar untuk keselamatan. Tengok gambar kat bawah ni...
Dalam Tak? Mungkin dulu2 air tak ada la cetek macam kita tengok sekarang...
Terowong kaymakli sengaja dibuat lebih rendah, sempit dan curam berbanding Derinkuyu UC. Terowong sepanjang 9 km ini, sebenarnya bersambung dengan Derinkuyu UC, namun ia tidak dibuka kepada pelancong. Kaymakli UC pada asalnya mula dipahat oleh orang Phrygia (Indo-Eropah) pada abad ke 8-9 SM. Kemudiannya diperluaskan dan dipahat lebih dalam pada era pemerintahan Rom Timur (Byzantine). Beberapa artifak yang ditemui di sini, direkodkan hasil peninggalan dari zaman Byzantine Pertengahan, diantara abad ke-5-10 Masihi. Sehingga abad ke 14, Kaymakli UC terus digunakan oleh penduduk Kristian sebagai tempat perlindungan daripada penceroboh Mongolia. Selepas Cappadocia jatuh ke tangan Seljuk, bandar-bandar bawah tanah ini digunakan sebagai tempat perlindungan daripada pemerintahan Turki Uthmaniyyah. Menginjak ke tahun 1923, berlaku pertukaran penduduk antara Greece dan Turki yang mana, penduduk Kristian berpindah ke Greece manakala penduduk muslim berpindah ke Turki. Maka selepas itu bandar bawah tanah telah mula ditinggalkan. Tapi sebenarnya sampai sekarang rumah gua ni masih lagi digunakan, cuma tak pasti berapa jumlah penduduknya.  

Aduhh...tak boleh gabung pula dengan cerita di Lembah Ihlara. Abih berterabur dia punya gambar......Jumpa lagi di part seterusnya.....
Bersambung........

No comments:

Summer di Japan: Naik Bas Dari Narita Airport keKawaguchico (Part 3)

 26 Mei 2024 (Ahad) Salam. Hi semua... Selepas mereput semalaman di Narita Airport, hari ni kami akan bergerak ke destinasi pertama kami iai...