21 Dec 2022 (Rabu)
Hari baru, lokasi baru. Macam biasa bangun awal bersiap dan bersarapan pagi di level 3. Biasanya kami bukan lah orang terawal yang datang ke cafe, tetapi menjadi orang ke-2 atau ke-3. Yang mengungguli carta pertama datang awal ke cafe ialah seorang wanita veteran yang selalu megambil salad sebagai menu utama dalam sarapan paginya. Walaupun kelihatan agak senior tetapi beliau masih kelihatan kuat dan cergas. Selesai bersarapan, kami meneruskan perjalanan menuju ke Istana Topkapi. Nak ke sini kena awal, takut terlalu ramai orang terutamanya di Hagia sophia.
|
Awal pagi di Hagia Sophia... |
|
Kami meneruskan perjalanan ke Istana Topkapi |
Kalo tengok map, dari Marmara Deluxe Hotel ke Istana Topkapi ni dekat je. Boleh dicapai dengan berjalan kaki sahaja. 13 minit boleh sampai dah. Tapi kami tak bercadang untuk berjalan kaki, malaskan 😀? Bukan apa, 13 minit jalan kaki tu, kalo ikut langkah kaki Mat Salleh, kalo kita mungkin boleh capai 30 minit. Jalannya juga sudah pasti sedikit mendaki, tau la bentuk muka bumi Istanbul kan berbukit, jadi kena la simpan tenaga dan kesihatan kaki kita. Cewahh....ayat cover line 😄Jadi kami memilih naik tram. Dari hotel kami berjalan kaki menuju ke stesen Tram Serkici. Tambang menuju ke stesen Sultanahmet adalah 9.90 TL. Tiba di Sultanahmet, dah ramai orang Q di depan Hagia Sophia. Tapi kami macam silap percaturan, tak singgah dulu di Hagia Sophia. Kononnya nak pergi tempat yang jauh dulu. Jadi kami jalan terus je sambil melambai2 ke arah orang ramai yang tengah Q di laman Hagia..... Ok ini tipu!😁
Serkici Station (T1: Bagcilar)--Sultanahmet
|
Masuk ikut tembok ni |
|
akan jumpa ni. Naik ikut lorong ni |
|
Harga tiket masuk ke Muzium Arkeologi Istanbul ialah 100 TL tanpa audio. |
MUZIUM ARKEOLOGI ISTANBUL
Muzium Arkeologi Istanbul merupakan antara salah satu muzium terbesar di dunia. Ia terletak berhampiran dengan Istana Topkapi. Kami pergi ke sini terlebih dahulu sebab, ingatkan kat dalam ni la Istana Topkapi, rupanya bukan. Alang-alang dah bayar tiket kami terus je masuk. Muzium ini terdiri daripada tiga bangunan berasingan iaitu muzium arkeologi yang terletak di bangunan utama, Muzium Timur Purba dan Muzium Kesenian Islam. Muzium yang menempatkan koleksi istana ini ditubuhkan pada akhir abad ke-19 oleh Osman Hamdi Bey iaitu seorang pelukis dan ahli arkelologi, atas arahan dari Sultan Abdul Hamid II. Ia direka oleh seorang arkitek iaitu Alexandre Vallaury, dengan menerapkan gaya Neoklasik. Dikatakan, terdapat lebih satu juta objek yang mewakili hampir semua era tamadun islam dalam sejarah dunia. Sesuai sangat bagi guru sejarah berkunjung ke sini, tentunya mereka lebih faham perjalanan hidup sesuatu era kerana sentiasa menelaah buku sejarah dunia.
|
Bangunan utama |
|
Laman |
|
Laman |
|
Jumpa bangunan ni. Cantik. Ambil gambar dulu |
Pengumpulan artifak sejarah pada zaman Uthmaniyyah sudah bermula sejak zaman pemerintahan Mehmet The Conqueror lagi. Pembinaan Muzium Arkeologi Istanbul ada kaitannya dengan Gereja Hagia Irene. Menjelang tahun 1726 iaitu ketika pemerintahan Sultan Ahmed III, Hagia Irene bertukar fungsi dari gereja kepada gudang penyimpanan senjata. Namun pada abad ke-19, Hagia Irene digunakan untuk menyimpan pelbagai artifak yang dikumpulkan sepanjang era pemerintahan Empayar Uthmaniyyah. Bertepatan dengan penubuhan Muzium Arkeologi Istanbul pada tahun 1869 sebagai Müze-i Hümayun (Muzium Imperial), maka semua bahan arkeologi yang dikumpul di Gereja Hagia Irene di pindah ke Muzium Arkeologi Istanbul.
|
Arca Osman Hamdy Bey seorang ahli arkeologi dan pelukis. Arcanya diabadikan di Muzium Arkeologi Istanbul untuk menghargai sumbangan besarnya dalam pengumpulan bahan arkeologi di Muzium ini |
Di tingkat bawah bangunan utama menempatkan arca purba dari era Archaic hingga ke zaman Rom. Istilah "Archaic" bermaksud peralihan seni zaman Yunani (abad ke 9-8 SM) dan zaman Klasik (abad ke 5-4 SM). Era Archaic meliputi abad ke 9-4 SM. Perang Parsi yang berakhir pada tahun 479 SM menjadi penanda aras kepada peralihan zaman klasik seterusnya. Ok kita terus sambung cerita....di tingkat bawah ni kita akan melihat Sarcophagus raja-raja terdahulu. Sarcophagus bermaksud bekas makam yang diperbuat daripada batu yang diletakkan di atas tanah. Mungkin kita boleh kata keranda la. Kalo sekarang keranda yang kita lihat diperbuat daripada kayu, tapi yang ini materialnya menggunakan batu. Istilah "Sarcophagus" berasal dari bahasa Yunani yang bermaksud: "sarx" -"daging" dan φαγεῖν "fagein" - "makan" (Batu pemakan daging). Ia merujuk kepada jenis batu kapur yang digunakan sebagai makam, boleh mempercepatkan proses penguraian daging mayat yang disimpan di dalamnya kerana sifat kimia yang terdapat pada batu kapur itu sendiri.
|
Sarkofagus atau bekas makam. |
|
Mural di dinding Muzium. Menceritakan tentang kehidupan pada zaman dahulu |
Antara khazanah yang terdapat di Muzium Arkeologi Istanbul ialah penemuan yang dibawa balik dari Lubnan oleh Osman hamdi Bey (Ahli Arkeologi). Ia merupakan harta karun yang di temui di Sidon (Selatan Lubnan) yang terdapat di dalam Sarcophagus kerajaan purba di Sidon. Selain itu, di sini juga kita boleh melihat Alexander Sarcophagus yang mana di dinding makamnyaa terdapat ukiran yang mengambarkan tentang tentera Mecadonia memerangi tentera Parsi. Begitu juga dengan Sarcophagus of the Leprosy, dengan ukiran di dinding makam yang mengambarkan 18 orang wanita yang sedang berkabung. Ini antara ukiran di dinding makam yang sangat halus, teliti dan mengambarkan kekayaan pemiliknya pada abad ke-4 SM.
|
koleksi mata wang |
Naik ke Tingkat 1 bangunan utama ini, terdapat koleksi perbendaharaan, perpustakaan dan Mata Wang Islam dan Bukan Islam. Pada tahun 1998, di bina satu ruangan baru yang menempatkan koleksi budaya yang ditemui di sekitar Istanbul. Ia adalah khazanah yang datang dari era berbeza, yang telah ditemui samada di kawasan penggalian dan di kawasan pemakaman. Terdapat juga subseksyen yang dikhaskan untuk era Thrace, Brittany, dan Byzantium. Selain itu kita juga boleh melihat gambaran bandar Istanbul sepanjang zaman. Manakala di tingkat dua menempatkan khazanah zaman Anatolia dan Troy sepanjang zaman dan di tingkat tiga pula menempatkan khazanah budaya Anatolia iaitu Artifak dari Syria, Palestin dan Cyprus.
|
Set perhiasan wanita |
Muzium Timur Purba telah ditubuhkan oleh Osman Hamdi Bey pada tahun 1883. Pada asalnya ia dibina untuk dijadikan sebagai Akademik Seni Halus. Kemudiannya ia disusun semula dan ditukar fungsinya menjadi Muzium dan dibuka untuk kunjungan awam pada tahun 1935. Selepas penempatan semula akademi seni halus ke bangunan lain di Cagaloglu pada tahun 1917, mereka memperuntukkan bangunan ini untuk keperluan Muzium. Pengarah muzium ketika itu ialah Halil Edhem Bey, berpendapat bahawa, lebih sesuai untuk mempamerkan karya budaya kuno negara-negara timur secara berasingan daripada karya Yunani, Rom dan Byzantine. Maka mereka sepakat untuk menjadikan bangunan itu sebagai Muzium Timur Purba. Terdapat koleksi khazanah berkaitan dari zaman Gangsa Awal, Zaman Jajahan Assyria, Hittite, Neo-Het, Urartian, Aramean, Mesopotamia, Mesir, Syria, Iran, Palestin dan Arab Purba. Koleksi khazanah Mesir terdiri dari 1200 item yang mana semua jenis adalah artifak Seni Mesir. Kebanyakannya hasil temuan dari penggalian Dra Abu al Nagar berhampiran Karnak yang digali oleh Gautier pada tahun 1891. Manakala yang lainnya adalah pemberian dari Hıdiv Mesir dan pegawai Uthmaniyyah.
Bangunan ketiga di kompleks muzium Arkeologi Istanbul pula ialah Muzium kesenian Islam atau dikenali sebagai Cinili Kösk dalam bahasa Turki. Ia merupakan salah satu bangunan Uthmaniyyah yang tertua di Istanbul. Bangunan yang dibina pada 1472, jelas mengambarkan pengaruh Parsi yang tipikal dalam senibinanya. Rekabentuk bangunannya mempunyai tiang poligon, pintu masuknya dihiasi dengan jubin mozek, mempunyai arked marmar bertiang 14. di dalamnya memparkan contoh jubin dan seramik Turki dari zaman Selcuk dan Uthmaniyyah.
Bersambung....
💝NT
Rujukan:
https://muze.gen.tr/muze-detay/arkeoloji
https://en.wikipedia.org/wiki/Istanbul_Archaeology_Museums