SAJAK UNTUK MH370
Ketika medan bergerak
di Kajang dan Balingian
ketika Future Music Festival Asia
disoraki muda mudi
ketika separuh negara dunia
menjejak MH370
kau pula dihujani persoalan
misteri tidak berpeta
Sekali ini
Selepas sembilan hari
pandang mataku tak lagi hiraukan
rangkai panjang soalan dan jawapan
tapi mengira garis halus pada
dahi dan kening kalian yang barangkali
letih, saban hari
kaki kalian menjadi tiang seri merungkai
teka-teki
seolah-olah kalian diperhambakan
meraba keghaiban, hingga kadang maklumat
tak konsisten kerana pengaruh desakan
wartawan, bagai memaksa kalian terjun
ke terowong masa tidak bertepi
Ketika aku berpaling ke Kajang dan Balingian
tak kira bagaimana menegakkan demokrasi berparlimen
usah kita jadikan ia makmal menguji kebebasan bersuara
hingga kemakmuran negara tergadai kerana pertelingkahan
Ketika mengamati gegak gempita
Future Music Festival Asia
kita sebenarnya seperti kembali ke zaman
jahilliyah, membuka aurat berkinja-kinja
tak lagi tahu untung nyawanya membunuh diri
kerana adab dan kesopanan sudah semakin
murah untuk dijaja
semata kononnya
negara kita makmur menunjangi
Wawasan 2020
lalu berpakaian separuh telanjang atau
membunuh diri adalah penanda aras kemajuan?
Ayuhai!
Malaysiaku!
Setelah 56 tahun kemerdekaan ini dikecapi
atas semangat kepahlawanan nenek moyang
yang tak dipaksakan berjuang menumpahkan
darah
tak tersemai sejarah dibenak
cucu cicit
hingga semangat patriotisme
hanya kulit kikisan binatang ternak
hingga kerana limpah ruah kekayaan
kita menjadi lupa
lalu membiarkan kemungkaran berleluasa
Kepada abang
abang kami yang duduk di Parlimen dan Negeri
atas mandat rakyat
berteguhlah kamu untuk membina negara
atas prinsip Rukun Negara
usah biarkan perbezaan politik
menjadikan kalian tak indah
rentak perpecahan hingga kita tak indah
jika kerosakan bermaharajalela di
tanah warisan yang bertuah ini
Jika hari ini kita membiarkan
sentimen berpuak menduri daging
kelak
akan datang masanya semuanya
terlepas dari tangan kita untuk penjajah
semula di tanah air sendiri
Nah!
Kembali kita pada podium MH370
aku dari Negeri di Bawah Bayu ini
mendoakan abang
mudah-mudahan Tuhan menunjuk jalan
pencarian Boeing 777-200 milik kita
agar tenang hati kita memacu kemakmuran
jangan ada petualang yang menangguk di air keruh
sama-sama kita mempertahankan kedulatan negara
Ini sajak untuk pemimpin
selama mana abang
abang berdiri dipentas sidang dunia ini
menjejaki suatu keajaiban
jagalah kesihatan baik-baik
Salam dan doaku
Kota Kinabalu
*Di petik dari FB: Saudara Yatim Ahmad