Tuesday, July 2, 2024

Trip Santai Ke Korea: Main salji di Pyeongchang/ Yongpyong (Part 5)

7 Mac 2024

Hari ni awal kami bangun sebab hari ni mau jalan jauh. 
Destinasi kami hari ni ialah ke Pyeongchang atau juga dikenali sebagai Yongpyong (Dragon Valley). Pyeongchang-gun terletak di rantau pergunungan Taebaek, yang merupakan lokasi tumpuan para peminat sukan ski kerana ia merupakan pusat peranginan ski dan papan salji terbesar di Korea. Bila tiba musim panas, tempat ini akan menawarkan perkhidmatan bermain golf. Sebenarnya semasa kami pigi sidi pada bulan mac itu sudah mula masuk musim panas, tapi di Pyeongchang, sebab ia terletak di kawasan tanah tinggi, masih lagi menerima turunan salji lebat. Cantik gills tempat ni. Sebenarnya Pyeongchang tiada dalam itinerary kami, tapi kawan kami I, mencadangkan untuk pigi ke sini. Dalam group Road To Korea, ramai yang memaklumkan bahawa di Pyeongchang sedang rancak gugurnya bunga-bunga cinta. Eh bukan, sedang turun salji dengan lebatnya. Secara jujurnya, walaupun saya pernah pigi ke luar negara pada musim sejuk tapi belum pernah merasa gugurnya kerpasan menyapa ke wajah saya. Betul. Pijak tinggalan ais yang menghitam terkena lumpur, ya pernah tapi pijak salji tebal yang memutih belum pernah lagi. Makanya bila si I mencadangkan mau pigi ke sini, kami semua setuju. Dari hari pertama kami di sini, kawan kami si I sudah mencari maklumat perjalanan menuju ke Pyeongchang, dan semalam dia kasi murni lagi carian di internet berkaitan Pyeongchang.

Seoul Station. Beli tiket menuju ke Jinbu di kaunter depan tu. Tidak banyak gambar kami di Seoul Station rupanya. 
Dipendekkan cerita, dari Myeongdong kami naik subway menuju ke Seoul Station. Kenapa perlu pigi Seoul Station? Sebab Seoul Station merupakan hab sistem pengangkutan Korea menuju ke mana-mana destinasi jauh dan dekat di seluruh Korea. Berikut ialah perjalanan kami menuju ke Pyeongchang.
Kami dalam train menuju ke Jinbu Station dari Seoul Station
Myeongdong Station- Seoul Station- Jinbu Station--> Naik bas menuju ke Pyeongchang
Setibanya kami di Seoul Station, rakan kami memaklumkan bahawa mereka tiada duit cash untuk beli tiket train menuju ke Jinbu. Maka mereka mau ambil duit dulu di ATM. Jadi kami belum boleh beli tiket train. Bukan tidak boleh dulukan duit kita, boleh saja. Tapi nanti di Pyeongchang mau naik cable car, mau makan, perlu juga duit cash sebagai langkah berjaga-jaga. Mana tau ada kedai yang tak mau terima kad. Lebih baik cari mesin ATM sementara masih lagi berada di Seoul. Mereka pun cari mesin ATM. Lama dorang cuba tapi tak dapat, kad debitnya di tolak. Ada seorang Ahjussi bagitau dorang, untuk ambil duit menggunakan kad debit dari luar negara, mereka kena cari mesin ATM global, yang menerima kad debit dari luar negara. Mesin ATM yang ada di depan mereka sekarang, hanya menerima kad debit tempatan sahaja. Maka sekali lagi mereka pigi cari mesin ATM yang dimaksudkan. 

Tiba di Jinbu Station
Train ini akan terus menuju ke Gangneung
Ambil gambar di sini dulu. Bukti sudah sampai di Jinbu....😅
Secara peribadi, untuk saya sendiri. Jika ke luar negara, saya tidak berani bawa cash cukup2 makan dan bergantung sepenuhnya pada kad debit. Saya seorang yang masih berfikiran "old school", biar pun saya belum tua lagi, 😅 Saya tidak punya kad kredit. Walau diasak dari pelbagai sudut, dihasut dengan cara halus oleh orang bank, kad kredit ni banyak kebaikan dia, begitu, begini...😅Saya tetap berkata TIDAK pada kad kredit! Tapi saya ok dengan bigpay dan wise. Saya pernah apply bigpay, tapi saya lupa password, maka tidak boleh guna sudah. Saya pernah apply wise tapi saya tidak guna juga. Saya simpan saja, siapa tau satu hari nanti saya perlu gunakan. Satu2nya yang saya ada kad debit saja. Makanya kalo ke luar negara, saya tukar duit siap2 dari Malaysia. Berapa duit poket yang saya perlukan untuk trip tersebut, itu la jumlah yang akan saya tukar. Maka perbelanjaan saya terkawal dalam jumlah itu saja tanpa saya perlu keluarkan lagi duit di ATM di luar negara. Sebab saya ni bukan boleh percaya, selagi ada peluang selagi itu saya kelabu mata mau berbelanja sesuka hati. Jadi kalo duit cash saya semakin menipis bermakna saya perlu kawal perasaan untuk berbelanja sakan. Tidak ada istilah menyucuk duit.😆Tapi akhirnya terpulang pada keselesaan dan kemudahan masing2. Ini cara saya berfikir dan saya selesa dengan cara ini.
Di luar bangunan Jinbu Station
tengok tu ada kerpasan di muka saya 😀
Bukan apa, kad debit ni kadang2 ada risiko dia. Mencari mesin ATM tidak semudah yang kita bayangkan seperti mana kita di Malaysia. Ada Mesin ATM, kad kita pula tidak diterima. Lagipun setiap kali kita mengeluarkan duit, ada pula dia punya charge bank. Ini menyusahkan kita, dan kawan2 juga. 

Saya pernah cuba bawa sedikit cash dan bergantung pada kad debit semasa pigi Turki. Orang bilang kalo kita keluarkan duit dari ATM di sana, tukaran dia lebih baik daripada kita tukar di Malaysia. Mula2 saya tukar duit, ok boleh diterima. Sekali tiba kali ke-3 tidak dapat sudah. Berdebar kencang sudah saya. Rupanya kena tekan kad kredit baru dapat keluar duit. Biarpun saya guna kad debit. Dari situ saya tau duit cash juga la yang terbaik. 

Panjang pula melalut. Ok la pendekkan cerita.....Selesai dorang ambil duit, maka kami pun membeli tiket menuju ke Jinbu Station. Sebenarnya tiket train ini boleh juga di beli online, tapi sudah alang2 kita di Seoul Station, beli saja la di kaunter. Harga tiket ialah $22 won seorang dan ada seat. Lepas beli tiket kami menunggu masa train berlepas. Kita boleh tengok di skrin yang terpapar besar di dalam station ni, Macam di airport tu la, no berapa gate kita dan jam berapa dia buka. Jika kita mau pigi Jinbu Station, nama Jinbu ni tidak akan keluar di skrin tersebut. Sebab ia bukan station terakhir train ini berhenti. Station terakhir ialah GANGNEUNG STATION. Maka kalo nampak di skrin nama Gangneung Station, itu la kita punya train menuju ke Jinbu. Perjalanan menuju ke Jinbu dengan menaiki train KTX mengambil masa kira-kira 1 jam 45 minit. 

Setibanya kami di Jinbu Station, kami dihidangkan dengan pemandangan yang cantik. Turunan kerpasan terbuai-buai ditiup angin. Semua teruja. Kami ambil gambar dulu di sini sebelum naik bas menuju ke Pyeongchang. Menurut maklumat yang si I dapat, ada bas dari Jinbu Station ni menuju ke Pyeongchang. Maka kami berjalan menuju ke tempat ramai orang pigi tadi. Boleh tengok gambar di bawah. Kami nampak macam ada bayang bas depan sana tu. kalo tiada bas pun mungkin kami akan naik teksi jika ada di sana. Sudah sampai di hujung tu, ada nampak bas tapi tidak pasti adakah ia menuju ke Pyeongchang. Pemandu bas ada becerita2 sama kawan dia. Dia lambai kami, Si I tanya...Pyeongchang? Dia angguk. Pemandunya seorang lelaki yang agak berumur. Kami mau tau berapa harga tambang menuju ke sana, si I bagi tunjuk hp yang ada translate bahasa Korea. Pemandu tu baca, dan kemudian dia buat sign silang tangan. Bermakna tiada tambang. Bas ini free maknanya. Maka kami pun naik. Saya tidak ingat berapa minit untuk sampai ke MonaPark Yong pyeong, tapi agak lama juga la.

Masih di Jinbu Station. Bas itu ada dihujung sana. 
Akhirnya kami tiba di Monapark Yongpyeong. Bas berhenti ditempat parking. Ramai orang jalan laju2. dorang masuk melalui pintu yang paling dekat. Maka kami pun ikut. Sampai di dalam kami kehilangan arah. Mana sudah orang yang ramai2 tadi? Kami mencari kaunter tiket cable car sebenarnya. Lalu si I bertanya seorang lelaki yang kebetulan lalu di depan kami. Orang tu bilang, "saya juga mau ke sana, ikut saya." Lebih kurang begitu la dia punya ayat.....
Rupa-rupanya stesen cable car tu bukan di bangunan ini tempatnya. Kena jalan kaki lagi ke bangunan di tempat lain. Ada la dalam 5 minit kali ya menuju ke stesen cable car tu. Sempat saya ambil gambar lembu ni. Nampak ka pintu di belakang tu? Kita kena pigi pintu tu untuk pigi ke bangunan stesen cable car tu.
Keluar dari pintu tadi tu, kita akan jumpa laluan berbumbung hijau ni. Kita jalan ja menyusur laluan ini. 
Sempat saya ambil2 gambar. Cantiknya pokok ni......Orang yang kami ikut tu, laju betul dia berjalan. Berlari2 kami. Saya rasa dia jalan macam biasa saja, tapi sebab kaki dia panjang, maka nampak macam laju dia jalan. 
Nampak ka laluan macam jalan raya putih di gambar di atas tu? Itu tempat orang meluncur salji. Gambar di bawah ni pula itu cable car
Mona Yongpyong ni merupakan tempat penginapan. Kalo kita menginap di sini, maka untuk naik cable car menuju ke puncak gunung Balwangsan, adalah percuma. Berhadapan kompleks penginapan MonaYongpyong, adalah taman mini yang dipenuhi dengan salji tebal nan memutih. Jika malam tiba pasti tempat ni cantik dengan lampu berwarna warni
Sempat saya ambil gambar org sedang bermain.... dorang baru belajar menyesuaikan diri kali ya, sebelum meluncur dari atas gunung.
Ini ada bangunan tiket office kan. Tapi masa ni tempat ini tutup. Gambar di sebelahnya tu pula, kelihatan beberapa orang bermain ski. Rasa nya ini untuk orang yang baru belajar. Bila kita tengok orang main ski ni, teringin mau belajar...Macam best. Tapi tunggu jumpa oppa handsome dari Korea😅
Banyak papan ski dan tongkat dia tu disusun elok di tempatnya, di pinggir2 jalan. Gambar Sebelah kanan di bawah tu adalah gambar orang yang sedang menyuci papan ski. Rupanya lepas main, dorang kena bersihkan, papan ski tu dengan menggunakan water jet pump untuk buang salji yang melekat dekat papan tu. Sebelah bangunan bertiang tinggi la pintu masuk ke bangunan yang menempatkan stesen cable car. 
Ini la pintu dia....Masuk dalam dan cari escalator. Naik atas....sebelah kiri akan nampak kaunter tiket cable car.
Ini la dia kaunter tiket. Pintu berwarna kuning tu pula ialah pintu menuju ke stesen cable car.
Selesai membeli tiket, masuk pigi toilet dulu. Di sini ramai kita nampak orang yang pakai sut lengkap untuk bermain ski. Lelaki, perempuan, kanak2 pun ada. 
auto handsome oppa yang pakai baju bemain ski tu. Apa ba nama baju tu...? 
Selesai semuanya baru kami bersedia naik cable car. Masuk pigi pintu kuning tadi, yang ada disebelah kaunter tiket. Naik cable car ni tujuannya menuju ke Gunung Balwangsan. 
Masuk sekali 5 orang
Tengok tu ramainya orang bermain ski.....Jika kamu perasan, cable car yang di sana tu tidak sama dengan yang kami punya. Yang itu kerusi terbuka saja tidak ada penutup. Saya rasa yang itu hanya orang2 yang ingin bermain ski saja yang boleh naik dan dia boleh turun di beberapa tempat. Kalo macam kita yang tidak punya baju kacam dorang, kalo naik cable car yang itu mungkin kita terus keras beku bila sampai di atas ...😅
Pemandangan dari dalam cable car. Nampak tak betapa panjangnya trek cable car ini
Nampak tak betapa lebatnya salji turun di luar sana. Macam dalam drama korea tu kan......
Mula-mula saya ingat trek cable car ni dekat saja. Macam di Langkawi tu, rupanya jauh ehh. Kalo orang gayat teruk, beku kali ya. Hehehh... Trek di Balwangsan ni dikatakan laluan terpanjang di Asia. Merentang sejauh 7.4 km dari bawah. Ia menawarkan pemandangan Gunung Balwangsan yang cantik. Cumanya kalo waktu musim sejuk ni hamparan putih saja la yang kelihatan. Tapi tetap cantik dengan orang yang main ski di bawah sana....Pemandangan Mona Yongpyong di puncak gunung pun, tidak kurang hebatnya. Sumpah Cantik!
Akhirnya kami tiba juga di atas gunung. Masuk-masuk saja jumpa Mt. Balwangsan Skywalk. Jom kita cari artis dulu. Mana dia aaaa......
Ni nah dorang....handsome nya. Katanya lokasi ni pernah menjadi set pengambaran beberapa drama Korea.
Sudah jumpa artis apa lagi, jangan kasi lepas peluang untuk bergambar. Bukan senang ni mau jumpa dorang...😅
Lepas tu turun lagi ke tingkat bawah. Jumpa lagi ini.....Ala-ala kapal titanic, kalo berdiri di hujung tu, kau depa tangan, sambil pejam mata! Perghhh....betul2 macam si Rose dalam cerita Titanic itu!  Malangnya tidak boleh kita pigi sampai hujung sana tu. Ada rantai sauh kapal menghalang pemergian kita ke hujung sana. 
Ruang masuk ke kapal Titanic
Tebalnya la salji di bawah sana tu. Yang di bawah tu ialah stesen cable car yang tiada penutup. Kerusi saja. Khas untuk para pemain ski
Kawan saya sedang diambil gambar oleh para wartawan hiburan Korea. Perghhh ramai peminat kawan saya ni rupanya..😅
Ok kemudian kami turun lagi ke tingkat bawah. Nah di sini kami jumpa pemain-pemain ski dari seluruh Korea. Smart owhh dorang...Kami keluar dari pintu ni. Tapi tak kacau la dekat dengan dorang main ni. nanti jatuh. Kami terus pigi ke Taman Astakona....
Kau tengok ibu peri berposing. Abis muka dia merah kesejukan. Sebenarnya dia ni salah bawa baju sejuk. Tidak ngam baju yang dia pakai ni. Dengan tidak bawa glove. Nah belakon seperti badang, padahal bibir habis kebas. Jemari luka. 
Scrol laju2 kalo menyampah tengok ibu peri......dia saja ba interprem!
Nah siap betiarap di atas salji. 
Tidak dapat main ski, kita meluncur secara manual saja. 😅
Yang ini ada Ahjussi tolong ambil gambar kami. Kawan yang satu lagi tidak ikut sebab dia kesejukan. Maka dia tunggu kami di dalam bangunan saja, sebab di sana panas. 

Nah, mari kita menikmati kesejukan di Pyeongchang
Sebenarnya Taman Astakona tu panjang lagi laluan dia, cuma kami tidak tahan sejuk. Maka kami berpatah balik. Kami ambil gambar dekat2 dengan bangunan. Nanti kira-kira kalo sejuk boleh berlari masuk dalam bangunan. Sebenarnya bibir saya kebas sudah. Rasa tebal macam kana bius. Hilang deria rasa. Tapi tetap senyum...hehehh
Bangunan ini ada beberapa tingkat. Di sini la tadi tempat kami bejumpa artis Korea tu tadi. Di sini juga menempatkan stesen perhentian cable car, di tingkat 3 rasanya...yg paling atas.
Sebelum masuk dalam bangunan, sempat saya menjepret orang baru turun dari cable car dan terus meluncur pergi. Yang ini pasti sudah pro. Kamu tau, dorang ni meluncur dari atas sampai pigi turun di kaki gunung di bawah sana tadi. Laluan dia berliku2 dan sudah pasti curam. Kita boleh nampak dari atas cable car masa turun balik. 
Beberapa spot menarik yang ada di Monapark
Yang ini sudah dalam bangunan. Kami mau naik cable car mau turun balik ke bawah. Smart kan dorang....

Panjang pula saya punya entry kali ni.. 
Saya sambung di cerita seterusnya ya...
jumpa lagi
bye

niena💗



Monday, June 10, 2024

Trip santai ke Korea: Petite France (Part 4)


Masih hari yang sama. 
Selepas pigi Nami Island, kami sebenarnya mau pigi ke Gapyeong Rail Park. Naik basikal di situ. Lalu kami tunggu bas di Busstop tempat kami diturunkan di awal pagi tadi. Menurut carian maklumat di google, mengatakan bahawa, city bus yang kami naik tadi pagi tu juga akan pigi kebeberapa destinasi pelancongan di sekiar Gapyeong, salah satunya ialah Gapyeong Rail Park itu, dia akan pigi juga.
Pintu masuk
Cantik kan view di sini.
Lama Kami tunggu.
Tapi bas tidak muncul tiba. Sebenarnya di busstop itu juga ada beberapa teksi parking situ menunggu pelanggan. Ada satu Ahjuma bertanyakan kami mau kemana? barangkali dia hairan, kenapa ba ni sumandak dari tadi nda pandai nyah dari bus stop ni. Kawan saya sebut "Gapyeong Rail Park". Dia balas dalam bahasa Korea, tapi kami tidak faham. Lalu dia tunjuk sign tangan dia tanda pangkah. Baru kami faham rupanya tempat itu ditutup. Makanya kami menukar haluan ke Petite France. Ini memang ada dalam itinerary kami.

Ahjuma itu (Bercakap dalam bahasa korea) tapi kami faham melalui dia punya sign tangan. Dia mengesyorkan kami untuk naik teksi. No Bus, kata dia. Mungkin sudah lewat jadi tiada sudah bas mau ke sana. Maka teksi paling depan itu la punya giliran untuk kami naik. Teksi itu dimiliki oleh seorang Ahjusi yang sudah tua. Dalam teksinya dihiasi dengan hiasan2. Hiasan? Ya Hiasan! Kamu pernah tengok beca di Bandar Hilir Melaka. Ya begitu la dia hias teksinya. Oleh kerana kami 5 orang maka kami bersesak la kami 4 orang dibelakang tu. Nasib kami semua slim. 😅 Tapi baru saja jalan tidak sampai 5 meter, teksi ni kelihatan semput. Lalu Ahjusi kasi tepi teksi dia. Dia buat cubaan hidupkan enjin 1x, 2x,3x. Akhirnya dia mengalah dan call kawan dia. Dia bercakap dalam bahasa Korea, minta kami keluar dan kawan dia akan datang.
Akhirnya datang satu kereta baru. Wow rezeki kami. Kereta itu kereta Hyundai Sedan tapi rekabentuk body kereta tu agak besar. Kenapa kami kata baru keluar kotak sebab bau kereta tu memang bau kereta baru. Dan kereta itu bukan teksi ya. Kereta tu pakai kuasa elektrik. Saya rasa Hyundai Elantra. Kereta baru, maka dia lari pun mulus saja. Siuk la...tambah lagi jalan raya di Korea ni sangat bagus. Terasa mau tidur disepanjang perjalanan. Pada mulanya saya ingatkan dekat tempat ni, rupanya jauh. Mau sejam lebih juga. saya takut sudah kana tipu, sebab saya nampak signboard Seoul, Mt. Seorak....Tapi akhirnya kami sampai juga ke destinasi. Alhamdulillah. 
Pemandu teksi tadi bilang (Dalam Bahas Korea), dia akan tunggu kami sehingga selesai lawatan. Dia bagi masa dalam 1 jam lebih dan 6.00 petang boleh la keluar cari dia di tempat parking. Kami semua setuju. Lalu masuk membeli tiket. Tiket masuk berharga 12,000 won untuk Petite France saja. Rupanya kalo masuk ke Italian Village tu lain lagi harganya. Jadi kami pilih satu saja. Sebenarnya kami sampai sini ni sudah lewat petang. Seingat saya mungkin dalam jam 4.30- 5.00 petang begitu. Patut la pemandu teksi tu bilang dalam jam 6 dia suruh kami keluar, rupanya tempat ni tutup jam 6 petang. Mula2 kami sampai tempat ni nampak sunyi. Macam kami saja pelancong yang datang ke sini. Tapi kami maklum mungkin sudah lewat petang. dalam 10 minit kami di stu baru ada pelancong lain yang datang itu pun tak ramai.
Petite France ni ialah sebuah perkampungan ala Perancis. Terletak di Gapyeong-gun. Jadi kalo kamu kebetulan pigi Nami Island, boleh la terus ke sini. Waktu operasinya bermula jam 900 pagi hingga jam 6 petang. Itupun bergantung kepada musim dan keadaan cuaca. Dibuka sepanjang tahun. Tempat ini sebenarnya biasa saja. Kalo kita bercuti bersama kanak2 mungkin mereka lebih gembira. Tapi boleh la untuk lawatan sekali seumur hidup, untuk pengalaman, cuci2 mata, ambil gambar. Apa yang saya suka di sini, ianya sunyi dan tidak sesak. 
Saya rasa tempat ini akan menjadi lebih menarik apabila tiba musim bunga-musim luruh. Di sini ada banyak pokok, tetapi masa kami datang ni pokok dia hanya tinggal ranting dan belum berdaun. Sebab bulan mac tu adalah tempoh peralihan dari musim sejuk ke musim panas. Saya tidak pasti kalo di dalam ni ada tempat penginapan. Memang ada banyak rumah2 ni kan tapi kebanyakannya adalah galery. 
Selesai menulusuri semua tempat dan mengambil gambar, kami pun kembali ke tempat parking. Ramai sudah yang balik. Tinggal pekerja saja lagi. Cafe pun sudah tutup. Teksi terus menghantar kami ke Gapyeong Station. Sampai sana gelap sudah. Tambang teksi tu saya lupa sudah berapa. Tapi bila sudah patak2 5 orang dia jadi murah la sudah kan. Berbaloi la harganya dengan jarak tempat itu. 
Akhirnya kami tiba di Gapyeong Station. Kami tercari2 kaunter tiket ke Cheongyangyi Station. Tapi tiada. Mesin tiket yang ada tu pun tidak ada jual tiket untuk ke Cheongyangyi. Kawan saya tanya pada orang yang ada di sana, dia tunjuk office tiket tu. Ianya berada di sebelah mesin tiket tu. Kalo dari sini tidak nampak pintu dia, tapi sebenarnya disebelah mesin kaunter tiket tu ada satu pintu kaca, kecil ja. di situ la tempat menjual tiket. Kita bagitau mau pigi mana nanti dia akan bagi tiket. 
Tiket ITX dari Gapyeong ke Cheongyangyi berharga 5700 won. Akan berlepas jam 7.12 malam 
Tunggu train, tidak ramai orang
Dalam train
Cantik 

Sampai sini kami terus ke bangunan sebelah ambil subway untuk terus balik ke Myeongdong.
Sampai di Myeongdong, kawan kami pigi makan di Kimseri. Kami jalan2 area Myeongdong. Ahmed Kebab halal. Inshaallah...
Ini pun ada tanda halal boleh la dibeli.
sekitar Myeongdong
Hotel kami dekat sangat dengan Myeongdong St. Tu yang ada signboard kuning
Kalo takut sesat cari saja kedai Natural Republic ni, dan kemudian kamu tengok disekeliling pasti nampak Mizo Hotel

Oleh sebab tadi pagi kami bergerak agak lewat maka saya rasa perlu juga diingatkan kawan kami ni, supaya dia boleh set alarm untuk bangun lebih awal. Sebelum kami berpisah haluan sama kawan kami (dia pigi makan di Kimseri), saya sempat bagitau dia, esok kita gerak dalam jam 8 pagi ya, jadi dalam jam 730 pagi tu boleh sudah sarapan pagi. Dia kata ok. Saya cakap dalam keadaaan santai saja sebab pada saya untuk menegur orang, kita tidak perlu menjadi orang lain. Cukup dengan nada yang santai, tidak menyinggung perasaan dia dan kita masih boleh enjoy untuk hari seterusnya. Sekurang2nya kita tidak menjadi talam dua muka.✌


Bersambung....

Summer di Japan: Naik Bas Dari Narita Airport keKawaguchico (Part 3)

 26 Mei 2024 (Ahad) Salam. Hi semua... Selepas mereput semalaman di Narita Airport, hari ni kami akan bergerak ke destinasi pertama kami iai...