Friday, June 16, 2023

Bercuti Ke Turki: Melawat Kota Purba Ephesus...(Part 8)

17 Dec 2022 (Sabtu)

Hari baru, semangat baru. Lokasi yang akan kami lawati pada hari ini ialah ke Ephesus. Oleh itu, kami bangun awal gilerr sebab nak mengejar train paling awal menuju ke Selcuk Station iaitu pada jam 7.10 pagi. Selepas solat subuh pada jam 6.47 pagi kami bergegas ke Alsancak train station. Berlari-lari kami di awal subuh tu, Nasib baik sejuk…kalo tak berpeluh juga. Sampai di train station, tak jumpa pula kaunter tiket. Ini bermakna kita kena beli tiket melalui mesin. Ahh…sudah. Kita nampak beberapa pegawai polis berdiri di luar bangunan sambil merokok. Kita pun sapa untuk minta tolong. Salah seorang daripada mereka datang tolong untuk beli tiket. Sebenarnya boleh je kita cuba beli, tapi masalahnya kita mengejar masa. Polis tu tolong tekan2 butang mesin, kita tinggal masukkan duit je….Selesai belian tiket dia bagitau ambil train di landasan paling kanan. Tapi dia cakap dalam Bahasa Turki, sambil dia memberi isyarat tangan menghala ke sebelah kanan. Bila sampai di luar bangunan, ada 2 landasan di sebelah kanan, dengan confidentnya kitorang ambil train di landasan no. 2 dari kanan dan train itu bergerak pada jam 7.10 pagi….Tapi rupanya dipertengahan jalan baru perasan yang train ini tidak menuju ke Tekapoy tetapi bertentangan arah. Ok tak apa, nikmati saja perjalanan ini. Kami sepakat untuk kekal di dalam train sehingga ia berpatah balik semula ke Alsancak. 1 jam kemudian, ya betul train ini kembali ke Alsancak. Kami mengambil train di landasan no 1 di sebelah kanan tadi. Train yang menuju ke Tekapoy ini dikendalikan oleh Syarikat Izban. Betul ada tertulis nama "Tekapoy" pada train. Di bawah ni adalah laluan perjalanan kami sehingga sampai ke Selcuk.
Alsancak train station (17 stops- 1 hour) -----> Tepekoy (Tukar train- 3 stops, 23 min) ------> Selcuk
Gambar atas: Kalo nak ke Selcuk kena ambil train di landasan no 1 dari kanan tu
Gambar bawah: Train yang kami naiki kali pertama itu sebenarnya menuju ke Aliaga

Tiba di Tekapoy Station. Kena turun di sini dan tukar train menuju ke Selcuk.....Kita tunggu train sampai kat sebelah sana yang ramai orang tu

Selepas 1 jam kami tiba di Tekapoy. Keluar dari train dan terus bergerak ke hadapan untuk menunggu train seterusnya menuju ke Selcuk. Tak perlu berjalan jauh, landasan untuk train menuju ke Selcuk tu berhadapan sahaja (lihat gambar atas). Kat sini ramai orang-orang tua yang masih lagi pergi ke pasar. Tapi mereka kelihatan cergas dan sihat. Rasanya atas sebab pemakanan. Sebab depa suka makan salad, buah zaitun, sarapan pagi semua makanan sihat... Kagum tengok depa yang sama-sama menunggu train menuju ke Selcuk. 
Ini tiba di Selcuk station. Dari sini keluar bangunan, ikut je orang ramai pegi mana....
Dari Selcuk Station kita kena ambil teksi menuju ke Ephesus. Teksi ada banyak di luar station. Jarak dari Selcuk station menuju ke Ephesus adalah 4 km iaitu 8 minit pemanduan. Tambang adalah 60 Lira. Kira murah la sebab kita patak-patak (share) bayar 3 orang.
Sebelah bangunan Selcuk Gar ni ada toilet. Ke sana dulu... (Gar: bermaksud stesen)
Sekitar Selcuk Station. Kat sini nampak gerbang tinggi tinggalan kerajaan lama..
Dah sampai kami terus menuju ke kaunter tiket. Bayaran masuk adalah 200 Lira. Tambahan 90 Lira sekiranya menyewa peralatan audio. Aku tak amik audio sebab aku nak fokus amik gambar. Depa 2 je amik audio. Kat depan ni ada Kedai jual cenderahati, tapi kitorang tak singgah pun. Nak singgah nanti masa pulang. Jika datang ke Izmir, Ephesus adalah salah satu tempat yang perlu kita lawati. Setidaknya sekali seumur hidup. 

Ephesus merupakan sebuah Kota pelabuhan Yunani kuno yang terletak di pantai barat Anatolia. Bersempadan daerah Selçuk, Izmir. Kota Ephesus dibina pada abad ke 10 SM iaitu di atas tapak bekas ibu kota Arzawan. Pada zaman Yunani kuno, Ephesus dianggap sebagai bandar paling penting di wilayah Mediterranean. Ini kerana kedudukannya yang strategik berdekatan dengan laut, merangsang pertumbuhan ekonomi dan secara tidak langsung aktiviti keagamaan, pentadbiran, pendidikan berjalan dengan baik. 
Beli tiket
Menurut cerita lama, Ephasus dibuka oleh Putera Androclos pada abad ke 11 SM. Putera Androclos berhajat untuk mencari satu petempatan yang sesuai untuk Yunani baru. Maka, beliau telah pergi kepada Oracle Delphi iaitu seorang peramal untuk mendapatkan petunjuk. Oracle menyatakan kepada beliau bahawa sampai satu masa nanti, akan ada seekor babi hutan dan ikan akan menunjukkan dimanakah lokasi yang sesuai untuk dijadikan petempatan baru Yunani. Androclos pun balik menjalani hidupnya seperti biasa. Pada satu hari, Androclos teringin untuk makan ikan goreng, lalu beliau memasang api di satu kawasan terbuka, ambil beberapa batu untuk tempat letak kuali (ehh....dah ada kuali ke masa tu? pokoknya, periuk la untuk tempat goreng ikan) dan kemudian mula mengoreng ikan. Tiba-tiba seekor ikan yang nak dimasukkan di dalam kuali tadi terjatuh pula ke semak-semak berhampiran. Mungkin Androclos pun terkejut sampai terkuis bara kayu, lalu menghasilkan percikan api pada semak-semak berdekatan beliau mengoreng ikan. Mula-mula kecil, lama-lama apinya semakin besar hingga membakar belukar. Kawasan hutan biasanya memang jadi petempatan bagi haiwan, bila adanya kebakaran walaupun kecil, maka banyak la haiwan keluar menyelamatkan diri. Tapi satu-satunya haiwan, yang keluar dari semak-semak tersebut adalah babi hutan. Beliau berfikir apa petanda ini semua, lalu teringat akan pesan dari Oracle Delphi. Maka di situ la Androclos membuka petempatan baru untuk Yunani dan memberi nama lokasi tersebut sebagai "Ephesus". Sejauh mana kebenaran cerita ini tidak la dapat dipastikan.....
Pada tahun 1996, satu penempatan yang dikenali sebagai Cukurici Hoyuk telah ditemui di pinggir Sungai Derbent. Lokasinya terletak di barat daya Selcuk, Aydin dan di segitiga jalan Ephesus. Cukurici Hoyuk adalah sebuah penempatan kuno yang terletak berhampiran dengan kota Ephesus iaitu berjarak hanya 1 km. Dengan jarak yang sebegitu hampir sudah pasti petempatan ini menyimpan kunci rahsia Ephesus. Selepas penemuan Cukurici Hoyuk, Adil Evren iaitu seorang ahli arkeologi, telah menubuhkan satu team penyelidikan dan hasil galian tersebut telah menemui pelbagai khazanah lama seperti kapak batu dan gangsa, jarum pengisar dan lain-lain. Penemuan ini membuka tirai sejarah Ephesus sejak awal hingga mencapai zaman Neolitik.
Perjalanan menuju ke Perpustakaan Celsus

Masuk abad ke-2 SM, Empayar Romawi telah berjaya menakluki kota Ephesus. Maka pada ketika ini Ephesus mengalami zaman kegemilangan yang mana banyak aktiviti pembangunan telah dilakukan oleh kerajaan Romawi. Antara bangunan yang terkenal dibina semasa zaman pemerintahan Romawi ialah bangunan perpustakaan Celsus, Grand theatre, Kuil Artemis dan Agora. 
Perpustakaan Celsus

Perpustakaan Celsus merupakan salah satu bangunan paling berprestij di Ephesus. Direka oleh seorang arkitek Rom iaitu Vitruoya atas arahan Tiberius Julius Aquila. Ia dibina pada awal abad ke-2 M, untuk memperingati ayahnya iaitu Tiberius Julius Celsus Polemaeanus yang banyak berjasa kepada negara. Celsus merupakan seorang yang kaya, berpengaruh dan sangat dihormati. Beliau memulakan kerjaya dalam bidang ketenteraan, jawatan tertinggi beliau di dalam tentera ialah sebagai jeneral. Kemudian dilantik menjadi konsul di Ephesus dan akhirnya beliau dilantik menjadi Gabenor Asia. Selepas ayahandanya meninggal dunia itu lah Aquila mengarahkan pembinaan Perpustakaan Celsus. Malangnya pembinaan perpustakaan Celsus mengambil masa yang lama dan tidak siap sehingga Aquila meninggal dunia. Namun akhirnya pembinaan Perpustakaan Celsus diteruskan dan siap sepenuhnya pada tahun 135 M, semasa pemerintahan Maharaja Rom Hadrian, beberapa tahun selepas Aquila meninggal dunia. 
Perpustakaan Celsus menduduki ranking ke-3 sebagai perpustakaan terbesar di dunia pada zaman tersebut, selepas perpustakaan di Alexandria dan di Pergamon (Bergama, Turki). Bangunan yang dibina hasil gabungan dari seni Rom & Yunani ini mempunyai ketinggian hampir 16 meter, dengan lebar 21 meter, lengkap dengan ruang legar sedalam 2.4 meter. Terdapat sebanyak 30 rak buku disediakan di perpustakaan Celsus untuk menyimpan 12,000 gulungan. Dikatakan bahawa pada ketika itu mereka mengimport kayu papyrus dari Mesir untuk dijadikan sebagai kertas. Aktiviti ini berlangsung cukup lama sehingga akhirnya pihak Alexandria sendiri menghentikan aktiviti export kayu papyrus ke Ephesus, kerana dikhuatiri jumlah buku atau gulungan kayu papyrus di Ephesus melebihi yang ada di Alexandria. Mana boleh lawan tokey kan... sebelum ini berlaku elok cantas awal. Ehh...terlebih pula.🙊
Bangunan hadapan Perpustakaan Celsus
Ok sambung cerita, perpustakaan Celsus ni, selain dari berfungsi sebagai gedung ilmu, ia juga berfungsi sebagai makam. Ingat tak tadi kita cerita tujuan perpustakaan ini dibina adalah untuk memperingati Celcus? Ya begitu la.. makan Celsus terletak di tingkat bawah, di pintu masuk yang ada patung Athena di atasnya. Patung Athena dianggap sebagai dewi kebijaksanaan. Pada tahun 262 M, Perpustakaan Celsus terbakar akibat serangan dari penceroboh Gothic. Menurut sumber, bangunan perpustakaan ini sempat di bangunkan kembali tetapi sekali lagi musnah akibat gemba bumi. Yang tinggal hanya lah bahagian depan bangunan. Pada tahun 1970-1978, Volker MIcheal Strocka, seorang ahli arkeologi Austria mengadakan kempen untuk membina semula bangunan Perpustakaan Celsus. Dalam usaha pembaikpulihan itu, Strocka telah menganalisis serpihan yang telah digali oleh ahli arkeologi Austria terdahulu pada tahun 1903-1904. Beberapa elemen seni bina lain juga telah diperolehi dari muzium di Vienna dan Istanbul. Semua itu dikumpulkan, mana2 bahan yang tiada akan di buat semula atau dibiarkan begitu saja. Hasilnya, kini kita masih dapat melihat tinggalan bangunan hadapan Perpustakaan Celsus yang masih gagah berdiri dengan megah. 

Great Theatre Ephesus

Kami meneruskan perjalanan menuju ke Great Theatre Ephesus. Menurut sumber, ia mula dibina pada zaman Helenistik. Pembinaannya berlangsung cukup lama, melewati 3 maharaja yang memerintah. Semasa pemerintahan Maharaja Claudius (41-54 M), beliau memerintahkan supaya bangunan teater ini diperbesarkan. Kemudiannya ia disambung oleh Maharaja Nero (54-56 M) dan ia siap dibina sepenuhnya pada zaman pemerintahan maharaja Trajan. Bangunan teater mempunyai kelebaran 145 meter, Struktur binaannya diperbuat daripada marmar, mempunyai lebar 145 meter. Pada zaman kegemilangannya, bangunan teater ini boleh memuatkan 24,000 orang penonton dalam satu-satu masa. Banyak aktiviti yang dijalankan di sini, tidak hanya aktiviti hiburan tetapi juga aktiviti berkaitan keagamaan, politik, falsafah dan lain-lain.  
Bangunan teater ini dibina berkonsep terbuka. Tidak ada bumbung yang menutupinya. Namun pada abad ke-2 M, pemerintah pada ketika itu telah membina awning untuk memberi keselesaan kepada penonton agar tidak terus terkena cahaya matahari. Antara tahun 359-366 bangunan teater ini telah rosak akibat daripada kejadian gempa bumi.

Sempat kami melepaskan lelah di sini. Duduk-dudk sambil makan buah apple yang sempat di bawa pagi tadi. Tangga teater ni agak tinggi, perlu langkah besar untuk melangkau ke anak tangga yang satu lagi. Mungkin orang dulu-dulu tinggi-tinggi maka ruang duduk pun kena besar. Akhirnya kami meninggalkan kota Ephesus dan kembali semula ke Alsancak.
Tempat ambil teksi untuk kembali ke Selcuk Station

Sebelum balik singgah makan aiskrim dulu

Konak Square
Dalam train ni kami berbincang untuk cari makan dulu di Konak Square. Jadi dari Tepakoy Station kami naik train dan turun di Hilal Station. Dari Hilal Station ambil metro dan turun di Konak Station. Dari Konak Station kami jalan kaki je ke Konak Square. Perjalanan kami adalah seperti di bawah: Oh ya....kenapa kat atas tu aku tulis dari Tepakoy station, bukan dari Ephesus? Sebab Tepakoy adalah station train yang membawa kita terus ke Alsancak. Oleh sebab kami akan singgah ke Konak Station maka kami akan turun di Hilal bukan turun di Alsancak. Dari Hilal Station ni macam ada 3 station lagi nak sampai ke Alsancak. Tapi tak apa aku akan tulis perjalanan kami dari Ephesus. 

Dari Ephesus Ancien City (naik Teksi)- Selcuk Station- Tepakoy Station- Hilal (Tukar Metro) - Konak Square. 
Tiba di Konak Station
Menara Jam di Konak Square
Kebab
70% diskaun agaknya ya
Moda pun ada di sini
Suka pergi tempat2 macam ni, kita bebas memilih. Ini antara kebaikan bila kita pergi jalan2 secara DIY. Kadang tu bukan nak membeli sangat pun, tapi biasa la wanita sejati, tengok2 barang pun boleh jadi terapi dan sudah rasa bahagia nya....😄
Kedai nama HOBI...Hobi kau apa? 
Ramai betul orang kan...sebab hari sabtu
Kedai paling aku suka di Turki 😍 Nak masuk tapi kawan aku nak makan....
Baju winter mengambil tempat di pasaran
Kalo tak cukup bawa baju boleh beli di sini. 
tak jumpa lagi restorannya kat mana...kita nak cari restoran yang Hang Dhamin sebut dalam Blognya tu tapi tak jumpa
Makanan kering khas Turki
Horeeyy...sudah jumpa akhirnya. Sebenarnya tempat makan ni di area pasar basah. Heheh.....Tak jumpa restoran yang dicari. Jadi akhirnya di sini lah kami mendarat... Dengan bahasa Turki tuan kedai tanya nak makan apa? Dia ada sebut menu yang ada tapi dalam bahasa Turki. Kami minta ikan dan tunjuk menu orang sebelah. Tapi makanan orang tu, ikan dia macam ikan kecil2.. nampak sedap juga. Tapi akhirnya ini yang sampai. alhamdulillah sedap juga cuma tawar....Kena makan roti, sekali sekala jadi orang futehh. Ikan tu sedap tapi itu la tawar. Sambil cubit ikan, sambil membayangkan, kalo la ada sos ke, sambal belacan ke...perghhh padu ni walau tak ada nasi!!

Lepas makan, tak dan nak jalan-jalan dah. Suhu makin sejuk, Hari makin gelap....jadi kami memutuskan untuk balik terus ke hotel. Sebenarnya dari Konak ni ada Metro terus menuju ke Alsancak, 1 station je. Tapi takut sesat ke laut, maka kami ikut jalan jauh dan mahal iaitu naik metro ke Hilal dan tukar train pula menuju ke Alsancak. 

Bersambung......
Rujukan:
special thanks to:
https://ms.m.wikipedia.org > wiki
renescadetsportsmouth.co.uk
https://ms.royalmarinescadetsportsmouth.co.uk/ephesus

Friday, May 5, 2023

Bercuti ke Turki: Ke Izmir (Part 7)

 16 dec 2022 (Jumaat)

Hari ni kami akan terbang ke Izmir. Semalam dah janji dengan Mr. Yunus untuk minta dihantar ke Airport. Flight kami dijadualkan pada jam 8 pagi. KH kata pada Mr. Yunus minta dihantar pada jam 5 pagi, untuk mengelakkan jem dijalanan. Tapi Mr. Yunus kata jam 6 pagi la sebab jam 5 pagi tu orang Turki masih tidur lagi 😅, lagipun awal pagi jalanan masih tenang2 tak jem. Logik juga, kami setuju. Dipendekkan cerita memang tepat jam 6 la Mr. Yunus sampai. Perjalanan dari Epoch Stone House ke Kapadokya Airport mengambil masa kira-kira 35 minit. Rasa mula-mula sampai tu macam lama gilerr nak sampai homestay, yang ini sekejap pula. Ohh mungkin sebab masa tu singgah-singgah hantar orang lain dulu. Sampai di airport Kapadokya, baru tau rupanya airport ni kecik je, tak perasan pula masa tiba 2 hari yang lalu sebab sampai malam, tak dan nak tengok sekeliling dan ambil gambar. Oleh kerana ruang ni kecik, masuk je terus scan dan drop bag. Selesai semuanya baru kami naik ke tingkat atas untuk solat. Ruang solatnya walaupun kecil tetapi bersih dan selesa. 
Airport Kapodokya, kecik je..
Penerbangan dari Kapadokya ke Izmir mengambil masa 1 jam 30 minit menaiki Pengasus. Ok la sekejap je. Tambang flight berharga........ sudah lama dibeli. Aku tidur, tapi kemudiannya dikejutkan oleh pramugari. Rupanya nak bagi roti, aku toleh kiri kanan orang lain tak dapat pun, kami je...ohh mungkin kita beli makanan masa beli tiket ni. Belajar dari pengalaman 2 hari yang lalu menaiki Pengasus, aku simpan je roti tu. Bukan sombong ya tapi roti tu tak boleh masuk tekak 😆
Sampai airport Izmir, macam biasa amik gambar dulu buat kenangan. 
Sampai di Izmir Airport Izmir, ambil gambar dulu sebagai kenangan. Selepas ini kami perlu menuju ke tempat penginapan kami iaitu di Hotel Apart Alsancak. Cadangannya perlu menaiki keretapi, untuk sampai ke Alsancak. Dari Izmir Adnan Menderes Airport kami berjalan kaki kira2 8 minit (650 meter) menuju ke stesen metro Adnanmenderes Havaalani  yang terletak berdekatan dengan airport. 

Izmir Airport---(Jalan Kaki)--> Adnanmenderes Havaalani---(10 stesen)-->Alsancak

Kami berjalan keluar dari ruangan ketibaan airport Izmir. Keluar aje, akan nampak tangga... 

Keluar ikut pintu ni. Dari depan pintu ni akan nampak tangga jejantas. Pegi kat tangga tu...

Mneyeberang jalan menuju ke tangga jejantas tu...
Jejantas ni akan membawa kita ke stesen metro. Nampak tak tangga tu, seram kan kalo kita bawa beg? 😀Tapi jangan risau, sebelah tangga tu ada escalator. Jom naik..

Sampai atas jejantas, belok kiri dan cari signboard metro ni. Ok turun bawah pula...
Sebelum tu beli kad Izmir dulu. Kad ni boleh guna untuk naik train/metro dan sebagainya..

Kemudian beli tiket train pula. Dah beli, jom keluar ikut pintu sebelah kiri tu. 

Tunggu train sampai....
Ok dah sampai Alsancak station....
Ok jom kita keluar, pegi kat tempat yang ramai orang tu. 
Kena lalu masuk bangunan cantik ni
Jalan terus sampai nampak dunia luar...ehhh😁
Dah sampai di hadapan stesen Alsancak....ambil arah kiri, jalan terus sampai kat orang ramai kat depan tu. Kat depan tu ada traffic light....
Ini map nak ke Hotel
Sebenarnya dari sini nak ke Hotel Apart Alsancak, kena berjalan banyak sikit, kira-kira 5 minit la menurut arahan Goggle map tu. Kedudukannya di dalam, di celah2 lorong, tak nampak dari bangunan train station Alsancak tu. Kami sebenarnya sempat nyasar (sesat) kemana-mana, malah makin jauh, walaupun dah buka goggle map tetap salah jalan. Mungkin la kami tak faham baca map tu, contohnya dia suruh jalan terus, padahal jalan terus tu, cik goggle ni maksudkan kau kena berada di seberang jalan, baru jalan terus yang betul, bukan jalan terus dari jalan sebelah sini. 

Tapi pokoknya, keluar dari bangunan station train tu, kita ambil arah ke kiri, jalan terus sampai jumpa traffic light di sebelah kanan. (Kalo tengok gambar kat atas tu, jalan terus je kat tempat orang ramai, kat situ ada traffic light). Dah lampu hijau, jom kiter ke seberang jalan. Sampai kat seberang jalan, ambil arah kiri, jalan terus sampai jumpa bangunan "Kent Kutuphanesi". 
Ini bangunan Kent Kutuphanesi. Nampak tak kereta kuning tu? Haa...masuk simpang ke kanan...
Sebelum sampai bangunan si Kent ni, kau akan jumpa bangunan TCDD Muzesi, Golden Car....baru la bangunan Kent Kutuphanesi. Kemudian sebelah bangunan Kent ni, ada simpang ke kanan, ok kau ambil simpang masuk ke kanan ni, jalan terus sampai jumpa bangunan "LOZAN-GAYRIMENKUL" kat depan kita. Nak sampai ke bangunan Lozan- Gayrimenkul ni agak jauh tau, jalan lurus je jangan masuk2 simpang. 
OK ini dia bangunan Lozan tu. 
Ok, bila dah nampak bangunan Lozan kat depan kita ni, bermakna kita berada di simpang 4. Jadi kita ambil arah di sebelah kiri kita. Jalan terus sampai jumpa restoran Zeytinim di sebelah kiri kita. Dah sampai hujung restorant ni, cuba kau toleh kiri, pasti kau nampak signboard Hotel Apart Alsancak. Yeahh...dah sampai kita. Macam mudah je kan jalannya. Padahal masa nak ke sini, pusing-pusing di tempat yang sama 2, 3 kali. Sikit lagi nak amik teksi 😁, nasib baik je teksi tak ada, jimat duit. 
Restoran Zeytinim
Ha tu kat depan dah sampai Hotel Apart. Di hari lain, kami sentiasa cari nama Zeytinim dan Ipragas ni untuk balik ke hotel. 
Toilet
katil
Toilet ni aku suka sebab boleh jemur baju kat dalam ni. Jemur malam, esok pagi dah kering. Cumanya yang aku kalah, pintu dia kaca....Walaupun gelap tapi orang kat luar masih boleh nampak bayang-bayang agak jelas kita yang berada di dalam kalo buka lampu. Bilik ni lengkap dengan dapur, tapi kitorang tak pernah masak pun kat sini. Kan beg makanan aku masih berada di Istanbul. Bilik kami ni lebih kecil daripada bilik geng sebelah. Mungkin sebab 2 katil single jadi amik ruang sikit. Kami sampai tengahari, jadi tak boleh checkin. Sudahnya kami keluar makan dulu, Orang hotel ni kata ada restoran sedap di tepi laut. Kami ke sana tapi kedainya tak buka lagi. Depa buka kedai waktu petang. Sudahnya kami pergi restoran kecil ni, menunya kebab je. Boleh la....asalkan kenyang kan. 
Pakcik kedai makan. Halal. Inshaallah...aku lupa ambil gambar kedai makan.
Masa ke Izmir ni, hari jumaat. Jadi masa tengah tunggu pakcik siap buat makanan kami, nampak ada orang sedekah makanan. Rasa macam nak p Q juga, tapi malu 😁
Sebelum pegi makan kat restoran Pakcik tu, kami jalan-jalan sampai ke tepi laut....sempat la jepret 2, 3 gambar cafe cantik. Berada di tepi laut, mengingatkan aku dengan lanskap Cappadocia. Sangat berbeza. Cappadocia lebih kepada alam semula jadi, Izmir pula lebih kelihatan moden. Izmir merupakan bandar ke-3 terbesar di Turki selepas Istanbul dan Ankara. Jadi tak hairan la kalo lanskapnya berubah drastik berbanding berada di Cappadocia. Menurut sejarahnya, pada zaman dahulu, Izmir dikuasai oleh 3 kuasa kerajaan besar iaitu Yunani, Romawi dan Usmani. 

Asalnya Izmir dikenali sebagai "Smyrna" semasa berada di bawah kekuasaan Yunani Kuno dan Romawi. Namus selepas Izmir jatuh ke tangan Sultan Mehmed Celebi semasa Dinasti Turki Usmani ianya ditukar kepada nama Izmir. Kedudukannya yang terletak di pinggir Aegean, menjadikannyanya diangkat sebagai pelabuhan besar di Turki. 
Cantik 

Apabila berada di Izmir, kita terasa aura kelainannya. Dari segi infastruktur, juga dari segi budaya, kepercayaan dan lain-lain. Berbeza dengan kebanyakan bandar di Turki seperti Istanbul, Bursa dan Konya yang lebih bercirikan islamik dan konservatif, Izmir pula dilihat sebagai sebuah bandar yang paling sekular dan liberal di Turki. Kehidupan masyarakat Turki di Izmir mengamalkan hidup ala kebaratan dengan gaya pemakaian yang lebih bebas. Ramai warganya yang bernama Mehmet, Fatimah atau Osman tetapi berfahaman ateis. Di sini ramai kelihatan, wanita muda yang merokok, walaupun bertudung. Semasa berada di Cappadocia, tak nampak sangat...
Dulang lama....

Jumpa di cerita akan datang....Bye

Bajet:
Aparment Hotel Alsancak : 1196 TL /3= 399 TL
Tiket train dari airport ke Alsancak= 25 TL


Summer di Japan: Naik Bas Dari Narita Airport keKawaguchico (Part 3)

 26 Mei 2024 (Ahad) Salam. Hi semua... Selepas mereput semalaman di Narita Airport, hari ni kami akan bergerak ke destinasi pertama kami iai...