Thursday, September 7, 2023

Bercuti Ke Turki: Istana Topkapi- Harem II (Part 17)

21 Dec 2022

Salam dan Hi semua

Apartments of the Sultan's Favorites/Mabeyn Courtyard

Perghh...lamanya nak menamatkan cerita kat Topkapi ni. Bukan apa dah ketandusan idea dah nak menggoreng ni. Ok la kali ni untuk mengelakkan part ni tersekat sampai di sini, jom la kiter cerita dengan santai melalui gambar aje. Part sebelum ni kiter berakhir di Imperial Hall kan, jadi lepas dari situ kami meneruskan perjalanan menuju ke Apartment of The Sultan Favorites. 

Ini la dia bangunannya. Kenapa menjadi kegemaran sultan? Sebab bangunan ini menempatkan bilik2 para gundik Sultan. Ia terletak di bahagian hadapan kediaman isteri rasmi Sultan, tepatnya paling hampir dengan ruangan Bilik Persalinan Sultan. Bangunan ini mempunyai halaman terbuka dan menghadap ke Selat Bosphorus. Korang rasa kenapa menghadap ke laut? Pastinya kerana soal ketenangan. Bila rasa gundah gulana, hati tak tenang boleh la tenangkan diri dengan memandang jauh ke lautan. kan......

Bilik para gundik Sultan dari pandangan hadapan. Pada pendapat korang kenapa sultan nak kena ada gundik?? Tak ada isteri ke? Ada....Sultan Uthmaniyah mempunyai beberapa orang isteri yang sah, yang biasanya terdiri daripada puteri raja dari negara asing. Perkahwinan itu pastinya adalah bertujuan untuk mengukuhkan dan mengeratkan silaturahim antara negara-negara tersebut. Jarang adanya gundik yang dikahwini secara rasmi kerana mengikut amalannya, gundik yang sudah melahirkan waris sultan tidak akan lagi bersama dengan sultan. 

Ruangan kediaman sultan. Namun dalam ramai-ramai Sultan Uthmaniyah, Sultan Sulaiman I adalah Sultan yang memecah tradisi mengahwini gundiknya iaitu Roxelana. Pada tahun 1521 Roxelana melahirkan waris sultan yang diberi nama Mehmet. Sepatutnya Sultan dah tak boleh bersama dengan Roxelana lagi kan? Tapinya dalam tempoh 1522-1531, Roxelana telah melahirkan 6 orang waris sultan lagi selepas itu dan salah seorang daripadanya adalah penerus kepada takhta kerajaan iaitu Salim II. Pada tahun 1533, Sultan Sulaiman mengambil keputusan untuk memerdekakan Roxelana dan mengahwininya selepas tu. Kalo ikut aturan bukan ke sepatutnya yang menjadi Sultan seterusnya adalah anak kepada isteri sultan yang sah? Sebab sultan masih ada anak lelaki daripada isteri yang sah bernama Mustafa. Tapi kepada Salim II diangkat menjadi pewaris takhta pula?? Tak adil la macam ni.... Haa ini ada kaitannya dengan sifat iri hati dan nak kan kuasa. Biasa la kan mata jadi kelabu bila nampak harta kekayaan. Makanya, Roxelana telah menabur fitnah mengatakan bahawa Mustafa telah menderhaka maka Sultan telah memberi hkuman bunuh kepada Mustafa. 
Cantiknya tingkap ni. Ok sambung cerita....ingat tak orang tua2 dulu suku buat pribahasa, "jangan tamak, orang tamak biasanya rugi". Ini lah yang berlaku kepada Roxelana. walaupun berusaha gila2 untuk menjadi Valide Sultan, namun cita-cita besarnya tu tak kesampaian, bilamana Roxelana meninggal dunia sebelum sempat anaknya ditabalkan menjadi Sultan Salim II. Akhirnya peranan Valide Sultan jatuh kepada kakak kepada sultan Salim iaitu Mihrimah, satu2nya anak perempuan Roxelana bersama Sultan. Kenapa pula Mihrimah diberi peranan Valide?? Sebab Sultan Salim belum kahwin, kakaknya la yang ambil peranan tersebut untu sementara waktu sehingga sultan Salim berkahwin. 

Pemandangan Kota Istanbul dari perkarangan halaman Mabeyn Courtyard. Dulu-dulu tak ada la banyak macam ni bangunan ni kan. Kelihatan Galata Tower dari kejauhan...

Yang ini adalah Masjid of Harem. Dikhaskan hanya untuk kemudahan wanita-wanita Harem beribadat. 

Dari masjid tadi kita akan lalu di lorong ni. Laluan ini dinamakan sebagai Golden Road. Ia adalah laluan pintas menuju ke kediaman Sultan di dalam Harem. Ia dinamakan sebagai Golden Road kerana terdapat perhiasan emas di dalamnya. Patut la kat dalam ni warnanya gilang gemilang. Pada hari2 tertentu, apabila Sultan melalui lorong ini, baginda akan membaling duit emas kepada penghuni dan petugas di Harem yang berdiri di sepanjang jalan. 

Perpustakaan Ahmed III

Seterusnya kami singgah ke bangunan putih tu.
Cantik bangunan ni kan tapi lupa bangunan apa, ada di sebelah bangunan perpustakaan

Kalo tak silap ini Masjid Agas.
Kalo tak silap ini adalah bangunan Perpustakaan Ahmed III. Sultan Ahmad III ni adalah putera kepada Sultan Mehmed IV. Sultan Ahmed III adalah seorang yang sangat suka membaca, mahir dalam tulisan khaligrafi dan berpengetahuan tinggi mengenai sejarah dan puisi. Jadi tak hairan la kalo ada bangunan perpustakaan yang didedikasikan atas namanya. 
Bangunan perpustakaan dari bahagian belakang
Fountain yang terletak di luar bangunan perpustakaan
Ruang dalam perpustakaan

Bangunan perpustakaan Ahmad III ini dikatakan salah satu contoh seni bina Turki yang paling cantik dari abad ke 18. Dindingnya dilapisi dengan marmar putih di semua sisi. 

Ini bukan orang sebenar ya tapi arca patung. 

Imperial Council

Bangunan Majlis Diraja adalah ruang di mana Majlis Diraja yang terdiri daripada Wazir Besar dan para menteri majlis mengadakan mesyuarat. 

Bangunan Imperial Council mula dibina pada zaman pemerintahan Mehmed II. bangunan ni pernah mengalami kebakaran pada tahun 1665. Tetapi dipulihkan semula pada tahun 1792-1819 iaitu semasa pemerintahan Sultan Salim III dan Sultan Mahmud II. Semasa proses baik pulih ini lah, arkitek memasukkan seni hias zaman Rococo pada hiasan dalaman bangunan ini. 

Pintu masuk utama ke Imperial Council
Seni Rococo dapat dilihat menguasai ruang

cantik

Tempat berbincang-bincang. Mulanya aku hairan kenapa depa suka buat pancutan air dalam bangunan. Rupanya ia ada fungsi tertentu. Pancutan air ni akan dipasang semasa   perbincangan. Tujuannya adalah supaya tak ada orang lain yang mencuri dengar isi perbicangan sulit yang berlaku di sini. Ye la bukan boleh pecaya sangat telinga kuali ni kan....langkah selamat, haa....buka la air pancutan ni. Teringat pula toilet kat Japan yang boleh pasang muzik untuk elak orang sebelah dengar bunyi kita membuang...😅

lambang kekayaan....

Imperial Treasury

Bersebelahan dengan Imperial Council adalah bangunan Imperial Treasury iaitu bangunan yang dikhaskan untuk mempamerkan koleksi senjata. Senjata yang ada di sini ukan hanya dari zaman Uthmaniyah tetapi dari zaman Nabi Muhammad pun ada....  

Tapi sebelum tengok peralatan senjata, kita p tengok dulu koleksi jam yang dihadiahkan kepada sultan Uthmaniyyah

Cantk dan Unik

Koleksi senjata
Koleksi senjata yang terdapat di sini kebanyakannya terdiri daripada senjata yang kekal di istana pada masa penukarannya. Koleksi senjata dan perisai istana yang ada di sini diperolehi dari pelbagai sumber. Samada ia dihasilkan oleh Uthmaniyyah sendiri, dikumpulkan semasa menakluki negara asing,  diberikan sebagai hadiah. Kebanyakan Senjata adalah dari zaman Uthmaniyyah tetapi ada juga dari negara luar. Contohnya pedang Umayyah dan Abbasiyah, serta perisai Mamluk dan Parsi, topi keledar, pedang dan kapak. Sebilangan kecil senjata yang ada di sini datang dari Eropah dan Asia.

Baju besi
Topi besi
peralatan senjata
pedang
Pistol zaman dulu
Pedang
Perisai



Al-quran
Alunan bacaan ayat suci Al-Quran sentiasa dilantunkan di sini. 

Gerbang Felicity

Yang ini ialah Gate Of Felicity iaitu pintu masuk menuju ke dalam kawasan Mahkamah. Kawasan ini juga dikenali sebagai halaman ke-3. Halaman Ketiga ni terdiri daripada kawasan peribadi dan kediaman istana. Ia adalah kawasan larangan, tak ada siapa yang boleh masuk tanpa kebenaran Sultan. Malah Wazir Besar juga hanya masuk ke sini pada hari2 tertentu saja, malah terpaksa pula mematuhi syarat yang ditetapkan. Ye la kawasan penting diraja, mana boleh suka2 masuk kan...

Dalam entry sebelum ni aku ada cerita tentang peranan Black Eunuch di Harem, yang mana Black Eunuch berperanan mengawal di kawasan dalam Harem. Maka di luar Harem pula adalah tugas White Eunuch. Contohnya kat Gate of Felicity ni dikawal oleh white Eunuch. . Eunuch adalah pengawal-pengawal istana yang telah dikembiri. Oleh kerana Third Chamber adalah kawasan peribadi Sultan, perbuatan menceroboh masuk ke sini menjadi satu kesalahan yang berat. 

Bersambung...

Tuesday, August 8, 2023

Bercuti ke Turki: Istana Topkapi- Harem I (Part 16)

 21 Dec 2022

Masih hari yang sama. Selepas ke Muzium Arkeologi Istanbul, kami meneruskan perjalanan ke Istana Topkapi. Tempatnya tak jauh, bersebelahan sahaja. Kawasan ni sangat luas tetapi jangan risau banyak signboard di letakkan dimana-mana. Kami memperuntukkan masa seharian untuk melawat tempat-tempat bersejarah di area Sultanahmet, iaitu lokasi paling sesuai menyelongkar sejarah Uthmaniyah. Kerajaan Ottoman atau Kesultanan Turki Utsmani, diasaskan sendiri oleh Bani Utsman. Kuasa di tangan Bani Utsman berlangsung cukup lama dan salah seorang sultan yang terkenal adalah Sultan Mehmed II atau Sultan Muhammad Al-Fatih. Terbinanya Istana Topkapi adalah atas pemeritahan Sultan Muhammad Al-Fatih. Muhammad Al-Fatih dilahirkan pada 29 Mac 1432 di Edirne, ibu kota kerajaan Uthmaniyah. Baginda merupakan sultan yang memerintah Empayar Uthmaniyah dalam masa yang singkat iaitu dari tahun 1444-1446 dan sekali lagi dilantik menjadi sultan pada tahun 1451-1481.
Penulis merakam kenangan dihadapan Bab As Salam, Gate of Salutation. 
Kaunter belian Tiket. Tiket masuk ke Istana Topkapi ialah 420 TL
Bersebelahan dengan kaunter tiket terletaknya kaunter untuk sewaan audio. Free saja
Semasa pemerintahannya, Sultan Muhammad Al-Fatih sangat mementingkan kekuatan dalaman dan luaran para tenteranya. Boleh dikatakan baginda seorang pemimpin yang hebat, warak, tawaduk, yang bijak dan terpelajar. Buktinya baginda mempunyai kepakaran dalam bidang ketenteraan, sains, matematik dan menguasai enam bahasa iaitu bahasa Turki, Yunani, Hebrew, Arab, Parsi dan Latin, ketika masih lagi berumur 21 tahun. Bagaimana baginda boleh jadi sebegini dalam usia muda? Ini kerana sejak kecil Sultan Al-Fatih dilatih hidup sederhana, dididik dengan ilmu agama dan ilmu peperangan. Beliau membesar dengan didikan agama, pemerintahan dan strategi peperangan. .

Menuju ke Harem
Ramainya orang
Pintu masuk ke Harem
Pada tahun 1451, Sultan Muhammad Al-Fatih sekali lagi dilantik menjadi sultan, ketika itu baginda baru saja berumur 19 tahun, namun sudah mempunyai keinginan yang tinggi untuk menawan Constantinople. Baginda menjadikan Adana sebagai ibu kota dan pusat pemerintahan Uthmaniyyah, kerana lokasinya yang strategik dan memudahkan cita-citanya menakluk Constatinople. Pada tahun tersebut Sultan Al-Fatih mula memberi tumpuan kepada aspek pengukuhan tentera laut Uthmaniyah dan mula membuat persediaan untuk menakluk Constantinople. Untuk tujuan tersebut Beliau perlu memastikan Selat Bosphorus yang menjadi lokasi paling strategik (tetapi bahaya) untuk membuat pemantauan, perlu ada kubu. Menurut pengamatan beliau, tidak perlu risau akan keselamatan di bahagian Asia, kerana datuknya Sultan Bayezid I telah membina kubu Anadoluhisari, tetapi di bahagian sebelah Eropah masih kosong. Maka Sultan Al-Fateh membina sebuah kubu yang lebih kukuh iaitu kubu Rumelihisarı di sebelah Eropah dan dengan itu baginda dapat kawalan sepenuhnya ke atas Selat Bosphorus. Akhirnya pada Mei 1453, Sultan Al-Fatih berjaya menakluk Constantinople, ketika beliau baru berusia 21 tahun. Kota Constantinople yang kini dikenali sebagai Istanbul, memang menjadi rebutan beberapa kerajaan lama. Pernah cuba ditakluk oleh bangsa Gothik, Parsi, Bulgaria dan Rusia, namun tidak berjaya. Menurut Hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah SAW menyatakan bahawa, “Constantinople akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera……” (https://zulkiflialbakri.com/sultan-muhammad-al-fateh/) Apa yang telah disuarakan oleh Rasulullah SAW menjadi kenyataan, selepas 800 tahun berlalu.

Tempat pertama yang akan kita temui di dalam ruangan Harem ialah kawasan kediaman bagi para pengawal istana yang dipanggil sebagai Dormitories Of The Tressed Halberdiers. Para tentera ini ditugaskan untuk kerja-kerja melibatkan istana seperti membersihkan dan menguruskan harem, menyediakan kayu api dan memindahkan takhta diraja. 
Tempat tidur para tentera terdiri dari 2 tingkat. Tingkat bawah dikhaskan bagi tentera junior manakala tingkat atas dikhaskan bagi tentera senior. Tempar ridur di tingkat atas lebih selesa kerana pada musim sejuk ia akan menjadi lebih panas kerana berdekatan dengan heating lamp yang digantung di siling. 

Salah satu ruangan yang terdapat di Dormitory
Masjid yang disediakan untuk digunakan oleh para tentera.
Pemandangan di luar masjid
salah satu kawasan yang terdapat di dalam Harem. Cantik dihiasi dengan dinding yang dilapisi jubin 
Siling di Ruangan Persalinan Hamam tidak dibiarkan kosong, ditata dengan lukisan bercorak flora yang rigkas tetapi menawan

Singki dan kepala paip di dalam ruangan Hamam
Salah satu aktiviti yang paling diminati pada zaman tersebut ialah menghisap tembakau. Gambar di atas adalah gambaran dimana Tressed Halberdiers sedang menyediakan peralatan untuk menghisap tembakau bagi Sultan dan pembesar. 
Seorang Tressed Halberdiers yang sedang bertugas di bilik Tembakau
Istana Topkapi dibina pada tahun 1459, tepat setelah Istanbul diangkat menjadi ibu kota Kerajaan Uthmaniyyah. Ia dibina bertujuan untuk dijadikan sebagai pusat pentadbiran negeri dan sekaligus menjadi kediaman rasmi Sultan Uthmaniyyah dan ia digunakan selama 400 tahun. Pemilihan lokasi pembinaannya sangat bersesuaian iaitu di kawasan tanah tinggi, berhadapan dengan selat Bosphorus, laut Marmara dan sebuah Kawasan yang dipanggil Golden Horn. Istana Topkapi secara umumnya terdiri daripada ruang pejabat dan kediaman rasmi bagi Sultan, para menteri dan penjawat awam. Semuanya adalah dalam satu kawasan tetapi tersusun rapi melalui blok-blok sesuatu tempat. Salah satu bangunan yang terdapat di Istana Topkapi ialah Harem. Harem adalah satu kawasan larangan. Ia merupakan kompleks penginapan untuk sultan, permaisuri dan bonda sultan. Selain itu, ia juga ditempati oleh wanita istana termasuk gundik dan dayang di samping kanak-kanak termasuk Putera-puteri sultan. Putera kepada sultan juga akan tinggal di Harem tetapi hanya sehingga umur mereka mencapai 12 tahun. Selepas itu, mereka dianggap sudah dewasa dan akan tinggal di tempat lain. Oleh kerana Harem adalah kawasan larangan maka lelaki asing yang bukan muhrim, tidak dibenarkan masuk ke sesuatu kediaman/rumah yang mempunyai wanita di dalamnya kecuali yang mempunyai hubungan kekeluargaan. Ini bertujuan untuk menjaga kehormatan masing-masing dan mencegah sesuatu perkara yang tidak manis berlaku.
Salah satu ruangan rahsia yang terdapat di dalam Harem. Melepasi bilik Tembakau, maka tugas mengawal diambil alih oleh Black Eunuch iaitu pengawal yang diambil dari Afrika. Antara tugas yang digalas oleh Black Eunuch ialah mengawal Hall of Cupboard yang mana bilik ini menempatkan fail rekod kewangan Istana Topkapi.
Gambaran Black Eunuch. Pada asalnya mereka adalah hamba berkulit hitam yang dibawa masuk dari Afrika sejak umur mereka masih sangat muda lagi.  Mereka dijual oleh pedagang hamba abdi, dikembiri terlebih dahulu sebelum dihantar ke Istaa Topkapi. Tugas utama mereka ialah menjaga keselamaan penghuni Harem. Pemilihan Black Eunuch sebagai pengawal adalah kerana mereka berkulit hitam. Ohh...sukar sekali diterima diskriminasi ini dan sangat kejam!! Tetapi alasan paling kukuh adalah kerana mereka ini dianggap tidak kacak seperti mana White Eunuch. Maka pada Sultan Ottoman, kebarangkalian untuk berlakunya skandal dikalangan para wanita di Harem dengan Black Eunuch adalah sangat tipis. 

Ini adalah laluan Horse Ramp yang digunakan oleh sultan dan para pembesar untuk keluar masuk dari Second Courtyard ke Harem (http://azziamd1.blogspot.com)
Bergambar kenangan di laluan Horse Ramp
Bangunan berhadapan masjid adalah pintu masuk Sultan ke Harem. 
Tempat penginapan Black Eunuch
Hiasan dinding di asrama Black Eunuch
Bangunan ini dibina 2 tingkat yang mana di tingkat atas dikhaskan untuk penginapan Black Eunuch, manakala di tingkat bawah pula dikhaskan untuk sekolah anak-anak sultan dan tempat penginapan bagi Ketua Black Eunuch. 

Harem Portal, pintu masuk utama ke Harem. 
Passage Of Concubines
Para tempat meletak makanan bagi para penghuni wanita di Harem
Sebelum menulis dan datang ke sana, aku juga beranggapan bahawa wanita yang tinggal di Harem adalah para gundik yang teraniaya. Tetapi setelah membuat rujukan dibeberapa artikel di internet, aku tapis dan mengambil beberapa perkara positif sahaja. Wanita yang menempati Harem sebenarnya mempunyai hak dan memainkan peranan masing-masing yang mana mereka berpeluang menjadi sebahagian daripada keluarga diraja, bekerja di Harem dan seterusnya mendapat gaji yang sewajarnya, masih berpeluang untuk dibebaskan apabila sudah tamat berkhidmat, berkahwin dan membina kehidupan sendiri. Di dalam Harem ada hierakinya yang tersendiri. Menurut catatan dalam Journal of Al- Tamaddun, terdapat beberapa pendapat yang membahagikan atau mengkategorikan para Wanita Harem kepada beberapa bahagian, tetapi aku berminat untuk mengambil salah satu pendapat. Golongan Wanita Harem dibahagikan kepada 3 bahagian iaitu golongan elit, golongan pertengahan yang terdiri dari pada kakitangan pentadbiran dan pelatih dan golongan harem yang tiada kedudukan tetapi bekerja di Harem. Semua Wanita yang tinggal di Harem mempunyai hak untuk memiliki harta yang boleh didapati dari pelbagai sumber. Mereka juga diberikan elaun tetapi jumlahnya berbeza mengikut status mereka. Contohnya golongan Harem yang berpangkat tinggi diberikan elaun yang lebih tinggi berbanding golongan Harem yang melakukan tugas yang tidak memerlukan kemahiran khusus seperti melakukan kerja-kerja pembersihan dan penyelanggaraan.
Tempat penginapan Bonda Sultan
Selain dari berperanan sebagai tempat penginapan bagi keluarga diraja dan para Wanita, Harem juga memainkan peranan sebagai sebagai istitusi Pendidikan dan Latihan khusus kepada para penghuninya. Pembelajaran di Harem akan disesuaikan mengikut tuntutan semasa dan keperluan istana. Para Wanita mempelajari ilmu agama islam, menyanyi, menari, berpuisi dan bermain alat muzik. Mereka juga diajar membaca, menulis dan bercerita. Selain itu, mereka juga boleh mempelajari ilmu berkaitan lukisan, kaligrafi dan Teknik hiasannya, etika dan protocol. Ketua sida Harem (Black Eunuch) yang dipertanggungjawabkan mengalas tugas mendidik dan melatih para Wanita berkaitan moral, etika dan protocol istana. Di sini dapat kita lihat dari sudut positifnya, tujua Pendidikan diberikan kepada para Wanita Harem adalah untuk memenuhi keperluan agama, keperluan semasa dan hak individu.
Di dalam Harem, Bonda Sultan merupakan orang yang paling berpengaruh dan mempunyai kuasa yang dipanggil sebagai "Valide Sultan". Semua keputusan dan hal ehwal di Harem ditentukan oleh Bonda Sultan. Sekiranya Sultan yang ditabalkan terlalu muda, maka Bonda sultan lah yang akan memerintah negara tetapi tidak secara terang-terangan. 

Imperial Hall
Selepas ruangan tempat penginapan Bonda Sultan, terletaknya kediaman sultan. Di ruangan ini menempatkan Imperial Hall atau Dewan Diraja iaitu ruang untuk Sultan bertemu dengan tetamunya dan ruangan ini juga digunakan untuk upacara-upacara tertentu. 
Semasa pemerintahan Sultan Murad III, Baginda memerintahkan untuk dibina satu Dewan Diraja di Dalam Harem. Impian Baginda Sultan telah berjaya direalisasikan, apabila Dewan Diraja mula dibina pada tahun 1580. Dewan Diraja pernah mengalami kebakaran pada tahun 1666, namun dibaikpulih semula semasa pemerintahan Sultan Osman III dengan mengaplikasikan gaya Rococo pada rekaan dalamannya.
Terdapat beberapa pintu yang dibuka ke Imperial Hall. Pintu di satu sisi menuju ke Pangsapuri Ibu Permaisuri dan Tempat Mandi Sultan dan Ibu Permaisuri. Di sebelah bertentangan terdapat dua pintu menuju ke Pangsapuri Persendirian Sultan. Terdapat juga pintu rahsia di sebalik cermin yang membenarkan Sultan melalui laluan selamat sekiranya berlaku serangan.

Privy Chamber of Sultan
Ini pula ialah Privy Chamber of Sultan Murat III, terletak bersebelahan dengan Dewan diraja tadi. Ruangan ini merupakan bilik paling awal dibina di Harem dan bilik terbaik yang masih kekal hingga kini. Ia dibina pada tahun 1579 atas pemerintahan Sultan Murad III.

Ini pula ialah Privy Chamber of Sultan Murat III, terletak bersebelahan dengan Dewan diraja tadi. Ruangan ini merupakan bilik paling awal dibina di Harem dan bilik terbaik yang masih kekal hingga kini. Ia dibina pada tahun 1579 atas pemerintahan Sultan Murad III.
Tempat tidur Sultan
Tempat pemanas

Bersambung....

Rujukan & Special Thank To:

https://zulkiflialbakri.com/sultan-muhammad-al-fateh/
http://azziamd1.blogspot.com/2022/08/2022-turkey-2nd-visit-bhg-17.html
https://nomadicniko.com/2018/10/17/topkapi-palace-harem-imperial-hall/

Trip santai ke Korea: Cara pergi ke Nami Island (Part 2)

6 Mac 2024 Hari ni kami bercadang mau pi Nami Island. Awal kami bangun sebab mau pi Nami tu perjalanannya dekat 2 jam lebih juga. Alhamdulil...