Friday, June 11, 2021

New Zealand: Jom Balik Kampong Vol.2/2016 (Part 16) Moeraki Boulders

Dari Moeraki Boulders ke Omaru Top 10 Holiday Park
2 Dec 2016 (Jumaat)
Hari ke-5 
Perjalanan diteruskan menuju ke Pantai Koekohe, dimana terletaknya Moeraki Boulders yang berjarak kira-kira 103 km, dengan pemanduan berhemah selama lebih kurang 1 jam 34 minit. Moeraki Boulders adalah salah satu daripada keunikan yang wujud secara semula jadi. Ia merupakan bongkah batu besar yang membentuk seperti spera, terdapar di sepanjng pantai. Batuan tersebut adalah konkrit septarian yang berwarna kelabu. “Konkrit Septarian” adalah batuan sedimen (keladak) yang memiliki rongga di dalamnya. Pembentukan setiap batu ini terhasil dengan kandungan organik seperti daun, cengkerang, tulang ikan, atau peninggalan tumbuhan atau haiwan lain. Zarah dan mineral sedimen, seperti kalsit, terkumpul di sekitar bahan organik dalam lapisan sepusat (lapisan demi lapisan). Prosesnya sama seperti pembentukan Mutiara secara semula jadi membentuk zarah asing di dalam tiram. Dalam proses kimia yang kompleks, mineral-mineral tersebut akan bertindak menyatukan semua zarah. Prosesnya memakan masa sehingga berjuta tahun sebelum mencapai bentuk batu yang kita lihat pada hari ini.
Menurut kajian, Batu Moeraki pada asalnya berada di tebing pantai. Seiring beredarnya waktu, berlaku hakisan pada tebing pantai yang mana akhirnya menyebabkan batuan ini terjatuh dan akhirnya terdampar dan berserakan di pantai. Selepas beberapa lama batuan ini terbentuk, akan sampai masanya berlaku keretakan yang dipanggil sebagai septaria. Retakan ini akan berlaku dilapisan luar terlebih dahulu sebelum merebak ke bahagian dalam batuan. Tidak ada alasan konkrit kenapa berlakunya retakan batuan ini. Namun ada beberapa teori yang diketengahkan oleh saintis. Antaranya berkemungkinan berlakunya pengeringan pada struktur dalaman menyebabkan ianya mengecut dan kemudian pecah. Selain itu mungkin keretakan berlaku akibat gempa bumi atau tekanan yang menyebabkan struktur batuan ini pecah.
Kuat betul angin, sampai senget tudung kakak 😁
Dikatakan batuan ini datang dari tebing tinggi di belakang sana. Akibat berlakunya hakisan lama-lama batu ni terjatuh ke pantai....
Dulu batu ni banyak, tapi dah semakin berkurangan akibat hakisan
Kat sini kami jumpa balik Geng Kak Zaleha 😊Sebenarnya tahun sebelumnya kami dah pernah menjejakkan kaki ke sini, tapi memandangkan kali ni S ada bersama, kami singgah balik. Lagipun tempat ni dalam perjalanan ke Holiday Park seterusnya. Ini adalah destinasi terakhir kami untuk hari ni, jadi kalo lambat sikit bergerak balik pun tak pe. Aku ingat dalam 30 minit pun dah cukup untuk lawatan ke sini..
Batu yang sudah menampakkan rekahan. Lama-lama nanti batu ni akan pecah
Batu yang telah pecah

Omaru Holiday Park

Akhirnya kami sampai di Omaru Top 10 Holiday Park. Perjalanan kami mengambil masa kira-kira 30 minit sahaja. Tahun sebelumnya semasa join trip kekawan kami menginap di sini juga, sebab di sini ada disediakan campsite untuk motorhome. Lepas check in, solat dan berehat sekejap, kami keluar balik nak beli barang. Tempat ni tak ada dapur untuk memasak, yang ada cuma microwave. Pendapat jujur aku berkenaan penginapan ni, aku bagi 8/10......kawasannya tenang tak bising sangat, bilik pun ok selesa.... 
Ada tempat permainan kanak-kanak
Bilik KH & S
Bilik aku & Z
Credit Photo: https://top10.co.nz/park/oamaru-top-10-holiday-park
Credit Photo: https://top10.co.nz/park/oamaru-top-10-holiday-park
Credit Photo: https://top10.co.nz/park/oamaru-top-10-holiday-park
Credit Photo: https://top10.co.nz/park/oamaru-top-10-holiday-park

sumber:
http://www.actforlibraries.org/the-history-of-the-moeraki-boulders/
https://en.wikipedia.org/wiki/Moeraki_Boulders
https://www.historicmysteries.com/moeraki-boulders-new-zealand/
https://top10.co.nz/park/oamaru-top-10-holiday-park

Thursday, June 10, 2021

New Zealand: Jom Balik Kampong Vol.2/2016 (Part 15) Royal Albatross- Harington Point

Royal Albatross

2 Dis 2016
Hari ke-5
Selepas berehat sebentar menghilangkan penat mendaki tadi kami meneruskan perjalanan ke Royal Albatross Center yang berjarak lebih kurang 35 km dari Tunnel Beach, kira-kira 45 minit pemanduan menyusur jalan di tepi laut. Agak menyenangkan apabila melihat laut dengan deruan angin yang menyapa wajah kami disepanjang perjalanan. Sengaja kami membuka tingkap kereta untuk merasai angin yang datang dari laut. Tidak banyak kereta melalui kawasan ini, mungkin tidak berminat untuk melihat burung. Kelihatan beberapa penempatan di atas bukit yang cantik dan comel.
Kelihatan Rumah Api di hujung tanjung. 
Jambatan kayu dibina untuk melihat spesis burung atau kalo bernasib baik boleh tengok penguin pulang dari laut. 

Pulau Titeramoa yang boleh dijejaki ketika air surut dengan hanya berjalan kaki 

Bersesuaian dengan kedudukannya yang berada di hujung tanjung, maka kawasan ini menjadi tarikan bagi pelbagai jenis hidupan liar terutamanya burung yang berhijrah akan singgah ke sini sebelum meneruskan penghijrahan mereka. Antara spesis burung yang sering berkunjung ke sini ialah penguin kecil dan penguin bermata kuning. Selain daripada itu, sesuatu yang menarik bagi kawasan ini ialah ia merupakan tempat pembiakan bagi kumpulan burung Albatross.
Royal Albatross Center menyediakan lawatan untuk melihat hidupan di Taiaroa Head di mana kita boleh mengunjungi satu-satunya tempat pembiakan burung Albatross, melihat kumpulan penguin kecil di Pilot Beach. Dalam lawatan 1 jam 30 minit ini kita akan diberikan taklimat mengenai burung Albatross, melihat tontonan video mengenai kitaran pembiakan burung Albatross dan kemudian dibawa berjalan kaki mendaki bukit untuk ke balai cerap melihat sarang burung Albatross. Dalam lawatan ini juga kita akan dibawa berjalan melalui terowong bawah tanah untuk melihat Armstrong Disappearing Gun yang telah dibaikpulih sepenuhnya dan mengetahui tentang sejarah menarik Ketua Taiaroa. Harus diingat untuk melihat ini semua, kita wajib mengikut tour yang disediakan oleh pihak Jabatan pemuliharaan kerana tidak ada akses awam untuk menuju ke kawasan pembiakan burung Albatross. Untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan harga, boleh lah berkunjung ke website ini. Masa yang sesuai untuk melihat kumpulan burung Alnatross adalah dari pertengahan bulan september hingga pertengahan November.
Kami hanya berjalan-jalan di sekitar kawasan Taiaroa Head. Ada jambatan kayu di bina di tebing tinggi bagi memudahkan pengunjung melihat burung dan hidupan laut dari jambatan ini. 
Taiaroa Head adalah satu-satunya daratan yang menjadi tempat pembiakan bagi burung Albatross di NZ. Setiap 2 tahun sekali Albatross akan datang ke daratan dalam kumpulan yang besar untuk membiak. Albatross hanya menghasilkan sebiji telur untuk setiap kitaran pembiakan dan dalam tempoh tersebut ia akan duduk di atas telur tersebut selama 79 hari sebelum ia menetas. Albatross adalah spesies burung terbesar di dunia, dan Northern Royal Albatross adalah yang ketiga terbesar dari baka ini. Beratnya mencapai 9kg. Lebar sayapnya besar mencapai sehingga hingga tiga meter.

Harington Point

Dalam perjalanan pulang kami singgah ke Harington Point, 4 minit perjalanan saja untuk sampai ke sini. Harington Point berada dikedudukan di antara Taiaroa Head dan Pantai Te Rauone yang terkenal aktiviti hakisan pantai. Dengan kata lain Harington Point terletak di Pelabuhan Otago. Pelabuhan Otago adalah pelabuhan semula jadi di Dunedin. Ia berada di perairan yang panjang seakan-akan teluk berliku yang memisahkan antara semenanjung Otago dari daratan. Teluk di Pelabuhan Otago terbentuk hasil dari letusan Gunung berapi besar yang telah mati, yang berpusat di Port Chalmers. Kesan letusan tersebut masih dapat dilihat di Kawasan bukit dan sekitarnya. Fasa terakhir letusan gunung berapi tersebut berlaku kira-kira 10 juta tahun dahulu yang akhirnya membentuk Gunung Cargill. Terdapat 2 pulau di sekitar Pelabuhan ini iaitu Pulau Rakiriri dan pulau Karantina, selain dari pulau-pulau kecil yang melatari lanskap teluk ini.
Walaupun kawasan di sekitar Harington Point bersaiz kecil, namun terdapat tempat penginapan di sini, bermula dari homestay hingga lah kepada unit motel yang serba lengkap. Menginap di kawasan ini membolehkan kita melihat kumpulan penguin yang kembali ke sarang pada waktu senja setelah seharian mencari makanan di lautan. Selain dari itu, kita juga berpeluang untuk berjalan-jalan disekitar bukit yang ada di belakang Harington Point. Di bukit tersebut terdapat beberapa senjata yang ditinggalkan semasa Perang Dunia II, terowong komunikasi bawah tanah dan kubu tentera.
Bersambung...

Sumber:

https://en.wikipedia.org/wiki/Otago_Harbour
https://en.wikipedia.org/wiki/Harington_Point

Summer di Japan: Naik Bas Dari Narita Airport keKawaguchico (Part 3)

 26 Mei 2024 (Ahad) Salam. Hi semua... Selepas mereput semalaman di Narita Airport, hari ni kami akan bergerak ke destinasi pertama kami iai...