Friday, February 10, 2023

Bercuti ke Turki: (Green Tour) Kaymakli Underground City (Part 3)

 14 Dec 2022 (Rabu)

Kaymakli Underground City

Gambar Atas: Perjalanan menuju ke Kaymakli.
Gambar Bawah: di luar kawasan Kaymakli UC, sunyi je....

Lokasi ke-3 yang kami lawati pada hari pertama ni ialah Kaymakli Underground City. Berjarak sekitar 22 km dan mengambil masa sekitar 23 minit dari Uchisar Castle. Kaymakli Underground City dibina di bawah bukit yang dikenali sebagai Citadel of Kaymakli dan dibuka kepada pelawat buat pertama kalinya pada tahun 1964. Pada zaman dahulu Kaymakli dikenali sebagai "Enegup", dibina bertujuan untuk melindungi masyarakat pada ketika itu dari serangan musuh semasa berlakunya perang Arab-Byzantine. Bayaran masuk ke Kaymakli Underground City ialah 100 Lira seorang. Manakala bayaran untuk guide yang boleh berbahasa Inggeris ialah 500 Lira. Guide kami ni boleh berbahasa Inggeris dengan sangat lancar, tapi aku lupa nama dia siapa. Dia bagitau dia mempunyai seorang anak dan isterinya berasal dari Tehran. Dia bertemu isterinya semasa dia bekerja. Isterinya melancong dan dia jadi guide, bila jumpa tu dia jatuh cinta terus dia ikat katanya....😅

Kaymakli merupakan antara 36 buah bandar bawah tanah yang terdapat di Cappadocia dan ia adalah bandar bawah tanah paling besar dan luas. Pada zaman kegemilangannya, dianggarkan penduduk yang tinggal di Kaymakli UC adalah sekitar 3500 orang. Kaymakli UC berdiri setinggi 8 tingkat, namun hanya 4 tingkat yang dibuka kepada orang ramai sedalam 20 meter (66 kaki) ke bawah tanah. Binaannya sangat mengkagumkan dan masih kekal bertahan sehingga ke hari ini. Rumah- rumah di dalam Kaymakli di susun dengan kemas dan teratur supaya orang luar tidak mengetahui bahawa terdapat hampir 100 terowong kecil di dalamnya, yang mana ia bersambung dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Biasanya keluarga terkaya akan mendiami ruang (rumah) yang berdekatan dengan pintu masuk utama. Terowong yang terdapat di dalam Kaymakli sengaja dibina rendah dan sempit dan curam supaya boleh menempatkan lebih banyak ruang dan terowong. Terdapat sebiji batu besar diletakkan di pintu masuk bagi menutup lubang pintu dari dunia luar.
Guide kami yang tinggi, payah dia nak meluruskan badan...😁
Walaupun ada anak panah, rasanya perlu juga ada guide, takut kita tersesat dalam tu, tak keluar-keluar pula...😆
Anak panah merah menunjukkan jalan menuju ke bawah, manakala anak panah biru akan membawa kita untuk naik ke atas
Tempat menyimpan bekalan makanan
Batu besar untuk menutup pintu terowong
Di tingkat satu, Kaymekli UC menempatkan kandang kuda. Oleh kerana saiznya yang kecil, maka ramai yang berpendapat bahawa kemungkinan ada lagi kandang kuda di tempat lain yang masih belum ditemui. Di bahagian kiri kandang kuda terdapat satu laluan yang menghubungkan laluan ke Gereja. Manakala di sebelah kanan pula terdapat satu ruangan yang dipercayai digunakan sebagai tempat kediaman. Manakala di Tingkat 2 menempatkan Gereja. Berkongsi tingkat dengan Gereja, ditemui kubur yang terukir nama si mati yang berkemungkinan milik orang alim Kristian. Selain itu terdapat juga ruangan kediaman di Tingkat 2 ni. Di Tingkat 3 pula merupakan kawasan paling penting di sini, kerana ia menempatkan perkara-perkara penting seperti tempat penyimpanan stok makanan, kilang wain dan dapur. Ia mengambarkan bahawa ketua dan orang2 kaya sangat menyokong populasi yang besar yang mendiami kawasan ini. Di Tingkat 4 pula dikhaskan untuk menyimpan tembikar. Ini mengambarkan kestabilan ekonomi masyarakat pada zaman tersebut.
Terowong menuju ke tingkat bawah, hanya boleh memuatkan satu orang dalam satu2 masa.
Tempat untuk mengambil air dari bawah tanah, dipagar untuk keselamatan. Tengok gambar kat bawah ni...
Dalam Tak? Mungkin dulu2 air tak ada la cetek macam kita tengok sekarang...
Terowong kaymakli sengaja dibuat lebih rendah, sempit dan curam berbanding Derinkuyu UC. Terowong sepanjang 9 km ini, sebenarnya bersambung dengan Derinkuyu UC, namun ia tidak dibuka kepada pelancong. Kaymakli UC pada asalnya mula dipahat oleh orang Phrygia (Indo-Eropah) pada abad ke 8-9 SM. Kemudiannya diperluaskan dan dipahat lebih dalam pada era pemerintahan Rom Timur (Byzantine). Beberapa artifak yang ditemui di sini, direkodkan hasil peninggalan dari zaman Byzantine Pertengahan, diantara abad ke-5-10 Masihi. Sehingga abad ke 14, Kaymakli UC terus digunakan oleh penduduk Kristian sebagai tempat perlindungan daripada penceroboh Mongolia. Selepas Cappadocia jatuh ke tangan Seljuk, bandar-bandar bawah tanah ini digunakan sebagai tempat perlindungan daripada pemerintahan Turki Uthmaniyyah. Menginjak ke tahun 1923, berlaku pertukaran penduduk antara Greece dan Turki yang mana, penduduk Kristian berpindah ke Greece manakala penduduk muslim berpindah ke Turki. Maka selepas itu bandar bawah tanah telah mula ditinggalkan. Tapi sebenarnya sampai sekarang rumah gua ni masih lagi digunakan, cuma tak pasti berapa jumlah penduduknya.  

Aduhh...tak boleh gabung pula dengan cerita di Lembah Ihlara. Abih berterabur dia punya gambar......Jumpa lagi di part seterusnya.....
Bersambung........

Tuesday, February 7, 2023

Bercuti ke Turki: Green Tour Bersama Mr. Yunus...(Part 2)

14 Dec 2022
(Rabu)
Salam & Hai...
Walaupun agak tingtong, tapi awal juga bangun.Waktu Subuh di Cappadocia masuk jam 6.31 pagi. 8.10 pagi kami naik ke rooftop untuk bersarapan. Ingatkan kami la yang paling awal sampai, rupaya dah ada 3 orang lelaki dari Malaysia. Aku dengar dorang sembang macam bunyi Melayu, tapi tak ada la pula kami bertegur sapa 😀 Entah la mungkin masing2 teruja menikmati makan pagi. 

Aku tengok Hp, ader simbol misscall. Rupanya dari Pegawai dari syarikat Celebi yang menguruskan beg aku yang hilang dari radar semalam. Mungkin dia call masa aku tengah sedap tidur malam tadi...😅Pegawai tu nama dier Erol. Si Erol ni ader tinggalkan Msg juga, dia maklumkan yang beg aku dah dapat dikesan dan akan dihantar ke alamat yang aku bagi dalam borang tu. Ahhh...sudah! Kalo dia hantar ke sini (Cappadocia)...masa tu aku dah sampai Izmir agaknya. Aku kena hantar email kat dia ni, bagi alamat baru (hotel di Istanbul)....tapi itu la, kena meragka dulu ayat...😅
Bergambar kenangan di hadapan homestay kami Epoch Stone House
Pintu sebelah kanan tu akan membawa kita ke cafe. 
Jalan menuju ke jalan utama. Malam tadi, bas tu turunkan kami kat jalan besar depan tu. Lepastu dia tolong kitorang angkat beg. Pintu homestay kami sebelah pintu yang ada carpet hijau tu.
ini jalan menuju ke belakang dari homestay kami. Aku agak selesa dan suka dengan persekitaran homestay ni. Tenang, sunyi, kosong.....
Tangga ni akan membawa kita ke cafe, di tingkat 3 rasanya. tingkat 1 dan tingkat 2 tu pun ada tempat penginapan tapi mungkin bilik2 je. Nampak tak pintu sebelah kiri tangga tu? kat situ la malam tadi kitorang berurusan untuk checkin. Rasanya kat situ la office Sailnstay.
Ni pandangan dari rooftop.
Sebelum masuk cafe ambil gambar dulu. Cantik kan pemandangan kat belakang sana. Itu semua cave hotel agaknya ya....Mesti mahal. 
Tuan tanah & Z
Tempat masak kat belakang tu je. Air minum amik sendiri. Makanan dia hantar
Tempat pemanas pun ada, kalo rasa2 sejuk boleh berdiri kat sini....
Yang paling sedap telur dadar tu la. Yang itu paling akhir dia hidang kan. Mungkin dia tengok makanan kami tak berapa nak luak, dia pun hantarkan lagi telur dadar.. Kat sini terkenal dengan buah Zaitun. Mula2 aku nampak buah zaitun tu, "Wah...nampak menarik dan sedap"...Aku ingatkan manis, rupanya tak. Aku pun tak tau nak cakap macamana rasanya, tapi yang pastinya makan 1 biji pun tak habis😅Selesai sarapan, sempat pula kami berehat2 sambil menunggu Mr. Yunus sampai jam 10 pagi. Semalam aku ingat jam 10 tu rasa macam agak lewat sangat kan, tapi sebenarnya ianya masa yang sangat sesuai bagi mereka untuk memulakan perjalanan....
Sarapan pagi kami
Route kembara kami kali ni ialah Cappadocia-Izmir-Istanbul-Bursa- Istanbul. Bergerak dari satu lokasi ke satu lokasi yang lain tu menggunakan penerbangan. Nak naik bas, lama betul pula perjalanan.. masa, dah la singkat. Nanti banyak masa terbuang atas bas je... Kita nak menikmati pemandangan dengan jalan kaki, bukan dari jendela bas. Ehhh....🙊😀Tapi sebenarnya ada pro dan kontra nya juga kan.. Win2 situation la bak kata orang putih, kalo naik bas....bajet dapat dijimatkan, tetapi perlu bekorban masa. Kalo naik flight, bajet akan meningkat tetapi masa dapat dijimatkan. Jadi berbalik kepada kita punya bajet dan masa. 

Pemilihan Cappadocia sebagai lokasi pertama kembara kami adalah sangat bertepatan. Faktor utamanya adalah kerana kedudukannya yang paling jauh dari Istanbul, berbanding Izmir dan Bursa. Cappadocia merupakan salah satu daerah yang terletak di Anatolia Turki. Kewujudan lanskap unik dan menarik di Cappadocia dikatakan bermula dari letusan Gunung Erciyes dan Gunung Hasan, beribu tahun yang lampau. Ketika gunung ini meletus, ia menyebarkan debu yang tebal ke seluruh Cappadocia. Akhirnya debu2 ini jatuh ke bumi dan menumpuk padat setebal berpuluh meter, menjadi batuan lembut dan membentuk bukit-bukau. Akibat daripada berlakunya hakisan angin dan air selama berjuta tahun, akhirnya batuan lembut yang tadinya berdiri seperti bukit bukau, berubah membentuk jajaran batuan yang unik…Pemandangan unik ini lah yang dapat dilihat pada lawatan pertama kami pada hari ini.
Pigeon Valley
Lokasi pertama Mr. Yunus bawa kami ialah ke Pigeon Valley untuk melihat panorama Goreme. Berjarak sekitar 6 km dari Homestay kami di Nevsehir, hanya mengambil masa 9 minit untuk sampai ke sini. Lembah Pigeon merupakan salah satu landskap paling indah di Turki. Goreme merupakan salah sebuah perkampungan yang terletak di Nevşehir, Anatolia Tengah. Terkenal dengan rangkaian lembah yang dipenuhi dengan formasi batuan yang unik dan menakjubkan. Ibarat bentuk cerobong dalam filem animasi dongeng. Seperti yang aku nyatakan di atas, batuan unik ini terbentuk secara semula jadi hasil daripada hakisan angin, air dan perubahan cuaca. Batuan yang membentuk cerobong ini mempunyai pelbagai ketinggian, ada yang mencapai ketinggian 130 kaki (40 meter) dari lantai lembah. Warnanya pula kelihatan pelbagai, apatah lagi ketika musim panas. Puncak batuan ini menjadi kegemaran burung merpati bersarang di atasnya. Dikatakan, sebelum tempat ini diteroka, terdapat banyak burung merpati di sini, sehinggakan najisnya digunakan oleh masyarakat kampung sebagai baja. Mungkin dari sini la, tempat ini mendapat namanya. 

Menginjak ke zaman pertengahan, kebanyakan batuan cerobong ini telah dipahat/ untuk dijadikan sebagai rumah, gereja dan bandar bawah tanah. Antara tarikan pelancongan yang sangat popular disini ialah aktiviti menaiki belon udara panas. Seawal jam 6.00 pagi sudah ramai yang berada di tapak menaiki belon panas. Ketika kami berada di sini selama 2 hari, cuaca agak berangin dan semua aktiviti belon udara panas telah dibatalkan. Kempunan kami nak melihat cantiknya belon gergasi terbang diudara! Bukan rezeki, begitu lah...... Selain itu antara yang menjadi tarikan pelancong juga ialah melawat gereja lama di zaman pertengahan yang mempunyai ukiran corak fresco atau hanya sekadar berjalan kaki menikmati indahnya pemandangan bentuk batu2 yang unik dan menarik. Tetapi lawatan kami pada hari ini bukan untuk menyelusuri lembah
Bersama Mr. Yunus yang sporting
Pada zaman dahulu Gerome agak sunyi dari kunjungan orang luar. Menjelang tahun 2000, baru la Gerome mula bersinar. Kehadiran pelancong yang datang dari pelusuk dunia merancakkan industri pelancongan, membuka pintu rezeki kepada masyarakat dan seterusnya meningkatkan taraf hidup menjadi lebih baik dari sebelumnya. Impak daripada kerancakan industri pelancongan ini dapat dilihat pada perubahan lanskap perbandaran kawasan sekitar. Penduduk yang pada asalnya mendiami bangunan gua lama telah menjual "rumah mereka" kepada pelabur yang datang dari luar Gerome untuk dijadikan hotel dan kemudian berhijrah ke kawasan lain seperti di Nevsehir, Avanos, Uchisar dan Urgup. Kebanyakan masyarakat juga bekerja dalam bidang pelancongan.
Gerai jualan 
Gebar dan alas meja bercorak khas Turki. Cantik!
Antara barangan yang dijual di sini. 

UCHISAR KELESI
Lokasi kedua yang kami lawati ialah ke Istana Uchisar (Uçhisar Kalesi). Kedudukannya tak jauh dari Pigeon Valley view point tadi, hanya mengambil masa 4 minit untuk sampai ke sini dengan kereta. Istana Uchisar terletak di kawasan paling tinggi di Capadocia, sehinggakan ia mendapat jolokan " pintu masuk Cappadocia". Wujud sejak zaman Romawi lagi, dengan mengalas peranan sebagai benteng pertahanan untuk mencegah serangan musuh. Kedudukannya yang tinggi, dimanfaatkan oleh masyarakat pada ketika itu untuk memberi isyarat dengan menggunakan lampu atau cermin. Seni bina ruang dalam istana ini sangat unik, ibarat seperti sarang labah-labah. Umum seperti yang kita ketahui, batuan di Cappadocia terhasil dari letusan gunung berapi yang telah mendap, padat tetapi lembut. Sifat batuan yang lembut ini, memudahkan masyarakat pada ketika itu memahat batu membentuk ruangan-ruangan khas seperti rumah untuk tentera, dewan dan sebagainya. Selain itu terdapat juga rangkaian terowong yang hanya boleh memuatkan seorang manusia dewasa untuk melaluinya dalam satu2 masa. Terowong ini terhubung antara satu sama lain, berfungsi sebagai tempat untuk menyembunyikan diri dari musuh. Dikatakan ia pernah menempatkan 1000 orang tingal di dalamnya satu ketika dulu.
Kami tak masuk ke Istana Uchisar sebenarnya, hanya bergambar di luar sahaja. Korang ingat tak aku kata tadi, jarak perjalanan dari Pigeon Valley ke sini hanya mengambil masa 4 minit dengan memandu kereta? Jaraknya tak jauh sebenarnya dan boleh sampai ke sini dengan hanya berjalan kaki! Itupun kalo korang banyak masa dan inginkan sesuatu yang lebih mencabar. Laluannya adalah dengan cara berjalan dari White Valley dan Love Valley akan membawa korang ke Istana Uchisar. Tapi pastikan kekuda kena kuat, badan fit, sihat tubuh badan dan wajib ada guide, kalo tak boleh sesat kita dibuatnya. Pada musim panas, Istana Uchisar dibuka seawal 5 pagi - 9 malam setiap hari. Manakala pada musim sejuk ia dibuka dari jam 5 pagi hingga 7 malam sahaja. Tak pasti berapa harga bayarak masuk, sebab kami hanya berada di luar sahaja tetapi untuk rekod setakat jun 2022 bayaran masuk adalah 50 Lira.

Kalo korang berhajat untuk masuk dan mendaki sehingga ke puncak Istana Uchisar, pastikan sentiasa berhati-hati. Pakai kasut yang bersesuaian, kerana batuannya yang lembut, sangat licin, bila-bila masa boleh tergelincir kalo kita tersilap langkah.  Sila bawa air secukupnya, terutama ketika musim panas. Kalo tak nak sesak kena datang awal pagi sebab masa tu tak ramai orang yang datang. Boleh ambil gambar puas2 macam Istana ni ana yang punya....😁

Gambar sama tapi dari sisi yang berbeza

Bersambung.....

Rujukan: 


Monday, January 30, 2023

Bercuti Ke Turki (Part 1)

 12 Dec 2022

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Selamat Tahun baru 2023...

Wah lama tak update blog ni, berhabuk dah. Ada yang rindu ke? :D Cuti datang lagi ya kawan-kawan. Sementelahan kita sudah agak sembuh dari C19 dan sudah dibenarkan keluar negara, jadi tahun ni kami bercadang untuk bercuti ke Turki. Rancangan ini sudah lama dibuat sejak awal tahun lagi. Selepas perbincangan, akhirnya hanya 4 orang sahaja yang akan menyertai kembara ke Turki. KM, KH, Z dan aku. Itinerary dibuat oleh KH. Jadi kami semua ikut je apa yang dia rancang. Kami semua sudah terbang ke KL pada 11 Dec dan bermalam di Tune Hotel.

di KLIA
Dipendekkan cerita 12 Dec 2022 kami pun berangkat Dari KL jam 10.15 Pagi. Teruja gills, maklum la dah 2 tahun tak terbang jauh. Macam2 rasa ada, gembira, takut pun ada. Nak gambarkan pasal teruja tu, kami checkout dari Tune Hotel sebelum subuh. Masih gelap lagi…padahal flight jam 10.05 pagi dan nak pegi ke KLIA je pun :D….Solat subuh di KLIA saja. Bukan apa, tak nak kelan kabut, tak nak terperangkap jem, supaya boleh santai2 menikmati makan pagi. Ya betul la, sampai di KLIA kami pergi ke Anjung Tinjau….solat subuh dan kemudian check in. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar, baru boleh bersarapan pagi dengan jiwa yang tenang, walaupun pada hakikatnya macam2 rasa ada di hati kami. Kembara kami yang tadinya seramai 4 orang, akhirnya menjadi 3 orang sahaja. Seorang rakan terpaksa mengundur diri kerana beberapa sebab yang tak dapat dielakkan. Seperti yang aku cakap tadi, semua rasa ada: Kasihan, sedih, kecewa….Kecewa sebab kita tak dapat sama2 mengekspresikan rasa gembira kita. Tapi tak apa Sahabat, semoga ada rezeki lagi di lain waktu, dan kita oleh mengembara bersama2. Inshaallah…..
Tiba di Airport Dubai
Perjalanan kami dari Kul- Dubai mengambil masa kira-kira 6 jam 45 minit, menaiki Emirates Airlines. Ini kali pertama aku naik Emirates. Best pula, dia macam style MAS la juga. Ader bantal (ohh…ni kalo tak ada, ble jem pinggang, dah la 6 jam duduk dalam flight :D), ader selimut, makanan sedap, minuman 2,3x. Cuma tu la…..dalam flight, aku part minum kawal sket. Bukan apa, malas masuk toilet. Aku takut bunyi engine kuat gilerr dalam toilet tu….:D. Tiba di Dubai jam 1.45 pm (waktu Dubai). Beza masa Malaysia 4 jam lebih awal dari Dubai. Apabila tiba di Dubai, oleh kerana kita transit sahaja, akan ada pegawai yang tunggu di satu ruangan sambil pegang kertas yang bertulis “Connecting Flight”, dia kumpul semua penumpang yang transit di Dubai dan bawa ke Gate yang seterusnya. Pada masa tu ramai juga geng Malaysia yang sama2 dalam perjalanan ke Turki. Ada yang bersama rombongan TA, dan pastinya juga ada yang DIY. Salah satu rombongan tu ada yang dari TA Rarecation. Haa….sape kenal? Akhirnya kami di bawa ke Gate B32. 7 jam transit di Dubai, nak buat apa lagi kan? Tersidai aje la sambal layan medsos. Nasib baik ader wifi free.
Geng yang sama2 dalam kategori "transit"
Sebenarnya, aku ader beli hello1010 tapi hanya boleh diguna di Turki dan 40 negara (Europe). Makanya semasa berada di Dubai, tak ble buka lagi sim kad yang aku beli ni. Berbeza dengan Depa punya sim kad, depa beli yang mahal punya iaitu sim card "Go Inter" dan boleh diguna di 77 negara. Salah satunya di Dubai, jadi depa dah boleh guna sim card tu di airport. Kenapa tak beli sama macam depa?? Sebab sebelum aku beli, aku dah compare setiap satunya. Yang pertama, Oleh sebab kembara ke Turki memakan masa 14 hari, maka sim card yang perlu dibeli mesti valid 15 hari ke atas. Dalam banyak2 sim tu hanya ada 2 yang sesuai untuk aku beli. Go Inter berharga RM138 dan Vodafone Europe & Turkey Travel Prepaid SIM Card berharga RM89.

Setelah membuat bandingan antara kedua sim ni, akhirnya aku memutuskan memilih Vodafone Europe & Turkey untuk dibeli. Harganya lebih murah daripada Go Inter. Aku pilih ni bukan kerana harganya yang murah tetapi kerana GB nya lebih besar daipada Go Inter. Ok aku senaraikan kelebihan Vodafone berbanding Go Inter. Ini pendapat aku saja sebenarnya, terpulang kepada banyak mana kita nak guna data.
Airport Dubai
  • Vodafone ada 9GB dan kalo kita pegi Spain dia akan tambah lagi 16GB. Cuma aku tak p Spain, jadi ada 9GB saja. Masih berbaloi berbanding dengan Go Inter yang membpunyai data 6GB. Kadar penggunaan bagi kedua2 sim ni adalah unlimited. Cumanya kalo korang tengok info dalam sim card Go Inter, ada dinyatakan bahawa kelajuan akan menjadi perlahan kepada 128kbs selepas penggunaan 6GB telah habis. Aku adalah pengguna prepaid Celcom. Kadang2 aku topup reload yang berharga RM19- 5GB. Tak sampai sebulan dia akan menjadi perlahan. Itu pun aku hanya suka tengok medsos termasuk sesekali youtube. Jadi pada aku yang suka post gambar dalam IG, FB, kadang tengok Youtube, sangat tak mencukupi untuk 6GB 15 hari. Jadi, Vodaphone ada kelebihan. Tapi tak kisah la, balik kepada kita sendiri juga kalo setakat on fb, wsap, telegram, IG…ok dah tu 6GB. Cuma, pengalaman salah seorang rakan yang menggunakan Go Inter, 2,3 hari sebelum masa balik….line internet dia agak slow. Mungkin sebab penggunaan 6GB dia dah habis. Sebab tu line internet jadi macam siput.
  • Boleh digunakan untuk banyak negara. Vodaphone boleh diguna di Turki dan 40 negara sebelah Europe sahaja, berbanding Go Inter boleh diguna di 77 negara. Yang ini aku tak tengok kepada banyaknya negara boleh digunakan. Sebabnya, kita hanya pergi ke Turki dan singgah di Dubai sahaja. Kalo kita tengok part ini kelebihan ada pada Go Inter, kerana pengguna sim ini boleh guna dah semasa berada di Dubai dan kita boleh menggunakannya secara maksimum 15 hari. Tak rugi dan membazir. Cuma sekali lagi untuk aku sendiri, aku lebih menitik beratkan kepada data sesuatu sim tu. Di Dubai airport ada disediakan wifi free, tapi kalo kau berhajat nak keluar jalan2 di bandar Dubai, Go Inter ada kelebihan di sini. 
  • Valid masa penggunaan. Vodaphone valid 28 hari. Go Inter 15 hari. Yang ini aku rasa tak ada masaalah. Dua2 ada kelebihan sendiri, mengikut masa kita mengembara.
Kelemahan:
  • Dalam info sim card Vodaphone ni ada dinyatakan coverage Vodaphone di Cappodocia agak lemah. Yang ini betul, Ketika berada di Ihlara Valley, dan masuk ke muzium bawah tanah…memang hp aku langsung tak ada line. Tapi ketika berada di beberapa tempat yang lain, di hotel misalnya….line ok je.
Jadi, sebelum beli kena buat rujukan dan perbandingan dulu. Selain dari hello1010, boleh juga beli local simcard. Cuma aku tak ada pengalaman tentang ini.

Ok sambung cerita…penerbangan seterusnya yang dijadualkan pada jam 8.30 malam, terpaksa di pospond ke jam 10 pagi keesokkan hari nya. Tersidai lagi kami untuk sehari. Arghhh...nak keluar, dah malam...suasana tak sama ketika hari siang. Sudahnya mereput je la di airport. 

surau untuk wanita di airport Dubai
Oh ya nak cerita tentang Surau. Masa kat airport ni, kami pusing-pusing cari surau....memang banyak signboard surau, tapi bila kita pegi...rupanya surau tu khas untuk lelaki sahaja. Akhirnya ada seorang lelaki yang bekerja sebagai cleaner menegur, agaknya dia tengok, "kenapa la minah ni terjengok-jengok dari tadi". Dia pun bagitau yang surau untuk wanita ada di B31. Nun dihujung bangunan.....Tapi best area surau ni, oleh kerana ianya berada di hujung sekali, maka kawasannya agak tenang-tenang sahaja. Ramai yang ambil port tidur kat sini (di luar surau). Tandas bersih dan tak ramai orang. Suraunya kecil sahaja tetapi bersih. Semasa berada di sini la aku baru pernah ternampak golongan syiah bersolat. Mereka sujud di atas batu. Batu tu kecil je, depa letak dekat lantai, yang ngam2 di tempat depa sujud. Masa sujud, dahi letak atas batu tu. Masing-masing punya kepercayaan la kan, asalkan sama-sama menghormati orang disekeliling. 

Oleh kerana flight kami ke Istanbul ditunda ke jam 10 pagi esoknya, maka ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan pada malam ni, iaitu mengubah jam penerbangan flight kami dari Istanbul ke Cappadocia yang dijadualkan terbang pada jam 8.45 pagi esoknya. Ditukar ke jam 6 petang....Urusan penukaran jadual penerbangan dibuat oleh rakan di Malaysia, sebab kami dah cuba berkali-kali tetapi sangkut ketika nak buat pembayaran. Tak tau la apa masaalahnya, dah guna kad kreadit, kad debit....pun tak boleh juga. Dipendekkan cerita, akhirnya tiba juga waktu berangkat ke Istanbul iaitu pada jam 10 pagi (13 Dec 2022). 2 jam sebelum penerbangan kawan aku dah tanya di kaunter connecting flight kat mana gate flight menuju ke Istanbul. Dia pun kata gate C19. Kami pun ke sana. Laa.....rupanya kat gate C ni pun banyak tempat makan. Sebenarnya aku langsung tak ada duit AED, USD atau Euro pun semasa berada di sini. Tapi pagi sebelum berangkat ke gate C, sempat makan kat McD, mohon ehsan kawan yang ada kad bigpay 😁
Makanan dalam flight Emirates
Berada di dalam perut Emirates dalam perjalanan menuju ke Istanbul, buat aku rasa lega.... Alhamdulillah.....Istanbul aku datang!!! Penerbangan dari Dubai ke  Istanbul mengambil masa kira-kira 4 jam lebih. Beza waktu antara Dubai dan Turki ialah Dubai awal 1 jam berbanding Turki. Tiba di Turki jam 3.20 Petang (Waktu Turki). Urusan imigresen berjalan lancar, namun ketika mengambil beg, ada 1 beg yang hilang dari radar. Arghhhh.....tension aku!! Beg tu berisi makanan. Kau tau la kan, aku kalo mengembara memang wajib bawa makanan. Tapi makanan tu semua makanan kering. Lepas tu kita pun buat report, mula2 dia tanya dalam beg ada isi apa? Bila cakap makanan, dia pun kata... kalo makanan dia tak dapat tolong, lagi pun lebih sehari dah basi. Ehh, tak nak...kita nak juga beg tu, sebab makanan tu semua makanan kering yang tak basi.....#sambil hentak2 kaki!! 😅 Ok itu tipu! Lepas tu dia pun cakap...ok la kalo nak juga boleh submit report. Kalo beg tu ditemui, dia akan hubungi kita balik. Kita pun isi borang, selesai. Serah kat dia balik. Dia bagi alamat email dan no tel untuk kita hubungi dia sekiranya ada perkara berbangkit nanti. Tapi dalam kalut2 tu aku letak pula alamat hotel di Cappadocia! Aduhh...sedangkan kita cakap kat dia, nanti 3 hari dari sekarang kami akan kembali semula ke Istanbul, kita ambil sendiri kat Airport. Itu kata2 tanpa fikir panjang ya. Lepastu baru terfikir....eh kita lepas pegi Cappadocia akan pegi ke Izmir. Bermakna seminggu selepas tu baru kembali semula ke Istanbul. Aduhhh salah lagi... Aku pun dah tak mengharap beg akan sampai ke tangan ku semula, apabila banyak sangat salah cakap. Maklum la BI pun ke laut lepas !! 😅
Buat laporan di office Celebi yang mengurus beg yang hilang untuk Emirates Flight
Selesai semuanya kami pun pergi ke Terminal Domestic flight. Airport Istanbul ni besar juga cuma jarak antara Terminal Int. dengan Domestic ni tak jauh. Sempat pula kami keluarkan duit dari ATM Ziraat Bankasi, takut tak jumpa dah ATM kat Cappadocia nanti sebab sampai sana dah malam. Semasa nak checkin, ada pula masaalah lagi. Apa la nasib hari ni kan, ada2 je yang tak kena. Pegawai tu nak tengok original creadit card yang diguna pakai untuk pembayaran. Bila kita kata kawan yang tolong buat penukaran jam penerbangan ni, berada di Malaysia, jadi original card tak ada. Kalo bagi gambar card boleh tak?? Tak boleh katanya. Dia minta kami pergi ke kaunter Turkish Airlines...Pegawai wanita tu tolong uruskan. Alhamdulillah akhirnya kami boleh meneruskan perjalanan ke Cappadocia.
kaunter checkin untuk Turkish Flight
Berurusan di kaunter Turkish Airlines
Istanbul Airport
Perjalanan dari Istanbul ke Cappadocia mengambil masa 1 jam. Ada Sandwich dan minuman....Tapi sandwich dia tak sedap. Tapi ada cerita yang agak melucukan juga la tentang pramugari Turkish Airlines ni.. Untuk flight kami malam tu ya, bukan semua. Layanan agak kasar, dia main campak je makanan. Samseng kampung pisang betul! 😁Ada orang tanya, ada tak sandwich lain selain dari yang dia hidangkan. Dia kata tak ada. Kalo kau nak kau makan, tak nak sudah!!😀 Mungkin dia pun penat sebab terpaksa bekerja malam. Tapi kan, setelah beberapa hari berada di Turki ni aku perasan orangnya agak kasar. Kasar bukan kerana marah tapi mungkin kasar dari segi cara saja. Misalnya, masa beli barang kat kedai runcit, casher tu sedikit "mencampak" duit baki kita...Mula2 rasa macam...."Apa salah aku???"....tapi dah perati banyak kali, ohhh ok memang macam tu .
laluan keluar dari airport
Pemandu bas yang memegang kertas yang tertulis nama KH
Dalam perjalanan menuju ke bas, jumpa mesin ATM Ziraat Bankasi
Bas kami no 2
Tiba di Cappadocia jam 8 malam. Oleh kerana kami menempah perkhidmatan bas dari hotel penginapan, maka ada pemandu bas yang membawa kertas bertulis nama KH. Dia minta kami masuk bas dulu sementara dia tunggu yang lain. Sejuk gill di Cappadocia malam tu. Bersama kami di dalam bas, 2 pasangan suami isteri dari Indonesia. Pasangan pertama tu, suaminya sangat peramah. Bila beliau dengar kami bercakap, beliau ingat kami juga dari Indonesia. Biasa la slang Sabah kan macam Indo... Mereka sebenarnya memang berasal dari Indonesia tapi sudah lama menetap di Holland, berhijrah untuk menjadi pendakwah agama Kristian. Beliau juga buat bisnes pelancongan, bersama isterinya. Walaupun sudah lama berhijrah ke Holland, tapi bahasa Indonesia nya masih fasih banget. Pasangan 
ke-2 juga datang dari Indonesia. Di Indonesia mereka mengusahakan homestay, katanya terletak di Bayuwangi. Mereka bercuti ke Turki selama sebulan.. Wahh, bestnya..... Kebetulan sangat nama isteri kedua-dua pasangan tersebut hampir sama dengan nama kawan aku KH. Manakala seorang penumpang adalah seorang lelaki muda. Sepanjang perjalanan beliau diam sahaja, mungkin melayani mata yang mengatuk.

Perjalanan dari Kayseri Airport menuju ke penginapan kami di Epoch Stone House yang terletak di Nevsehir, mengambil masa kira2, 1 jam 5 minit. Aku ingatkan dekat je... rupanya jauh. Lelaki muda tersebut merupakan orang pertama yang dihantar. Beliau menginap di kawasan Cave Hotel.. Kemudian pasangan Indonesia yang punya homestay, lepastu kami dan yang terakhir bapak yang dari Holland itu. Pemandu bas tu turunkan kami di pinggir jalan, kemudian dia bantu kami angkat beg. Sebenarnya jalan utama tu tak jauh sangat nak masuk dalam menuju ke homestay kami, tak tau la kenapa dia tak nak masuk. Walaupun jalan masuk tu agak dekat tapi kalo nak tarik beg memang tak sesuai sebab jalannya berbatu kecil. Sampai saja kami terus menuju ke sebuah ruangan untuk urusan checkin. Buat pembayaran tunai dan owner tunjukkan penginapan kami. Beliau memaklumkan ada sarapan pagi disediakan di rooftop bermula jam 8 pagi esok. Malam ni tak dan nak ambil gambar homestay dari luar. gelap je. Homestay ni comel gills.. suka tengok. Kira bersih juga. Ada 2 bilik, ada dapur, ada 1 toilet. Yang penting tak perlu nak tangga nak mengangkut beg 😆
Ini bilik aku dan Z. Ada 1 almari
2 katil single....

Ada dapur, dan mesin basuh juga. Sayangnya beg makanan aku tercicir entah kemana....😥 Tak pe, kembara ini perlu diteruskan walaupun beg makanan tak tau berada di mana...

Ini bilik KH
Bilik mandi
Toilet
Penat gillsss... Berada di atas jalan sahaja 2 hari. KH pesan esok janji dengan Mr. Yunus jam 10 pagi. Ohh...ok la boleh rehat lagi, tapi jam 10 lewat sangat la. Aku lupa yang sekarang sekarang musim sejuk jadi matahari lambat nak keluar. Tapi kena bangun awal juga sebab nak sarapan pagi pada jam 8 pagi....

Tamat cerita hari ni, jumpa lagi di cerita akan datang...

bye

Summer di Japan: Naik Bas Dari Narita Airport keKawaguchico (Part 3)

 26 Mei 2024 (Ahad) Salam. Hi semua... Selepas mereput semalaman di Narita Airport, hari ni kami akan bergerak ke destinasi pertama kami iai...