1 Jun 2023
Salam dan Hi......
Jumpa lagi. Hari ni adalah hari terakhir kami di Agra, sebelum balik ke Malaysia esok. Makanya hari ni kami dijadualkan melawat Taj Mahal iaitu salah satu Tapak Warisan Dunia yang mendapat jolokan permata seni bina islam. Taj Mahal merupakan sebuah makam yang dibina oleh Maharaja Shah Jahan sebagai tanda cinta kepada isterinya, Mumtaz Mahal. Ia dibina di tebing Sungai Jumna bermula pada tahun 1632 dan siap sepenuhnya pada tahun 1648. Ustaz Ahmad Lahauri, yang merupakan arkitek utama yang merekabentuk Taj Mahal, bijak mengabungkan Seni Bina Munghal dengan seni bina Parsi, Turki, India dan seni bina islam. Taj Mahal merupakan kompleks bersepadu yang merangkumi bahagian makam, dewan, taman rekreasi, masjid, menara tinjau dan lain-lain.
|
creadit: https://madainproject.com/taj_mahal_complex Peta kompleks Taj Mahal yang nampak simetri |
|
Sebelum masuk ke kompleks Taj Mahal kena scan dulu. Macam kat airport tu. Kan ini kawasan pelancongan dan Taj Mahal adalah monumen penting yang harus dijaga, maka aspek keselamatan monumen perlu diletakan ditempat pertama. |
|
Selesai melepasi tapisan keselamatan, maka kita dibawa masuk ke dalam kompleks Taj Mahal. Gambar ke-2 di sebelah atas kanan adalah Jilaukhana (Halaman hadapan). Ia merupakan sebuah halaman yang luas untuk para pengunjung berkumpul sebelum memasuki komplesk makan utama. Kompleks Taj Mahal dibina di kawasan empat segi tepat yang membahagiakan antara utara-selatan dan timur- barat. Pintu masuk utama terletak di gerbang utara manakala pintu keluar terletak di gerbang sebelah timur, barat dan selatan. Pintu selatan pula menghala ke suku Taj Ganji. |
|
Salah satu bangunan yang ada di halaman depan |
|
Ambil gambar dulu di sini sebelum masuk |
Shah Jahan atau nama sebenarnya Shahab Uddin Muhammad Shah Jahan 1 (Putera Khurram) lahir pada tahun 1592 di Lahore, Pakistan. Merupakan anak ke-3 Putera Salim (Maharaja Jahangir). Sangat disayangi nendanya, Akbar sehingga ia dibesarkan di Istana Akbar oleh nendanya. Hanya selepas nendanya mangkat pada tahun 1605, barulah Shah Jahan kembali kepada jagaan ibunya. 2 tahun selepas kemangkatan Akbar, Shah Jahan ditunangkan dengan Banu Begun (Mumtaz Mahal) tapi terpaksa ditangguhkan untuk memberi laluan kepada perkahwinan Shah Jahan yang diatur oleh Jahangir demi untuk mengukuhkan kedudukannya. Isteri Pertama Shah Jahan yang dikahwininya pada tahun 1610 ialah Qandahari Mahal dan Akbarahadi Mahal yang dikahwini pada tahun 1617. Walau perkahwinan ini diatur oleh keluarga dan bukan atas dasar cinta namun tetap membuahkan cahaya mata. Namun cinta Shah Jahan terhadap Mumtaz tidak pernah padam. Selepas ayahandanya mangkat, Shah Jahan menaiki takhta kerajaan Monghul pada tahun 1627.
|
Pintu Gerbang utama |
|
Cantik pintu gerbang nya |
|
Bangunan Taj Mahal yang cantik berada di depan mata |
Bagaimana pada mulanya Shah Jahan dan Mumtaz bertemu?? Pada tahun 1607, Shah Jahan telah keluar berjalan-jalan di Bazar Meena. Di sana, baginda terlihat seorang gadis manis menjual sutera dan manik. Shah Jahan jatuh hati pandang pertama melihat gadis tersebut lalu mencari tahu siapakah gadis itu? Cari punya cari, akhirnya maklumat berkaitan si gadis sudah diketahui. Si Gadis bernama Arjumand Banu Begum, anak kepada Abu'l- Hasan Asaf Khan, keluarga bangsawan dari Parsi dan Pegawai Kerajaan Munghal. Tidak menyia-nyiakan waktu, Shah Jahan menjalankan misi pertamanya memikat si gadis dengan bertemu keluarganya dan menghantar berbagai hadiah mahal seperti perhiasan dan pakaian mewah. Ketika mereka bertemu, Mumtaz Mahal baru saja berumur 14 tahun dan Shah Jahan pula berumur 15 tahun. Kalo ikut situasi sekarang depa ni masih lagi sekolah menengah. Dipendekkan cerita, akhirnya Shah Jahan selamat diijab kabulkan dengan Mumtaz Mahal ketika si gadis berumur 19 tahun. Itu la sebabnya Shah Jahan sangat menyayangi Mumtaz kerana dia lah cinta hati yang sebenarnya, manakala 2 orang ister yang lain adalah perkahwinan yang diatur oleh keluarga atas dasar politik.
|
Bersama teman, KH. Ada pula jurufoto yang ambilkan gambar kami. Ya tau gambar tu nanti dijual kepada kita jika berminat. Tapi tak apa la. Mungkin gambar yang dia ambil lagi cantik dari yang kita ambil guna phone...hehheh |
|
ambil gambar ramai2 dulu... |
|
Sebelum masuk, Hamed cerita tentang sejarah Taj Mahal kepada kami|
Dah selesai cerita tentang sejarah Taj Mahal, Hamed ajak kami masuk. Tak boleh lambat kata si Hamed, nanti panas. Dan sebelum masuk ke bangunan Taj Mahal yang berwarna putih ni, kita wajib memakai plastik pada kasut kita, untuk menjaga kebersihan di dalam bangunan Taj Mahal |
|
|
Nota tentang Taj Mahal |
Menurut sejarah, pada tahun 1631, Shah Jehan yang pada ketika itu merupakan Maharaja Dinasti Munghal, sedang berada di medan perang dalam misi memperluaskan tanah jajahannya. Dalam masa yang sama isteri tercintanya iaitu Mumtaz Mahal sedang sarat mengandung dan sudah sampai masanya untuk melahirkan anak ke-14 mereka. Namun berita gembira menyambut orang baru dalam keluarga mereka tidak seiring seperti mana yang diharapkan, Berita duka melenyapkan segala kegembiraan itu, bila mana Mumtaz Mahal meninggal dunia ketika melahirkan anaknya yang diberi nama Begum Gauhara. Shah Jehan begitu sedih dengan pemergian isterinya sehingga dikatakan dalam beberapa bulan sahaja rambut dan jambangnya berubah menjadi putih dan beruban. Macamana tak sedih, dah la cinta pertama, Mumtaz juga selama menjadi isterinya menjalankan peranan sebagai penasihat dan pendengar setia setiap permasalahan yang dihadapi oleh Shah Jahan.
|
Lagi gambaq tuan tanah....😜 |
Setahun selepas kemangkatan Mumtaz Mahal, Shah Jahan memutuskan untuk membina istana megah yang diberi nama Taj Mahal, khusus untuk memperingati isteri tercintanya. Di sini la makam Mumtaz Mahal ditempatkan. Bangunan Taj Mahal dibina daripada marmar putih bertakhtakan batu berharga seprti jed, kristal, lazuli, amethyst dan turquoise dengan menggunakan teknik pietra dura. Taj Mahal mempunyai kubah di tengahnya berketinggian 240 kaki dan dikelilingi oleh 4 kubah yang lebih kecil. Manakala ruang dalam Taj Mahal pula berbentuk oktagon. Ruang dalamnya sebenarnya tidak begitu luas. Di tengahnya terdapat 2 buah cenotaph atau makam palsu yang dihiasi dengan ukiran dan batu separa berharga. Ianya hanya makam kosong untuk tatapan pengunjung sahaja. Makam Mumtaz dan Shah Jahan yang sebenar berada di sebuah bilik berkunci di tingkat bawah bangunan Taj Mahal. Bangunan Taj Mahal dipenuhi dengan tulisan kaligrafi, sebahagian besarnya berisi ayat suci Al-Quran yang diukir di atas batu marmar. Sebahagian besar bangunan Taj Mahal terbuat dari marmar putih berkilau, yang mana warnanya akan mengalami perubahan menikut cahaya matahari atau cahaya bulan. Seiring berjalannya waktu, Taj Mahal mengalami perubahan warna. Jika pada awalnya berwarna putih, perlahan-lahan berubah menjadi kekuningan, coklat dan hijau. Ini terjadi akibat kotoran dari serangga yang berasal dari aliran sungai Yamuna. Sisa tumbuhan atau kotoran yang mengalir di sungai Yamuna menarik perhatian serangga lalu membuang kotoran di atas angunan Taj Mahal. Selain itu perubahan warna ini juga adalah disebabkan dari kotoran lumpur. Pelbagai usaha dijalankan bagi menangani situasi ini agar tidak berlaku semakin parah, antaranya ialah pelancong diminta untuk memakai plastik untuk disarung pada kasut apabila masuk ke sini.
|
creadit photo: https://phinemo.com/taj-mahal-india-berusia-365-tahun/
|
Taj Mahal juga terkenal sebagai bangunan paling simetri di dunia. Ini kerana bangunan ini mempunyai 4 menara yang mempunyai ketinggian dan bentuk yang sama di setiap sudutnya. Namun jangan terpedaya, haa.....? kenapa tu? Apabila masuk ke sini kita sebenarnya bermain dengan ilusi optik. Contohnya bila kita masuk ke gerbang utama yang membingkaikan Taj Mahal, kita seolah-olah melihat bangunan Taj Mahal begitu besar dan sangat dekat, namun semakin kita dekati ia semakin menjadi natural, tidak seperti yang kita jangkakan. Di bahagian menara pula apabila dilihat dari jauh, ia seolah-olah dibina lurus dan tegak, namun sebenarnya ia sengaja dibina secara condong sedikit mengarah ke luar. Tujuannya adalah untuk keselamatan bangunan utama, sekiranya berlaku runtuhan akibat gempa bumi, tiang menara sudah pasti tidak akan tumbang ke bahagian dalam sehingga mengenai bangunan utama. terdapat kolam di halaman Taj Mahal yang boleh mematulkan refleksi bangunan utama. Terdapat juga taman yang terbahagi kepada 4 bahagian bersama dengan 2 buah bangunan yang diperbuat daripada bata merah. Salah satu bangunan tersebut adalah masjid dan satu lagi adalah guesthouse. Kedudukannya yang simetri memberi impak harmoni.
|
Ruang belakang Taj Mahal. Di belakang pagar tu mengalirnya sungai Yamura. Bangunan merah kat belakang sana pula, ialah bangunan masjid. |
|
Masjid |
|
Bangunan merah sebelah Taj Mahal tu ialah Rumah Tetamu. Reka bentuknya agak sama dengan reka bentuk masjid |
|
Sungai Yamura |
|
KIta dah nak keluar dari bangunan Taj Mahal |
Terdapat beberapa cerita yang mengatakan Shah Jahan berhasrat membina satu lagi makam besar di seberang Sungai Yamuna yang diberi nama Black Taj Mahal, yang mana bakal menempatkan makannya kelak apabila baginda mangkat. Apabila siap kedua bangunan itu nanti akan disambungkan dengan sebuah jambatan. Namun impian itu tidak terlaksana apabila Shah Jahan digulingkan sendiri oleh anak ke-3 nya iaitu Aurangzed pada tahun 1658. Shah Jahan menghabiskan sisa hidupnya di Menara Red Ford di Agra dan mangkat pada tahun 1666. Baginda dikebumikan bersebelahan dengan makam Mumtaz Mahal. Maka dengan itu berakhirlah lawatan kami di sini....
|
Ramai tentera untuk menjaga keselamatan |
|
Selesai lawatan ke Taj Mahal, perut pun dah lapar, maka Hamed bawa kami bersarapan di tempat biasa. SElepas sarapan kami di bawa alik ke hotel untuk berehat, sebelum menyambung semula lawatan pada jam 2 petang. |
AGRA FORT
Kubu Agra (Qila Agra) merupakan sebuah kubu bersejarah yang terletak di Agra. Ia berfungsi sebagai kediaman rasmi dinasti Munghal sehingga pada tahun 1638. Kubu ini juga dikenali sebagai Red Fort Of Agra kerana bangunannya yang diperbuat daripada batuan pasir merah. Agra Fort merupakan bangunan rasmi semasa pemerintahan Raja Akhbar. Apabila masuk ke dalam, kita boleh melihat Istana Jahangir yang menjadi tempat tinggal wanita kerajaan pada zaman tersebut. Apabila Aurangzeb berjaya mengulingkan Ayahandanya, Shah Jahan, Aurangzeb memenjarakan ayahandanya di dalam Agra Fort pada tahun 1658. Dari menara Agra Fort Shah Jahan sering melihat ke bangunan Taj Mahal, dimana isterinya Mumtaz di makamkan. Kami hanya mengambil gambar di luar sahaja kerana Agra Fort ditutup untuk kunjungan awam pada ketika itu.
|
Selesai ke Agra Fort, sebahagian dari kami balik ke hotel, aku KH, Z dan anaknya keluar makan panipuri. Z teringin nak makan panipuri sejak di Kashmir lagi. Hamed bawa kami naik bas. Yang jual panipuri ni pun agak bersih juga. Ramai yang membeli di sini. |
|
Ini pertama kali aku makan panipuri. Rupanya roti nya tu kosong di dalam. dia pecahkan ruang tengah lalu masukkan kentang atau kacang. Lepa tu dia bagi sos yang kita nak. Sos dia bukan macam sambal kicap ke apa tapi macam yogurt dan lain-lain. Aku makan panipuri dengan inti kacang je tanpa sos, sebab tak masuk tekak. |
|
ini pula malamnya dinner di restorant local. |
Bersambung....
Rujukan:
https://www.britannica.com/topic/Taj-Mahal
https://ms.wikipedia.org/wiki/Taj_Mahal
https://madainproject.com/taj_mahal_complex
https://thepatriots.asia/kisah-hidup-shah-jahan-sebelum-sejarah-taj-mahal/
No comments:
Post a Comment